Musim ini sepatutnya menjadi musim kebangkitan untuk Tottenham Hotspur di bawah kendalian Ange Postecoglou. Namun selepas kekalahan 1-0 kepada AZ Alkmaar dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Konferensi Eropah, tekanan kepada pasukan itu semakin memuncak.
Apa yang lebih membimbangkan bukan sekadar keputusan perlawanan tetapi cara mereka bermain. Spurs bukan sahaja gagal mencari gol penyamaan malah hampir tidak mencipta peluang yang berbahaya sepanjang 90 minit perlawanan. Ia menimbulkan persoalan besar; Adakah Spurs masih mempunyai kreativiti dan momentum yang cukup untuk menyelamatkan musim mereka?
Kurangnya Kreativiti di Bahagian Serangan
Ketika meeeka ketinggalan satu gol dan masih belum menguji penjaga gol lawan, Spurs memperoleh sepakan percuma pada jarak 25 ela. Ia menjadi satu peluang terbaik untuk melepaskan percubaan tepat ke arah gawang. Namun, sebaliknya berlaku.
James Maddison cuba melakukan satu gerakan set-piece bersama Son Heung-min tetapi hantarannya tidak menjadi. Bola melantun merapu di antara mereka sebelum Kevin Danso melakukan hantaran lemah yang terus keluar dari padang. Para penyokong Spurs yang hadir di stadium hanya mampu mengeluh kecewa.
Ironinya, itulah antara satu-satunya peluang terbaik yang mereka cipta sepanjang perlawanan.
Statistik menceritakan segala-galanya. Spurs hanya melakukan 1 percubaan tepat sepanjang 90 minit, itupun hasil sepakan silang Wilson Odobert yang sebenarnya tidak berniat untuk melakukan percubaan. Son juga mencuba untuk melepaskan rembatan dari sebelah kiri tetapi bola melambung tinggi dan jauh dari sasaran.
Jika bukan kerana beberapa larian solo dari Lucas Bergvall yang membawa bola ke hadapan, Spurs mungkin langsung tidak memberi ancaman kepada AZ. Pasukan tuan rumah tidak perlu melakukan apa-apa yang luar biasa, cukup sekadar bertahan dengan disiplin tinggi dan menutup ruang kepada pemain lawan.
Postecoglou Akui Prestasi Hambar Pasukan
Selepas perlawanan, Ange Postecoglou tidak berselindung mengenai kelemahan pasukannya.
“Kami langsung tidak berjaya mengawal permainan. Kami tidak dapat membina sebarang momentum ketika menguasai bola. Kami perlu bermain dengan cara yang berbeza pada perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang media.
Pengurus dari Australia itu sering dikritik kerana pendekatan taktikalnya yang terlalu menyerang sehingga mengabaikan aspek pertahanan. Namun dalam perlawanan itu, isu yang lebih membimbangkan adalah ketumpulan jentera serangan.
Buat masa ini, Tottenham seperti hilang arah dalam aspek kreativiti. Jika sebelum ini mereka boleh bergantung kepada Dejan Kulusevski untuk mencipta peluang, ketiadaan pemain itu jelas dirasai.
James Maddison diberikan tugas untuk mengisi kekosongan tersebut tetapi pemain berusia 28 tahun itu gagal memberi sebarang impak. Dia tidak mencipta sebarang peluang yang berbahaya sebelum dikeluarkan pada minit ke-72. Son juga dikeluarkan.
James Maddison: Masih Belum Menemui Rentak
Maddison sepatutnya menjadi pemain yang membawa perbezaan dalam perlawanan ini. Sejak bersama Leicester City beberapa tahun lalu, dia dikenali sebagai pemain-tengah yang mampu mencipta peluang dan menjaringkan gol dari kawasan tengah padang.
Namun, sejak mengalami kecederaan buku lali ketika kalah 4-1 kepada Chelsea pada November 2023, Maddison gagal menemui semula rentak terbaiknya. Sejak Oktober dia tidak konsisten dan ini merupakan peluang terbaiknya untuk membuktikan dirinya masih relevan.
Malangnya persembahannya hambar. Jika dia mahu kembali ke skuad England untuk kejohanan antarabangsa akan datang, dia perlu meningkatkan prestasi dengan segera.
Ketiadaan Penyerang Utama – Siapa yang Akan Menggalas Tugas?
Selain masalah kreativiti, Spurs juga berdepan dilema di bahagian serangan.
Dominic Solanke yang baru kembali daripada kecederaan panjang, hanya mampu bermain selama 20 minit sebelum terpaksa dikeluarkan selepas bertembung dengan penjaga gol AZ. Ia menimbulkan persoalan besar; Siapa yang akan mengisi posisi penyerang utama pada perlawanan timbal balik nanti?
Mathys Tel diberikan peluang untuk berada dalam kesebelasan utama tetapi pemain muda berusia 19 tahun itu kelihatan terasing di bahagian hadapan. Dia gagal mendapatkan hantaran berkualiti dan akhirnya dikeluarkan pada separuh masa kedua.
Son Heung-min yang sebelum ini menjadi harapan utama Spurs juga kelihatan kurang menyerlah. Pada usia 30-an, kemampuan Son untuk menewaskan pertahanan lawan semakin berkurangan dan ia menjejaskan ancaman serangan pasukannya.
Odobert mungkin satu-satunya pemain yang menunjukkan sedikit keinginan untuk menyerang. Dalam kekalahan 1-0 kepada Manchester City pada minggu lalu, dia mempamerkan aksi berani dengan beberapa percubaan individu yang baik. Jika Postecoglou ingin mencari jalan keluar daripada kebuntuan ini, Odobert mungkin boleh menjadi pemain utama dalam strategi serangan mereka nanti.
Harapan Masih Ada, Tetapi Spurs Perlu Bangkit Segera
Kekalahan 1-0 bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diatasi tetapi Spurs perlu segera mencari penyelesaian. Perlawanan timbal balik di laman sendiri nanti akan menjadi penentu sama ada mereka mampu meneruskan siangan atau mengakhiri musim dengan penuh kehampaan.
Postecoglou perlu mencari jalan untuk menghidupkan kembali kreativiti dalam pasukannya. Sama ada dengan memberi lebih kebebasan kepada Maddison, mengharapkan kebangkitan Odobert atau mencari kombinasi baru di bahagian serangan, ia sesuatu perlu dilakukan segera.
Bukan sekadar untuk menyelamatkan musim Tottenham, masa depan Postecoglou sendiri mungkin bergantung kepada keputusan perlawanan ini. Jika Spurs gagal bangkit dan tersingkir lebih awal, tidak mustahil kelab akan mempertimbangkan untuk mencari pengurus baharu.
Dengan kata lain, perlawanan seterusnya bukan sekadar menentukan nasib Spurs tetapi juga hala tuju kelab untuk musim-musim akan datang.