Tottenham & Korea Selatan Capai Persetujuan Lepaskan Son Untuk Sukan Asia Indonesia

Malaysia menerima tamparan hebat apabila Tottenham Hotspurs dan Korea Selatan mencapai persetujuan bagi membolehkan Heung-Min Son beraksi dalam Sukan Asian yang bermula pada 14 Ogos ini di Indonesia.

Malaysia diundi berada dalam kumpulan E bersama Korea Selatan, Kyrgyzstan, Bahrain dan UAE. Keputusan Spurs untuk melepaskan Son terbang ke Indonesia bermakna Malaysia berdepan tugas lebih getir untuk mara ke pusingan seterusnya, ditambah pula dengan kehadiran dua negara Teluk dalam kumpulan tersebut.

Son dibenarkan bermain untuk Korea Selatan di Sukan Asia walaupun Spurs berhak untuk menghalang beliau dari pergi ke Indonesia

Perbincangan telah diadakan di antara Persekutan Bola Sepak Korea Selatan dan Tottenham mengenai tarikh untuk melepaskan Son bagi bermain dalam Sukan Asia. Kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk membiarkan Son beraksi penuh dalam Sukan Asia kali ini, dan sebagai pertukaran Son akan terlepas dua perlawanan awal Korea dalam Piala Asia yang akan berlangsung pada Januari tahun depan.

Son terdesak untuk turut serta dalam Sukan Asia kali ini dengan tujuan utama adalah untuk menggondol pingat emas. Sekiranya Son berjaya memenangi pingat emas, beliau akan menerima pengecualian daripada menyertai khidmat negara yang diwajibkan ke atas setiap lelaki di Korea Selatan.

Son akan menyertai skuad Korea Selatan selepas perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle pada 11 Ogos ini. Beliau akan terbang terus ke Indonesia untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi perlawanan kedua Korea iaitu menentang UAE pada 15 Ogos.

Son terdesak untuk bermain di Sukan Asia kerana peluang untuk menggondol pingat emas sangat tinggi, seterusnya mengecualikan beliau dari khidmat negara

Spurs pada mulanya ingin menyimpan Son sehingga 18 Ogos, iaitu selepas  mereka bertemu Fulham. Jika keadaan ini berlaku, Son hampir pasti akan terlepas kesemua perlawanan peringkat kumpulan Sukan Asia.

Mujurlah Spurs ‘menyerah kalah’ dalam isu ini dan bersedia untuk melepaskan Son lebih awal, dengan syarat Son tidak akan bermain dalam dua perlawanan awal Korea pada Piala Asia tahun hadapan. Dua perlawanan tersebut adalah menentang Filipina dan Kyrgyzstan, termasuk satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan November ini.

Korea Selatan memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2014 di Incheon tetapi Son tidak terlibat dalam kejohanan tersebut kerana kelabnya ketika itu, Bayern Leverkusen enggan melepaskan beliau.

Korea Selatan mewajibkan rakyatnya yang berjantina lelaki berumur dari 18 hingga 35 tahun untuk melakukan 2 tahun khidmat negara. Perempuan tidak diwajibkan untuk berkhidmat tetapi digalakkan untuk memohon.

Mujur Spurs tidak sekejam Bayern Leverkusen

Son yang kini bersama skuad Spurs untuk persiapan pra-musim di United States telah memohon maaf kepada Mauricio Pochettino dan rakan sepasukannya kerana bakal terlepas beberapa perlawanan selepas ini.

“Saya ingin meminta maaf kerana Tottenham adalah pasukan saya dan juga meminta maaf kepada rakan sepasukan dan para jurulatih.”

“Tetapi saya bermain untuk negara saya dan itu juga sangat penting. Secara jujurnya, saya memohon maaf perkara ini berlaku.”

BACA:  Spurs Dan Google Berbincang Hak Penamaan Stadium Bernilai RM5.14 Bilion