Totti: Mo Salah Adalah Antara Pemain Terbaik Dunia Dan Hanya Akan Bertambah Baik

Legenda AS Roma dan Itali, Francesco Totti berkata Mohamed Salah adalah antara pemain terbaik dunia ketika ini dan percaya pemain ini hanya akan bertambah baik.

Pemain antarabangsa Egypt ini meninggalkan Roma pada musim panas lalu untuk menyertai Liverpool, dan Totti yang pernah menjadi rakan sepasukan Salah percaya beliau kini berada di kelompok pemain elit dunia.

Totti percaya Salah antara pemain terbaik dunia ketika ini

Selepas meninggalkan Chelsea untuk bermain di Itali beberapa musim yang lalu, Salah telah menunjukkan peningkatan yang sangat menakjubkan sepanjang beraksi dengan Roma. Beliau berjaya membantu pasukannya menamatkan musim di kedudukan ke-2 Serie A, hanya dibelakang Juventus.

Prestasinya telah menarik minat Liverpool untuk membawa kembali pemain ini ke England. Tetapi Liverpool sendiri tentu tidak menyangka Salah mampu mempamerkan prestasi yang sangat menakjubkan dalam musim pertamanya di Anfield.

Setakat ini, Salah telah berjaya menjaringkan 30 gol dari 36 penampilan dan muncul pemain pertama mencapai jumlah jaringan tersebut buat Liverpool semenjak Luis Suarez melakukannya pada tahun 2014.

Gandingan yang pernah menggegarkan Serie A suatu ketika dahulu

Ikon Roma, Totti percaya pemain berusia 25 tahun ini mampu meletakkan namanya sebaris dengan nama-nama besar dunia seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo kerana Salah adalah seorang pemain yang tidak henti berusaha untuk menjadi pemain yang lebih baik.

“Tahap permainan yang ditunjukkan Salah ketika ini menunjukkan beliau adalah salah seorang pemain terbaik dunia. Dan saya percaya beliau hanya akan bertambah baik pada masa hadapan.”

“Saya sangat mengenali beliau. Salah merupakan kawan baik saya dan beliau adalah seorang pemain yang sering berusaha untuk menjadi pemain yang lebih bagus.”

“Salah melakukan perkara yang betul sebagai seorang pemain bolasepak. Beliau menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh, bekerja keras, dan mendengar cakap jurulatih. Sebab itulah beliau mampu beraksi cemerlang ketika ini. Saya juga percaya Salah masih mempunyai satu tahap dalam dirinya yang belum dicapai.”

Sumbangan Salah kepada pasukannya musim ini telah meletakkan Liverpool dalam kedudukan terbaik untuk menghabiskan musim dalam posisi 4 teratas liga.

Liverpool juga berada dalam landasan terbaik untuk melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas membelasah Porto 5-0 dalam perlawanan pertama pusingan kedua kejohanan Eropah tersebut.

Legenda Real Madrid pon diayam-ayamkan Salah

Totti turut percaya Salah mempunyai ramuan yang lengkap untuk memacu The Reds menggapai trofi idaman Eropah tersebut ditambah dengan keupayaan barisan hadapan Liverpool yang sangat digeruni.

“Beliau merupakan salah seorang pemain yang mampu mengubah keputusan dalam perlawanan besar. Sebab itulah umum tidak boleh meminggirkan peluang Liverpool untuk menjuarai Liga Juara-Juara musim ini.”

“Terdapat beberapa pasukan yang lebih lengkap dari Liverpool dalam pertandingan tersebut, tetapi dengan adanya pemain seperti Salah, peminat boleh menaruh harapan segalanya mampu berlaku.”

BACA:  Liverpool Bakal Lebur Rekod Manchester United