Triple H Mengajak Pemenang Pingat Emas Olimpik Sertai WWE

Tamyra Mensah-Stock berjaya mencipta sejarah di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini selepas menjadi atlet wanita kulit hitam pertama yang memenangi pingat emas dalam acara gusti.

Beliau dalam aksi perlawanan akhir telah berjaya menewaskan penggusti dari Nigeria dengan keputusan 4-1 untuk memenangi pingat emas.

Beliau bukan hanya menjadi atlet wanita berkulit hitam pertama memenangi emas, bahkan Mensah-Stock berjaya menjadi atlet Amerika kedua yang memenangi emas dalam acara tersebut di temasya Sukan Olimpik.

Sejak kejayaan yang sungguh luar biasa gemilang itu, Mensah-Stock telah mendedahkan di mana arah tuju beliau dalam karier gustinya selepas ini.

Atlet berusia 28 tahun itu telah ditemu bual tentang kejayaannya memenangi pingat emas, dan turut ditanya adakah beliau mampu untuk lakukan hal sama jika beraksi bersama WWE.

“Saya mahu!”

Jelas Mensah-Stock penuh keterujaan.

Selepas mencipta sejarah untuk negaranya di temasya Sukan Olimpik, beliau juga sudah berfikir arah tuju kariernya selepas ini.

Jika Mensah-Stock mahu meneruskan kariernya di dalam dunia gusti hiburan, apa lagi menyertai syarikat gergasi seperti WWE, beliau sepertinya sudah mendapat lampu hijau untuk itu.

Triple H telah memberi reaksi pada video di mana Mensah-Stock mendedahkan keinginan beliau untuk sertai WWE, dengan memberi bayangan bahawa syarikatnya sentiasa menanti kehadiran pemenang pingat emas Olimpik itu.

“Tahniah kerana berjaya mencipta sejarah memenangi pingat emas di #TokyoOlympic!! Pintu untuk sertai WWE sentiasa terbuka.”

Tulis legenda gusti dan juga founder acara WWE NXT itu.

Pintu untuk sertai WWE sentiasa terbuka, sudah cukup untuk menjelaskan yang syarikat gergasi gusti profesional itu sememangnya berminat untuk menawarkan kontrak pada Mensah-Stock.

Dunia gusti WWE sentiasa berkembang, pelbagai jalan cerita baru dan watak baru yang telah mereka perkenalkan, mungkin juga Mensah-Stock boleh jadi pengganti kepada Kurt Angle yang mengusung pingat emasnya ke gelanggang selepas ini, siapa tahu bukan?

Ditambah pula Mensah-Stock kini sudah mempunyai ramai pengikut dan peminat kerana kejayaan beliau di dalam dan di luar gelanggang gusti Olimpik.

Atlet Amerika itu mendapat pujian yang menggunung dari pada peminat selepas beliau mendedahkan apa yang akan digunakan dengan duit kemenangannya.

Peminat turut teruja dengan semangat patriotik yang ditunjukkan oleh Mensah-Stock selepas memenangi pingat emas di temasya Olimpik Tokyo ini.

Beliau mahu menggunakan duit kemenangannya itu untuk membeli food truck dan menghadiahkan kepada ibunya yang mempunyai impian untuk menjalankan perniagaan kecil.

Keperibadian beliau berjaya mencuri perhatian peminat, dan tak mustahil Mensah-Stock boleh menjadi bintang besar andai beliau menyertai WWE satu hari nanti.

Pada tahun 1996, Kurt Angle memenangi pingat emas untuk Amerika

Legenda WWE, Kurt Angle merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik pada tahun 1996 dengan beliau ketika itu menang dalam perlawanan akhir dalam keadaan lehernya patah.

Sejak menyertai WWE, nama Kurt Angle mula mencanak naik dengan beliau menjadi antara penggusti paling terkenal di zaman attitude era.

Beliau bahkan lebih dikenali sebagai seorang legenda WWE berbanding kejayaannya membawa pulang pingat emas Olimpik untuk Amerika.

Tidak mustahil untuk melihat Mensah-Stock mencapai kejayaan yang sama memandangkan sejarah telah membuktikan ahli gusti professional boleh berjaya di dunia gusti hiburan.

Mungkin masa depannya akan berubah selepas menyertai WWE, dan siapa tahu dari membeli food truck, selepas ini beliau boleh buka restoran pula untuk ibunya.

Peminat tentunya teruja untuk melihat adakah benar Triple H akan menyambut Mensah-Stock, atau mungkin syarikat lain seperti AEW akan sailang pemenang pingat emas itu terlebih dahulu.

Sumber: GMS

BACA:  Terjunan Stephan Feck Dianggap Yang Paling Teruk Dalam Sejarah Sukan Olimpik