Bagi peminat yang teliti menonton perlawanan Tottenham Hotspur menewaskan Manchester United 1-0 minggu lalu di Sky Sports, mereka mungkin perasan sesuatu yang berbeza.
Semasa Ange Postecoglou, ketua jurulatih pasukan ditemu bual sebelum sepak mula, beliau dirujuk sebagai “Ketua Jurulatih Tottenham Hotspur”. Ketika kesebelasan utama pasukan dipaparkan di skrin, tajuknya adalah “Spurs”. Begitu juga dalam grafik susunan pemain di atas padang, di mana nama “Spurs” tertera di dada Postecoglou.
Tiada yang terlalu pelik dengan perubahan ini kerana Tottenham Hotspur adalah nama rasmi kelab manakala Spurs adalah nama gelaran mereka.
Namun, jika anda menonton perlawanan Tottenham ketika mereka tewas 3-2 kepada Everton pada 19 Januari lalu, paparan grafik ketika itu agak berbeza. Dalam temu bual sebelum perlawanan, Postecoglou diperkenalkan sebagai “Ketua Jurulatih Tottenham”. Grafik pasukan hanya menggunakan nama “Tottenham” tanpa “Hotspur” dan perkara sama berlaku ketika carta liga dipaparkan.
Jadi, apa sebenarnya yang berubah? Mengapa selepas itu perkataan ‘Tottenham’ kini tidak digunakan lagi?
Permintaan Rasmi Kelab
Jawapannya terletak dalam satu e-mel rasmi yang dihantar kepada penyiar Premier League pada 10 Februari lalu. Dalam e-mel bertajuk “Kemas Kini Nama Tottenham Hotspur”, kelab menjelaskan bagaimana mereka mahu dirujuk:
“Tottenham Hotspur telah memberikan penjelasan mengenai nama rasmi kelab. Mereka meminta agar kelab ini dirujuk sebagai Tottenham Hotspur, dengan Spurs sebagai nama pendek pilihan. Kelab juga meminta agar mereka tidak dirujuk sebagai Tottenham.”
Arahan ini telah diberikan kepada semua penyiar yang menayangkan perlawanan Tottenham di seluruh dunia. Sky Sports serta laman web rasmi Premier League kini hanya menggunakan “Tottenham Hotspur” atau “Spurs” tetapi bukan hanya “Tottenham”.
Menurut kelab, penjelasan ini mudah—Tottenham adalah nama kawasan, bukan nama kelab. Polisi ini sebenarnya sudah lama wujud sejak tahun 2011.
Namun, perubahan ketara berlaku pada November tahun lalu, apabila kelab memperkenalkan identiti jenama baharu mereka yang telah diterapkan di semua platform fizikal dan digital. Bersama identiti ini, mereka menerbitkan “Brand Playbook” yang memperincikan garis panduan baharu.
Dalam bahagian “Nada Suara”, kelab menetapkan dengan jelas:
“Dalam dunia yang dipenuhi United, City dan Rovers hanya ada satu Hotspur – Tottenham Hotspur. Apabila merujuk kepada pasukan atau jenama, sila gunakan ‘Tottenham Hotspur’, ‘Tottenham Hotspur Football Club’ atau ‘THFC’. Jangan sekali-kali merujuk kelab kami sebagai ‘Tottenham’, ‘Tottenham Hotspur FC’ atau ‘TH’.”
Panduan terbaru kepada penyiar bulan ini adalah untuk mengukuhkan polisi ini, dengan memastikan “Spurs” lebih digunakan sebagai nama singkatan berbanding “Tottenham”.
Adakah Ia Berasas?
Ada logiknya untuk mengatakan bahawa Tottenham hanyalah nama kawasan, bukan nama kelab. Lagipun, tiada siapa merujuk Aston Villa sebagai “Aston” atau Wolverhampton Wanderers sebagai “Wolverhampton” sahaja. Begitu juga dengan Nottingham Forest, di mana penggunaan nama “Nottingham” sahaja jarang berlaku.
Namun terdapat juga kelab di mana sebahagian daripada nama rasmi mereka sudah cukup untuk dikenali. Semua orang tahu siapa yang dimaksudkan apabila disebut Newcastle, Leeds atau Leicester.
Bagi ramai peminat Spurs, panggilan “Tottenham” tetap sinonim dengan kelab. Ia sudah lama digunakan dalam komuniti peminat Spurs, jauh lebih biasa berbanding “Aston” untuk Aston Villa.
Kenapa ‘Spurs’ Lebih Disukai Berbanding ‘Tottenham’?
Nama “Spurs” memang unik berbanding kelab lain di Premier League walaupun dalam konteks global ia mungkin kurang menonjol kerana ada San Antonio Spurs dalam NBA. Namun, “Spurs” tetap pendek, mudah diingat dan sesuai untuk pemasaran.
Nama “Hotspur” pula mempunyai sejarah tersendiri yang sangat unik. Ia berasal daripada Henry Percy, seorang pahlawan zaman pertengahan yang cuba menggulingkan Raja Henry IV sebelum terbunuh dalam Pertempuran Shrewsbury pada tahun 1403. Nama gelarannya, ‘Hotspur’ menjadi inspirasi kepada kelab ini, dan turut diabadikan dalam logo mereka.
Namun, Tottenham tetap sebahagian daripada identiti kelab. Di kawasan inilah kelab diasaskan pada tahun 1882, di Tottenham Marshes, di mana White Hart Lane dibuka pada 1899 dan kini di mana stadium moden mereka berdiri megah sejak 2019. Selain tempoh sementara bermain di Wembley kelab ini tidak pernah berpindah dari kawasan Tottenham.
Bagi kebanyakan peminat, kelab dan kawasan itu tidak boleh dipisahkan. Walaupun ada arahan rasmi dari kelab, bagi mereka Tottenham tetap Tottenham tidak kira apa yang tertulis dalam garis panduan.