Pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets berkata Persekutuan Pemain Bola Sepak Sepanyol (AFE) sepakat menolak idea untuk memainkan perlawanan La Liga di luar negara.
Busquets mendakwa adalah lebih baik untuk menolak idea tersebut demi ‘kebaikan bola sepak’ walaupun sedar ia mampu menjana keuntungan dari segi kewangan kepada kelab La Liga.
Dalam satu perjanjian yang ditandatangani di antara pihak penganjur La Liga dan Relevant Sports, satu perlawanan La Liga setiap musim akan diadakan di United States bermula musim hadapan. Perjanjian ini akan berlangsung selama 15 tahun dalam usaha La Liga untuk mempromosikan liga tersebut dalam skala global.
Proposal ini telah ditentang sekeras-kerasnya badan yang mewakili pemain bola sepak La Liga, dimana mereka mendakwa La Liga tidak mengambil kira pendapat mereka dalam membuat keputusan mengenai perkara ini. AFE juga tidak menolak kemungkinan akan mengadakan mogok sekiranya usul ini diteruskan tanpa mengambil kira pendapat mereka.
Busquests merupakan Timbalan Presiden AFE dan beliau mengumumkan kesemua pemain bola sepak yang kini beraksi di La Liga sepakat dalam menolak idea bermain di luar negara.
“Kami semua bersatu dalam hal ini. Persatuan ini kuat dan seperti Presiden [David Aganzo] kami beritahu sebelum ini, semua pemain berkongsi pendapat yang sama dalam isu ini.”
“Bersatu menjadikan kami lebih kuat dan ini merupakan jalan yang kami ambil dalam isu ini. Kami percaya ia merupakan keputusan yang terbaik dari segi bola sepak.”
Berikutan mesyuarat yang berlangsung pada hari Rabu lalu, David Aganzo berkata ramai pemain ‘marah’ dan ‘terkejut’ dengan keputusan yang diambil oleh La Liga.
“Pemain La Liga tidak mahu bermain di luar negara. Keputusan sebegini patut dilakukan dengan mengambil kira banyak perkara dan menggunakan commen sense.”
“Keputusan sebesar ini, yang memberi kesan kepada pengurus dan pemain, diambil tanpa sebarang perbincangan dan tidak menghormati pendapat pihak lain.”
Pihak penganjur masih lagi belum menentukan perlawanan La Liga manakah yang bakal menjadi pilihan untuk dimainkan di United States. Presiden La Liga, Javier Tebas berkata sebelum ini adalah mustahil untuk melangsungkan perlawanan El-Clasico di antara Barcelona dan Real Madrid di New York.