Tindakan Aguero Terhadap Sterling Pasti Membuatkan Neymar Terduduk Menangis

Manchester City bukanlah satu pasukan yang kaya dengan sejarah. Mereka tidak pernah memenangi Liga Juara-juara Eropah lima kali, atau memenangi liga 20 kali, apatah lagi memenangi Piala Malaysia 33 kali. Akan tetapi, pada waktu ini The Citizens merupakan salah satu pasukan terkuat di Liga Perdana Inggeris.

Mana tidaknya, mereka selamba membelasah pasukan jiran Everton 5-0 dan telah menjaringkan 17 gol dalam empat perlawanan termasuklah kemenangan 6-0 ke atas Watford, pasukan yang menyerikan Liverpool dalam perlawanan pembukaan liga tempoh hari.

Aguero insan mulia | Gambar : Givemesport

Sebelum detik pembelasahan tersebut, Watford dengan bangganya berada di tangga keempat dengan rekod tanpa kalah, namun anak buah Pep Guardiola dengan tenang mengajar The Hornets erti sebenar bola sepak.

Dalam perlawanan terebut, Sergio Aguero telah meledakka tiga gol. Gabriel Jesus dan Nicolas Otamendi turut meletakkan nama mereka dalam senarai penjaring.

Ketika perlawanan menginjak ke masa kecederaan, pemain Watford Christian Kabasele telah menjatuhkan Raheem Sterling dalam kotak penalti dan tanpa ragu pengadil telah menghadiahkan tendangan penalti buat City.

Mengikut carta organisasi pengambilan tendangan penalti City, Aguero merupakan insan yang terpilih.

Akan tetapi, memandangkan pada detik tersebut Aguero telah menjaringkan hatrik dan sudah pun layak untuk membawa pulang bola perlawanan, Aguero dengan bermurah hati memberikan bola kepada Sterling untuk mengambil tendangan tersebut.

Beliau bertuah kerana sepasukan dengan Aguero, bukan Neymar | Gambar : Givemesport

Rakan sepasukan, Benjamin Mendy, telah sudi berkongsi cerita dengan Telegraph mengenai detik manis tersebut.

“Kun Aguero adalah wira kami dalam pasukan,” Mendy membuka bicara. Air mukanya menceritakan betapa bahagia dan tenang jiwanya ketika ini.

“Semua pemain dihormati tetapi Aguero memang dipandang tinggi oleh pemain lain, tak kiralah tua atau muda.

“Tengoklah sewaktu menang 6-0 lawan Watford – kami dianugerahkan penalti dan semua orang tahu yang Aguero yang patut mengambil tendangan tersebut.

“Tapi dia cakap,’Takpa, biaq Raheem ambik’.

“Aguero memang tak nak jadi bintang seorang diri. Dia nak semua orang menyinar, semua orang cemerlang,” tambah Mendy lagi seraya memainkan lagu Gemuruh Jiwa nyanyian Faizal Tahir di iPhone X copy ori yang baru dibelinya.[1]

Sifat kemurahan hati Aguero ini pastinya wajar dipuji meskipun pembenci mempersoalkan adakah Aguero akan melakukan perkara yang sama jika dia belum menjaringkan hatrik ketika itu.

Peristiwa ini juga wajar menjadi pengajaran buat pemain PSG, Neymar dan Edinson Cavani yang dilihat telah dua kali berebut untuk mengambil tendangan penalti.

Ya, Neymar telah meminta maaf namun selaku penyokong tegar PSG sejak era Jean Pierre Papin, penulis tak sanggup melihat insiden budak darjah enam main bola sewaktu PJ tersebut berulang lagi.

Manchester City akan bertemu pasukan yang tidak pernah menjaringkan gol, tewas semua perlawanan dan menduduki dasar liga, Crystal Palace pada hari ini. Mereka dijangka tidak akan berhadapan masalah untuk terus membelasah lawan tanpa belas kasihan sekaligus mengekalkan cengkaman kuku besi di kemuncak liga.

Sumber : Givemesport

Nota :

[1] Khayalan penulis semata. Takkan la engkorang percaya. Jangan jadi pembaris.

Baca Juga

Baca Juga