Tottenham Hotspurs mengumumkan dua perlawanan ‘home’ Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool (15 September) dan Cardiff City (6 Oktober) akan diadakan di Stadium Wembley berikutan isu keselamatan dalam stadium baru mereka yang hampir siap dibina.
Penganjur Liga Perdana Inggeris memberikan pelepasan istimewa kepada Spurs untuk mengadakan perlawanan ‘home’ pertama mereka musim ini di Wembley iaitu menentang Fulham pada 18 Ogos ini. Pelepasan ini diberikan bagi memberikan ruang kepada Tottenham supaya menyiapkan segala kerja berkaitan stadium baru mereka yang berkapasiti 62,000 tempat duduk.
Spurs juga menerima ‘bantuan’ daripada badan penganjur liga apabila 5 dari 7 perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris mereka bakal berlangsung di gelanggang lawan.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak kelab semalam, pertemuan menentang Liverpool yang sepatutnya menjadi perlawanan pertama diadakan di New White Hart Lane terpaksa dibawa ke Wembley atas faktor keselamatan yang tidak dapat dielakkan.
Urgent stadium update – https://t.co/dXV7D0bQGi#SpursNewStadium pic.twitter.com/X4QMbSWAuu
— Tottenham Hotspur (@SpursOfficial) August 13, 2018
Selain itu, satu perlawanan pertunjukan National Football League (NFL) di antara Seattle Seahawks dan Oakland Raiders yang dijadualkan berlangsung di stadium baru Spurs pada 14 Oktober, turut dibawa ke Stadium Wembley.
“Kami sedar berita ini akan mengecewakan kesemua pemegang tiket bermusim kami, termasuk tiket premium dan seluruh peminat kami di serata dunia.” Ujar Pengerusi Spurs, Daniel Levy.
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan rakan niaga kami, NFL sejak isu ini timbul sehingga pengumuman rasmi hari ini.”
“Pada permulaan projek ini, kami meminta sokongan daripada anda semua yang mana kami tahu kelab ini bakal melalui fasa yang mencabar ketika pembinaan stadium dilakukan. Sekarang kami meminta perkara yang sama supaya terus bersabar sehingga isu ini diselesaikan.”
Spurs turut berkata jadual ‘terbaru’ mengenai tarikh rasmi pembukaan stadium baru akan dikeluarkan dalam masa terdekat selepas perbincangan tergempar dengan pihak kontraktor.
Venue untuk perlawanan ‘home’ Spurs selepas itu menentang Manchester City pada 28 Oktober juga masih belum ditentukan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Spurs berharap perlawanan menentang Manchester City mampu menjadi perlawanan pertama diadakan di New White Hart Lane tetapi masih banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum pengumuman rasmi dapat dilakukan.
Naib Presiden Eksekutif NFL, Mark Waller dipetik berkata:
“Semua pihak teruja mengenai prospek bermain di stadium baru Tottenham Hotspurs dan saya tahu Spurs sangat kecewa dengan perkembangan ini, tetapi mereka bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu ini.”
“Kami sangat memahami isu yang mereka sedang hadapi sekarang. Kami akan terus bekerjasama dengan mereka bagi memastikan perlawanan NFL di stadium baru Spurs pada masa depan akan berlangsung dengan jayanya.”