TOTAPS – Langkah Pertama Yang Perlu Dilakukan Jika Berlaku Kecederaan Dalam Permainan

Liga sosial, atau kerap kali dipanggil liga haram bola sepak kerap kali dianjurkan untuk memberi ruang dan peluang kepada pemain yang tidak bernasib baik untuk bermain secara professional. Beberapa contoh liga sosial adalah seperti Liga Munroe dan Klang Valley League yang tidak mempunyai had umur, sehinggalah berpuluh liga veteran untuk pemain berusia 35 tahun ke atas.

Jika diperhatikan, berbanding liga-liga pro atau semi-pro yang mempunyai syarat-syarat ketat yang perlu dipatuhi sesuatu pasukan untuk menyertainya, liga sosial lebih ringan. Selalunya, setiap pasukan hanya perlu mendaftarkan nama pengurus, jurulatih dan pemain. Mereka tidak diwajibkan untuk mendaftar orang yang paling penting dalam setiap perlawanan – ahlli fisioterapi atau lebih dikenali sebagai fisio di Malaysia.

Jika berlaku kecederaan ketika perlawanan, fisio semestinya akan mengaplikasikan pengetahunnya untuk membantu pemain yang cedera. Tetapi bagaimana jika pasukan tersebut tiada fisio? Di sini ada sedikit tips untuk mengendali situasi ketika berlakunya kecederaan.

Langkah pertama yang perlu diambil jika berlakunya kecederaan ialah; penilaian (assessment). Langkah-langkah penilaian boleh disimpulkan dengan TOTAPS.

Apa itu TOTAPS? Dari segi bahasa TOTAPS itu membawa makna seperti di bawah.

T : Talk (Bercakap)
O : Observe
T :  Touch
A : Active Movement
P : Passive Movement
S : Special Test/Skill Test

T : Talk (Bercakap)

Usai sampai ke tempat pemain yang cedera, pertama sekali yang perlu fisio lakukan ialah bercakap dengan pemain. Contohnya seperti :

“Bro, sakit kat mana?”

“Bro, ok tak ni?”

Kalau pemain yang cedera tu jawab begini baik korang maki je dan sepak kepala beliau laju-laju.

“Sakitnya tuh di sini di dalam hatiku”

Bercakap bukan sekadar untuk bertanyakan di mana kecederaan yang dialami, bercakap juga penting untuk memastikan pemain yang cedera tersebut masih sedar (conscious). Sekiranya pemain tidak sedar, pihak pengurusan perlu segera memanggil ambulans dan terus membawa pemain tersebut ke pusat kesihatan terdekat.

O : Observe (Memerhati)

Jika pemain tersebut memberitahu di mana kesakitan yang dialami, fisio perlu membuat pemerhatian di bahagian yang sakit tersebut sekiranya berlaku situasi conthnya seperti berikut :

  1. Terseliuh
  2. Bengkak lembut
  3. Bengkak keras
  4. Patah
  5. Berdarah

Perlu diingatkan bahawa fisio tidak boleh sembur(spray) sembarangan di tempat yang cedera terutama sekali menggunakan Baygon atau Ridsect.

knee injury
Pemain A

T :  Touch (Sentuh)

Sentuh di sini bermaksud sentuhan lembut bukan meraba, sekadar untuk mengenal pasti jenis kecederaan, sama ada bengkak atau tidak, atau mengenal pasti adakah bahagian tercedera tersebut agak panas atau tidak.

Contohnya pemain A mengalami bengkak di lutut kanan. Jadi, untuk mengesahkan bahawa lutut kanannya bengkak, sentuhan di bahagian lutut kanan dan kiri dapat membandingkan keadaan lutut pemain A.

A : Active Movement (Pergerakan Aktif)

Pergerakan aktif bermaksud pemain menggerakkan sendiri bahagian yang sakit dan mampu menyatakan skala kesakitan, dan membuat keputusan sama ada mampu atau tidak untuk meneruskan permainan.

Contohnya, pemain A yang cedera lutut tadi, perlu cuba membengkokkan lututnya berulang kali secara perlahan-lahan untuk menentukan skala kesakitan yang dialami.

P : Passive Movement (Pergerakan Pasif)

Pergerak pasif ialah fisio menggerakkan bahagian yang sakit dialami oleh pemain dan fisio akan menentukan sama ada pemain tersebut mampu atau tidak untuk meneruskan permainan.

Contoh, pemain A yang cedera di lutut tidak mampu untuk menggerakkan lututnya sendiri. Jika ini berlaku maka fisio perlu membengkokkan lututnya secara perlahan-lahan dan dari situ, fisio akan menentukan sama ada pemain A akan meneruskan permainan atau tidak.

S : Special Test/Skill Test (Ujian Khas/Skill)

Ujian khas/skill ini hanya dijalankan sekiranya pemain tidak merasai sebarang kesakitan ketika pergerakan aktif dan pasif.

Pemain A tidak merasai sebarang kesakitan ketika pergerakan aktif dan pasif, maka pemain tersebut harus melakukan ujian khas seperti berdiri sebelah kaki (kaki yang mengalami kecederaan). Jika pemain mengalami kesakitan, maka dia tidak seharusnya dibenarkan untuk meneruskan permainan.

Video Ringkas TOTAPS

Mungkin video dibawah ini dapat membantu pemahaman anda mengenai TOTAPS. Kalau tak faham jugak tunggu aku lukis.

Kesimpulan

TOTAPS membantu fisio, terutamanya fisio bidan terjun dalam liga haram, dalam menentukan tahap kecederaan seseorang pemain dan juga menentukan sama ada pemain tersebut mampu untuk meneruskan permainan atau tidak. Andainya keputusan yang tidak tepat diambil oleh fisio, contohnya pemain yang sepatutnya direhatkan masih lagi dibenarkan bermain, masalah kecederaan jangka panjang mungkin akan berlaku.

Baca Juga

Baca Juga