Tuchel Beri Nasihat Kepada Para Pemain Weymouth Selepas Menewaskan Mereka 13-0

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menyatakan rasa kagumnya beliau pada sebuah pasukan kerdil, Weymouth dan turut memberikan kata-kata semangat kepada para pemain pasukan itu.

Beliau bertemu para pemain Weymouth selepas tamat aksi perlawanan persahabatan yang dimainkan secara tertutup, dengan Chelsea berjaya menewaskan lawan mereka itu dengan keputusan 13-0.

Pihak kelab telah mengatur satu perlawanan persahabatan untuk membantu menaikkan tahap kecergasan para pemain yang tidak diturunkan ketika aksi bertemu Crystal Palace sebelum ini.

Juara saingan Champions League musim lalu itu hanya memerlukan empat minit sahaja untuk merobek gawang lawan, dengan pemain seperti Thiago Silva, Callum Hudson Odoi dan Reece James diturunkan untuk beraksi dalam perlawanan tersebut.

Para pemain Chelsea benar-benar menikmati aksi perlawanan persahabatan itu, dengan mereka selesa mendahului perlawanan 8-0 selepas tamat aksi babak pertama permainan.

Ben Chilwell, Kurt Zouma, Emerson Palmieri, Michy Batshuayi dan Davide Zappacosta turut diberikan minit permainan dalam perlawanan tersebut.

Kesemua pemain diberikan minit permainan supaya mereka kekal cergas menjelang aksi bertemu Arsenal hujung minggu ini nanti.

Tuchel beri nasihat berguna kepada para pemain Weymouth

Walau bagaimanapun, kelibat penandatanganan terbaru kelab, Romelu Lukaku tidak dapat dikesan ketika perlawanan persahabatan itu dilangsungkan.

Ia merupakan petang yang indah untuk para pemain The Blues, dengan mereka berjaya meledak lima lagi gol pada aksi babak kedua permainan.

Weymouth sepertinya sukar untuk bersaing dengan pemain Chelsea yang tentunya sudah mempunyai lebih banyak pengalaman dalam perlawanan kompetetif.

Ollie Harfield yang turun bermain untuk pasukan Weymouth menyatakan bahawa beliau terkejut melihat barisan pemain yang diturunkan oleh Chelsea.

“Saya tak jangka mereka akan turunkan pasukan terkuat mereka, tapi saya tahu mereka mahu menyegarkan pemain mereka.”

Jelas Ollie Harfield kepada SPORTbible.

Selepas tamat perlawanan tersebut, pengurus Chelsea, Thomas Tuchel pergi ke arah para pemain Weymouth untuk memberi ucapan dalam usahanya mahu memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

“Dia (Tuchel) mengucapkan terima kasih kepada kami kerana bermain.”

Jelas Harfield lagi.

“Dia kata dia suka dengan cara kami melakukan sesuatu dan gembira melihat kami tidak saling menyalahkan satu sama lain bila berlaku hal-hal tak sepatutnya.”

“Dia juga beritahu kami tentang bagaimana selalunya keputusan seperti itu akan berlaku, apa lagi bertemu pasukan kuat seperti yang dia turunkan, tapi dia tetap menghargai kami kerana sudi terlibat.”

Harfield turut menyatakan yang Tuchel berkeliling untuk salam dengan semua pemain sebelum dan selepas tamat perlawanan, dan turut mengucapkan selamat kepada pasukan lawan.

Pengurus pasukan Weymouth, Brian Stock turut memberikan pujian yang menggunung pada Thomas Tuchel dengan menyatakan:

“Lihat jaringan, tidak ada sesiapa mahu kalah 13-0, tapi ketika kamu lihat pada pergerakan, kekuatan, kelajuan, kamu akan nampak jurang jauh antara mereka dengan kami.”

Jelasnya kepada Dorset Echo.

“Pemain saya terus berusaha sehingga tamat perlawanan. Thomas Tuchel datang kepada kami dan berikan ucapan murni untuk kami.”

“Selain dari jaringan, semuanya yang lain merupakan hal yang positif untuk kami.”

Sumber: SB

BACA:  Tuchel Kantoi Dirakam Menganjing Gaya Pep Guardiola