Tite Letak Jawatan Serta Merta Selepas Brazil Tersingkir Di Kaki Croatia

Jurulatih pasukan kebangsaan Brazil, Tite telah melepaskan jawatannya secara serta merta selepas pasukan bakal juara, Brazil tersingkir dan ditunjukkan jalan keluar di kaki Croatia.

Brazil tewas 4-2 dalam penentuan sepakan penalti kepada naib juara 2018 Croatia, selepas perlawanan di Stadium Education City berakhir tanpa jaringan selepas 90 minit dan 1-1 dalam masa tambahan.

Tite mengambil tanggungjawab penuh dengan kekalahan Brazil ini dan berpegang kepada kata-katanya dan mengundurkan diri dengan melepaskan jawatan.

Pengendali Brazil pernah menyatakan bahawa dia akan bersama Brazil sehingga tamat Piala Dunia tidak kira menjadi juara atau tidak.

Bercakap kurang daripada dua jam selepas mereka tersingkir, Tite berkata:

“Kitaran itu telah berakhir dan saya berkata itu satu setengah tahun lalu dan saya berpegang pada kata-kata saya. Kita tak boleh buat drama. Terdapat profesional hebat lain yang boleh menggantikan saya. Kitaran sudah tamat.”

Bagi Tite tugasnya bersama Brazil kini telah selesai walaupun sangat mahu mendakap piala teragung bola sepak itu.

“Saya akan pergi sehingga akhir Piala Dunia. Saya tidak mempunyai sebab untuk berbohong di sini. Saya tidak mahu menang. Saya telah memenangi segala-galanya dalam kerjaya saya, satu-satunya perkara yang hilang ialah Piala Dunia.”

Sepanjang enam tahun berkhidmat dia telah berjaya mengembalikan kegemilangan Brazil untuk menjadi pasukan digeruni sehingga menjadi pilihan utama untuk menjuarai Piala Dunia.

Tite membawa Brazil ke suku akhir Piala Dunia 2018, di mana mereka tewas kepada Belgium, sebelum memenangi Copa America 2019. Menamatkan kemarau trofi Brazil selama 12 tahun.

Tetapi tahun terakhirnya bersama Brazil diselebungi kekecewaan, kekalahan di final Copa America pada 2021 sebelum tersingkir dari Piala Dunia 2022.

Tite menjadikan Brazil bukan lagi pasukan yang hanya berharap kepada kehebatan pemain bintang, tetapi lebih kepada satu unit yang dahagakan kejayaan dan kegemilangan.

Tite mengambil alih tugas sebagai jurulatih Brazil daripada Dunga pada 2016, yang dipecat selepas persembahan buruk mereka dalam kejohanan Copa Americana Centenario.

Siapa Tite?

Nama sebenar Tite ialah Adenor Leonardo Bacchi dan berusia 55 tahun, dan pasukan kebangsaan Brazil ialah pasukan yang ke-17 di bawah seliaannya.

Tite ketika mudanya juga merupakan seorang pemain bola sepak, namun dia kurang menyerlah dan tidak pernah dipanggil untuk mewakili Brazil. Tambahan pula, Tite terpaksa bersara ketika berusia 27 tahun kerana kecederaan lutut yang teruk.

Kenapa Tite tidak dikenali sebelum ini?

Kalau kita buka kembali kitab sejarah bola sepak Brazil, mereka sering dilatih oleh jurulatih-jurulatih yang terkenal seperti Carlos Alberto Pareirra, Dunga, Luis Felipe Scolari dan juga Mario Zagallo. Nama-nama yang disebutkan ini sememangnya terkenal sebelum mereka menjadi jurulatih Brazil.

Sebelum menjadi jurulatih Brazil, Tite banyak menguruskan kelab-kelab di Liga Brazil seperti Corinthians, Palmeiras, Gremio dan Internacional. Dia juga pernah menguruskan kelab di UAE – Al-Ain dan Al-Wahda, namun kedua-dua tugasnya itu hanya bertahan selama setahun.

Mungkin budaya bola sepak UAE sama seperti Malaysia – hanya mahukan kejayaan segera. Entah-entah orang yang pegang Al-Ain dengan Al-Wahda tu orang politik tak?

Dahagakan Ilmu

Menariknya berkenaan Tite, pada tahun 2013, dia tidak membaharui kontraknya bersama Corinthians kerana satu matlamat – dia ingin mendalami ilmu bola sepak moden. Sepanjang perkelanaannya, dia telah berguru dengan Arsene Wenger di Arsenal, Carlo Ancelotti di Real Madrid dan juga telah meninjau taktik dan sistem permainan pasukan-pasukan di Piala Dunia 2014.

Tite tidak ketinggalan untuk sentiasa menambah ilmunya.

Selepas perguruannya tamat, dia kembali ke Corinthians pada tahun 2015, lalu membawa Corinthians untuk muncul juara Serie A Brazil, di mana mereka muncul juara dengan perbezaan 12 mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Atletico Mineiro.

Tite mengambil alih tugas sebagai jurulatih Brazil daripada Dunga, yang dipecat selepas persembahan buruk mereka dalam kejohanan Copa Americana Centenario.

BACA:  Neymar Mahu Bersara Selepas Piala Dunia Qatar