Boehly Anggap Kritikan Penyokong Sebagai Perkara Biasa
Pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly menyifatkan kritikan penyokong sebagai sesuatu yang lumrah dalam bola sepak dan beliau enggan memberi jaminan bahawa struktur pemilikan kelab akan kekal sama pada tahun hadapan.
Bercakap di Financial Times’ Business of Football Summit di London pada Khamis, Boehly turut mengakui bahawa mencari penyerang berkualiti bukan tugas mudah, dan ia tidak semudah membeli barang di pasar raya.
Sebelum perlawanan Chelsea menentang Southampton pada Selasa, kira-kira 200 penyokong berkumpul untuk memprotes kepimpinan Boehly dan syarikat pelaburan Clearlake Capital. Mereka menyanyikan lagu-lagu menyokong bekas pemilik, Roman Abramovich, serta melaungkan kecaman terhadap pemilik semasa.
“Saya rasa ini perkara biasa dalam bola sepak,” kata Boehly ketika ditanya mengenai protes penyokong. “Kita tak boleh puaskan hati semua orang. Kami hanya mahu melaksanakan perancangan kami. Walaupun ada cabaran, hala tuju kelab berada di landasan yang betul.”
Beliau juga menegaskan bahawa kepimpinannya bersama Clearlake Capital masih baru dan memerlukan masa.
“Jun nanti genap tiga tahun kami di sini. Itu bukan tempoh yang lama. Banyak perkara berlaku dengan pantas, dan kami masih dalam fasa pembelajaran.”
Masa Depan Pemilikan Chelsea Masih Belum Pasti
Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Clearlake Capital dan pengasasnya, Behdad Eghbali, yang dikatakan semakin tegang, Todd Boehly enggan memberi kepastian tentang pemilikan kelab pada masa hadapan.
“Saya tak boleh ramal masa depan. Kami sudah bersetuju dengan strategi dan hala tuju kelab dan kerja sedang berjalan,” katanya.
Beliau turut ditanya sama ada dia akan membeli Chelsea dengan cara yang sama jika diberi peluang mengulang semula keputusan itu. Boehly hanya menjawab, “Saya tak suka menoleh ke belakang.”
Sejak mengambil alih Chelsea pada Jun 2022, Boehly dan Clearlake telah membelanjakan lebih £1 bilion untuk membeli pemain. Mereka menggunakan strategi kontrak jangka panjang, ada yang mencecah 8 tahun bagi menyebarkan kos perpindahan dan mengurangkan beban kewangan tahunan.
Namun, Liga Perdana Inggeris telah menghadkan tempoh maksimum kontrak kepada 5 tahun bagi tujuan pengiraan kos perpindahan. Peraturan baharu ini menjejaskan strategi Chelsea.
“Kontrak 7 tahun kini sebenarnya hanya lima tahun. Pada akhirnya, kami perlu membuat keputusan – sama ada melanjutkan kontrak pemain atau melepaskan mereka ke kelab lain. Itu realiti dalam bola sepak,” ujar Boehly.
Peranan Pemimpin dalam Kejayaan Pasukan
Selain membincangkan perancangan jangka panjang Chelsea, Todd Boehly turut menekankan kepentingan memiliki kapten yang berpengaruh dalam pasukan.
“Pasukan yang berjaya sepanjang sejarah biasanya mempunyai kapten hebat yang mengetuai mereka. Jadi persoalannya, bagaimana kita boleh mendapatkan kapten seperti itu?” katanya.
Dalam perbincangan itu, turut dibincangkan isu lain seperti strategi penjualan hak media Liga Perdana serta pendapatnya mengenai pengawal selia bebas dalam bola sepak.
Ketika ditanya tentang salah faham terbesar mengenai pemilikannya di Chelsea, Boehly menjawab.
“Orang fikir kami hanya fokus pada jangka panjang tetapi sebenarnya kami cuba menyeimbangkan jangka pendek dan jangka panjang.”
Mengenai cabaran mencari penyerang berkualiti, beliau berkata.
“Mendapatkan penyerang bukan mudah. Ia bukan seperti pergi ke pasar raya dan mengambil seorang penyerang dari rak. Ia adalah satu kemahiran istimewa yang memerlukan mentaliti yang tepat.”
Perlawanan Seterusnya Chelsea
Chelsea akan turun beraksi semula pada Khamis depan menentang Copenhagen dalam perlawanan pertama pusingan 16 UEFA Europa Conference League. Ketika ini, mereka berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris.