Tottenham Hotspur Diberi Amaran Kerana Pemainnya Melanggar Peraturan UEFA

Penjaga gol Tottenham Hotspur, Pierluigi Gollini telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh UEFA dengan memakai sarung tangan yang tidak mengikuti standard badan induk bola sepak Eropah itu.

Bintang berusia 26 tahun itu menandatangani perjanjian sebagai pemain pinjaman bersama Tottenham Hotspur dari Atalanta.

Beliau ketika ini merupakan penjaga gol kedua Tottenham Hotspur dibelakang ketua pasukan, Hugo LIoris.

Beliau telah diturunkan untuk beraksi ketika aksi dalam saingan Europa Conference League baru-baru ini, namun UEFA jelas tidak gembira melihat beliau sewenang-wenangnya melanggar peraturan.

Gollini memakai sarung tangan berjenama Reusch, namun UEFA menganggap logo yang ada pada sarung tangan itu terlalu besar dan ia jelas melanggar peraturan mereka berkait penjenamaan.

Menurut laporan dari media UK, Spurs bahkan sudah menerima surat amaran berkait kesalahan melanggar peraturan tersebut dan bakal dikenakan tindakan tegas seandainya mereka mengulangi kesalahan sama.

Gollini sudah tiga kali diturunkan untuk beraksi dalam saingan Conference League dengan yang terbaru beliau diturunkan ketika aksi terikat 2-2 bertemu Rennes.

Beliau juga berjaya untuk menjadi wira Tottenham Hotspur, selepas membantu Spurs menyingkirkan Wolves dari saingan Carabao Cup menerusi penentuan sepakan penalti.

Bekas bintang Aston Villa itu dijangka akan kembali beraksi dalam pertemuan bertemu wakil Slovenia, NS Mura di Tottenham Hotspur Stadium pada malam Khamis nanti.

UEFA sementara itu semakin tegas dalam menguruskan hal berkait logo dan corak yang dipakai oleh pemain atau kelab dalam pertandingan anjuran mereka.

Dalam saingan Champions League, Inter Milan terpaksa membuang corak ular yang ada pada jersi away mereka, kerana UEFA menganggap ia corak yang tidak teratur.

Ketika mereka beraksi bertemu Shakhtar Donetsk kemarin, The Nerazzurri turun beraksi dalam perlawanan yang berkesudahan dengan seri tanpa jaringan itu dengan memakai jersi putih sahaja.

Tottenham Hotspur memulakan kempen saingan Premier League musim ini dengan sangat cemerlang selepas mereka mencatatkan tiga kemenangan dari tiga perlawanan awal liga.

Mereka turut sempat mendahului carta saingan liga atas rekod sempurna yang berjaya dicatatkan oleh anak-anak buah Nuno Espirito Santo itu.

Walau bagaimanapun, dari tiga perlawanan terakhir dalam saingan Premier League, Tottenham Hotspur telah merekodkan tiga kekalahan dan menyebabkan mereka kini berada di kedudukan ke-11 dalam carta liga.

Peraturan UEFA telah menetapkan bahawa:

“Pilihan corak tidak terhad dengan pengecualian berikut (untuk dinilai mengikut budi bicara badan pentadbiran UEFA).”

– Corak tersebut seharusnya tidak berkait dengan politik, ia seharusnya tidak mengandungi gambar, illustrasi atau apa saja simbol (corak lain yang tidak memenuhi syarat ini dianggap sebagai elemen hiasan sahaja).

Atas alasan-alasan tersebutlah Inter Milan tidak dibenarkan untuk meletakkan corak ular pada jersi mereka, dan ia juga menyebabkan Pierluigi Gollini diberikan amaran kerana logo pada sarung tangan beliau terlalu besar.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bale Kecewa Gol 'Lipat' Ketika Menentang Liverpool Tidak Dicalonkan Dalam UEFA's Goal of the Season