Tindakan Bale Tinggalkan Sesi Temu Bual Cetuskan Pelbagai Persoalan

Masa depan Gareth Bale bersama skuad kebangsaan Wales kini dilihat semakin samar-samar selepas tindakan yang beliau lakukan ketika temu bual selepas tamat perlawanan bertemu Denmark.

Bale seolah memberi gambaran bahawa perlawanan tersebut merupakan yang terakhir untuknya di pentas bola sepak antarabangsa.

Beliau mencetuskan persoalan itu selepas menolak untuk menjawab soalan dari wartawan, dan terus meninggalkan sesi temu bual selepas tamat perlawanan yang dilangsungkan di Johan Cruyff Arena itu.

Ia merupakan hari yang sangat mengecewakan untuk skuad kendalian Robert Page yang dibelasah teruk oleh skuad Denmark di pusingan 16 terbaik saingan Euro 2020 ini.

Denmark berjaya membelasah Wales 4-0 hasil jaringan Joakim Maehle, Martin Braithwaite dan dua gol jaringan Kasper Dolberg.

Dalam satu temu bual selepas tamat perlawanan bersama BBC, Bale meluahkan rasa kecewanya dengan meninggalkan temu bual itu separuh jalan sahaja.

Bale turut dilayangkan kad kuning dalam perlawanan tersebut, kerana beliau dirasakan menganjing pengadil perlawanan yang ketika itu membuat keputusan yang tidak memihak kepada Wales.

Beliau sempat meluahkan rasa kecewanya tentang perlawanan tersebut, sebelum berlalu pergi selepas mendengar soalan yang tidak beliau mahukan.

Bale juga sempat memuji rakan sepasukannya yang menunjukkan usaha gigih ketika berdepan dengan anak-anak buah Kasper Hjulmand.

“Ini bukan tentang bagaimana kami mahu perlawanan ini berjalan.”

Jelas Bale.

“Kami bermula dengan baik, kami bolos satu gol dan perlawanan mula berubah sedikit.”

“Kami sayangnya telah melakukan kesilapan yang membunuh terus permainan di pihak kami. Untuk memperbetulkan semula kesilapan kami berakhir dengan kekecewaan, tapi saya rela lakukan semua itu berbanding langsung tak buat apa-apa.”

“Saya rasa itu foul, tapi pengadil perlawanan mungkin dipengaruhi oleh penyokong yang memenuhi stadium, tapi tak guna untuk jadikan itu sebagai alasan.”

“Kami terlepas peluang ini, tapi saya rasa kita tak boleh salahkan usaha yang para pemain sudah tunjukkan.”

Wartawan kemudiannya mahu bertanya kepada Bale soal masa depan beliau bersama skuad kebangsaan Wales, namun belum sempat soalan itu dihabiskan, pemain Real Madrid itu terus pergi meninggalkan temu bual tersebut.

Joe Rodon yang telah memainkan peranan penting untuk skuad Wales di kejohanan Euro 2020 ini merasakan tidak mungkin Gareth Bale akan bersara selepas berakhirnya kejohanan ini.

Ketika beliau ditanya adakah Bale akan menggantung bootsnya selepas kejohanan ini, Rodon menjawab:

“Tak mungkin! Semuanya terpulang pada Gareth dan saya tak boleh buat apa-apa tentang itu, tidak ada sesiapa antara kami di Wales yang mahu melihat dia menghampiri persaraannya dan kami mahu dia kekal selama yang mungkin.”

“Dia sungguh hebat dan dia sangat baik dengan saya sejak hari pertama saya bersama dengannya di Tottenham.”

“Dia seorang yang mengagumkan, sangat hebat untuk miliki pemain seperti dia dalam bilik persalinan, dan jelas sekali, semua orang tahu apa yang telah dia lakukan atas padang bola. Apa yang pasti, sangat hebat untuk kenal orang seperti dia dan dia ada karakter yang menakjubkan.”

Kekalahan 4-0 di tangan Denmark bermakna perjalanan Wales dalam saingan Euro 2020 ini sudah berakhir dan Bale hanya mampu membawa skuadnya hingga ke pusingan 16 terbaik sahaja.

Soal masa depannya, Bale mungkin tidak mahu menjawab soalan itu kerana beliau merasakan soalan itu tak sepatutnya ditanya.

Ia seolah meragui kesetiaan Bale terhadap negaranya dan mungkin kerana beliau tidak gembira mendengar persoalan seperti itu, maka beliau segera meninggalkan temu bual itu.

Seperti semua sedia maklum, pihak media sememangnya gemar bermain dengan soalan perangkap seperti itu untuk mencetuskan kontroversi.

Jadi Bale mungkin mengelak untuk menjawab soalan seperti itu kerana beliau tidak mahu ada kontroversi berkait kesetiaannya pada negara beliau.

BACA:  Gareth Bale Menjadi Sasaran Utama Newcastle United