Tomas Rosicky Umumkan Persaraan Beliau Dari Bolasepak

Bekas pemain Arsenal, Tomas Rosicky akhirnya mengumumkan persaraan beliau dari dunia bolasepak pada umur 37 tahun.

Rosicky terpaksa mengumumkan persaraan lebih awal dari sepatutnya kerana mengakui dirinya tidak mampu lagi beraksi pada tahap tertinggi bolasepak. Beliau mengakhiri kariernya yang penuh suka duka selama 18 tahun melalui satu sidang media yang diadakan khas buat beliau hari ini.

Bekas pemain antarabangsa Republik Czech berjaya memenangi pelbagai kejuaraan ketika mewakili Arsenal, Borussia Dortmund,  dan Sparta Prague. Sparta Prague merupakan kelab yang melahirkan beliau ke dunia bolasepak dan juga kelab terakhir yang diwakilinya sebelum mengumumkan persaraan.

Kelibat Little Mozart bakal dirindui peminat Arsenal khususnya

Dalam peringkat antarabangsa, Rosicky berjaya mengumpul 105 penampilan bersama negara kelahirannya, menjadikan beliau pemain ketiga tertinggi mendapat penampilan dibelakang Petr Cech dan  Karel Poborsky.

“Selepas meneliti secara mendalam, saya kini menyedari yang saya tidak mampu lagi mempersiapkan fizikal saya bagi menghadapi perlawanan bolasepak profesional.”

“Saya mahu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Sparta Prague kerana membesarkan saya, dan menjadi platform untuk saya menyertai kelab-kelab besar sepanjag karier bolasepak saya. Dan juga terima kasih kerana memberi peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bolasepak di tempat yang saya paling sayangi.”

Rosicky kembali menyertai Sparta Prague pada bulan Ogos tahun lalu selepas dilepaskan Arsenal secara percuma, dan bakal diingati peminat bolasepak kerana mewakili Arsenal selama satu dekad dimana beliau berjaya membantu The Gunner meraih dua Piala FA.

Selain itu, beliau pernah menjuarai Bundesliga pada tahun 2001-02 ketika bersama Dortmund, dan dua kejuaraan liga Republik Czech ketika mewakili Sparta Prague.

Kariernya bersama Arsenal diselubungi dengan pelbagai kecederaan walaupun menjadi pemain yang disukai peminat Arsenal kerana corak permainannya yang menarik untuk disaksikan.

Selamat tinggal Arsenal

Dalam musim terakhirnya bersama Sparta Prague, beliau berjaya melakukan 12 penampilan dan menjaringkan satu gol. Gol tersebut dijaringkan Rosicky dalam debut keduanya bersama Prague, selepas 17 minit perlawanan berlangsung.

Di England, beliau lebih dikenali sebagai ‘Little Mozart’ dalam kalangan peminat Arsenal. ‘Mozart’ adalah ahli muzik tersohor dalam sejarah dunia dan Rosicky menerima gelaran tersebut kerana keupayaan beliau merencana gerakan seperti seorang komposer musik yang penuh seni.

Antara gol Rosciky yang paling diingati peminat Arsenal adalah jaringan beliau dalam pertemuan ‘North London Derby’ pada tahun 2014. Beliau merembat deras bola dalam kotak penalti seawal minit ke-2 perlawanan untuk menewaskan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris.

Selamat jalan Tomas Rosicky. Senyummu bakal dirindui.

Baca Juga

Baca Juga