Raheem Sterling membuktikan beliau bukan sahaja beraksi di atas padang tetapi juga mempunyai budi pekerti yang terpuji apabila membawa 550 murid dari sekolah lamanya untuk hadir ke Wembley untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA di antara Manchester City dan Brighton malam esok.
Sterling merupakan antara watak utama dalam skuad Pep Guardiola musim ini dimana beliau berjaya menjaringkan 19 gol dalam semua pertandingan untuk membantu The Citizens bersaing dalam semua pertandingan yang mereka sertai musim ini.
Berdasarkan prestasi cemerlang Sterling musim ini, nama beliau dicanang untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA bersama Virgil van Dijk dan Sadio Mane.
Sterling berpeluang mencipta sejarah baru sekiranya City berjaya memenangi ‘quadruple’ musim ini, iaitu menyapu habis semua pertandingan yang mereka sertai.
Di peringkat antarabangsa pula, Sterling merupakan anggota skuad utama England yang layak ke peringkat separuh akhir UEFA Nations League dan beliau berpeluang menambah satu lagi pingat dalam kabinetnya sekiranya England berjaya memenangi pertandingan tersebut hujung musim nanti.
Tetapi kita semua sudah tahu kehebatan bekas pemain Liverpool ini ketika beraksi di padang. Sterling membuktikan sekali lagi beliau memiliki pekerti yang terpuji apabila mengeluarkan wang sendiri untuk menanggung segala perbelanjaan bagi membolehkan 550 murid dari sekolah lamanya untuk pergi ke Wembley malam esok untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA.
Sekolah yang bertuah tersebut adalah Ark Elvin Academy, sekolah yang pernah dihadiri Sterling sendiri suatu ketika dahulu. Sekolah tersebut terletak di London dengan kebanyakan murid datang dari keluarga yang berpendapatan rendah.
Menurut Daily Mail, para murid akan dibawa ke Manchester terlebih dahulu untuk menyaksikan Manchester City berlatih di kompleks latihan sebelum kembali ke kota London untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA di Wembley.