Trippier: Kyle Walker Bek Kanan Terbaik Dunia

Pemain pertahanan Tottenham Hotspurs, Kieran Trippier berkata Kyle Walker merupakan bek kanan terbaik dunia ketika ini.

Trippier pernah bermain bersama Walker buat seketika sebelum Walker berpindah ke Manchester City pada tahun 2017. Kedua-dua pemain ini bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama Spurs ketika itu dan Trippier berjaya memenangi hati Mauricio Pochettino dan menyebabkan Walker berasa kurang gembira kerana berada di bangku simpanan.

Kyle Walker bek kanan terbaik dunia sekarang. Anda setuju ?

Pep Guardiola mengambil kesempatan atas ketidak puasan hati Walker di White Hart Lane dengan mendapatkan khidmat pemain tersebut musim lalu. Ia merupakan tindakan yang tepat apabila Walker menjadi tunjang utama skuad Manchester City yang berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim lalu dan turut mencipta sejarah menjadi pasukan pertama mengutip 100 mata.

Walker dipanggil untuk menganggotai skuad England yang beraksi di Piala Dunia 2018 bersama Trippier. Walaupun tidak bermain sebagai wing-back atau bek kanan, Walker mempamerkan aksi yang mantap dalam sistem 3 pemain pertahanan yang diterapkan Gareth Southgate sepanjang kempen England di Russia.

Trippier merupakan pemain yang menjadi pilihan Southgate untuk mengisi posisi wing-back England dan beliau membalas kepercayaan tersebut apabila dinamakan dalam skuad terbaik Piala Dunia 2018.

Trippier merupakan punca utama mengapa Walker berpindah keluar dari Spurs

Dalam rancangan Soccer AM’s Tube, Trippier telah ditanya siapakah pemain bek kanan terbaik dunia ketika ini dan tanpa ragu-ragu, beliau menamakan Walker sebagai individu yang paling berhak memegang gelaran tersebut.

“Buat masa sekarang, secara peribadi saya memilih Kyle Walker. Ketika saya bermain bersama Walker di Piala Dunia, saya dapat melihat sendiri betapa laju dan ‘berkuasa’ pemain tersebut. Walaupun ketika bola berada di kaki beliau seperti yang dapat dilihat di Manchester City, beliau sangat selesa.”

“Beliau mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang pemain bek kanan, dan beliau hanya akan bertambah baik dengan beraksi bersama Manchester City. Jadi bagi saya, Walker adalah bek kanan No.1 dunia ketika ini.”

Tottenham memulakan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dengan dua kemenangan dari dua perlawanan awal mereka walaupun tidak membelanjakan sebarang duit membeli pemain baru dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Trippier mendakwa Spurs tidak memerlukan pembelian baru kerana skuad sedia ada sudah cukup kuat

Trippier berkata keputusan Spurs untuk tidak membawa masuk pemain baru tidak membawa makna yang besar kepada pasukan ini, dan mendakwa Spurs mempunyai ramuan yang lengkap untuk mencipta kejayaan musim ini.

“Tidak, ia tidak berapa penting. Kami sedar dengan skuad yang kami miliki sekarang. Kami mempunyai pengurus dan pemain yang berkualiti tinggi dalam pasukan ini.”

“Kami juga mempunyai kedalaman skuad yang baik, ramai pemain yang bagus menunggu peluang untuk beraksi. Kami tidak terganggu langsung dengan keputusan kelab tidak mendapatkan pemain baru kerana fokus kami hanya tertumpu pada cabaran di hadapan.”

BACA:  Tottenham Hotspur Diberi Amaran Kerana Pemainnya Melanggar Peraturan UEFA