Tuchel Yakin Berpuasa Punca Persembahan Kante Merosot

Thomas Tuchel beranggapan yang berpuasa menjadi sebab mengapa prestasi N’Golo Kante tidak sebaik seperti biasa.

Kante gagal untuk mempamerkan aksi persembahan terbaiknya ketika beraksi bertemu Real Madrid dalam aksi leg pertama peringkat suku akhir saingan Champions League kemarin.

Chelsea terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 di tangan gergasi La Liga itu dan mereka jelas sekali perlu melakukan sesuatu untuk mencatat kemenangan dalam aksi leg kedua yang akan dilangsungkan di Santiago Bernabeu nanti.

Untuk rekod, kemenangan Real Madrid menewaskan Chelsea di Stamford Bridge kemarin merupakan kemenangan pertama mereka bertemu gergasi Premier League itu dalam saingan Champions League.

Kedua-dua pasukan pernah dua kali bertemu sebelum ini, dengan satu perlawanan berakhir dengan keputusan seri, dan satu lagi perlawanan berpihak kepada Chelsea.

Pertemuan ketiga mereka akhirnya berpihak kepada Real Madrid dengan Karim Benzema cemerlang mencatat hat-trick untuk membantu pendahulu saingan La Liga itu menewaskan Chelsea 3-1.

Ketika pertemuan mereka pada musim lalu, N’Golo Kante jelas sekali beraksi dengan sangat cemerlang dengan beliau turut memenangi anugerah pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Ya, Kante muncul sebagai pemain terbaik dalam kedua-dua pertemuan mereka sebelum ini, dan beliau jelas sekali nadi penting sebalik kejayaan The Blues muncul Juara saingan Champions League musim lalu.

Kante jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya ketika aksi pertemuan ketiga mereka baru-baru ini dan Tuchel percaya ia ada kaitan dengan ibadah yang sedang Kante jalani.

Peringatan penting, Thomas Tuchel tidak sama sekali meremehkan Ibadah atau mempersoalkan tentang amalan Kante, cuma beliau percaya ia adalah antara sebab mengapa persembahan pemainnya itu sedikit merosot.

“N’Golo merupakan pemain utama dan dia ada kualiti yang sungguh menakjubkan serta ada kualiti yang sangat unik. Untuk sesetengah pasukan, mereka ada penyerang atau central defender, untuk kami, kami ada N’Golo. Dia boleh beri sesuatu kepada pasukan yang orang lain tak boleh.”

“Dia berdepan kesukaran pada musim ini kerana masalah kecederaan dan sakit. Ini adalah sebab mengapa kami tak konsisten, saya yakin inilah sebabnya. Kami kerap kehilangan dia dan lihatlah pada minit permainan dia.”

“Pada ketika ini, dia sedang berpuasa kerana perintah agama dan kepercayaan dia. Ini bukan kali pertama dia lakukan itu, tapi jika kamu tak makan atau minum selama berhari-hari di siang hari, ia akan beri kesan.”

“Mungkin itu sedikit penjelasan tentang mengapa kami rasa dia tak berada di tahap persembahan terbaiknya dan jika kamu bandingkan dengan pengaruh dia ketika bertemu Real Madrid musim lalu, sangat berbeza.”

“Ini bukan sesuatu yang perlu dimalukan atau perlu dikasihankan. Dia pemain penting yang ada kualiti yang unik. Jadi kami cuba bantu dia kerana kami tahu apa kami ada ketika dia berada di atas padang.”

Jelas sekali Thomas Tuchel sangat berharap agar N’Golo Kante akan mampu mendapatkan semula tahap persembahan terbaiknya dan membantu kelab untuk menewaskan Real Madrid di Santiago Bernabeu minggu hadapan.

Aksi leg kedua bakal menjadi perlawanan terpenting untuk The Blues, dalam usaha mereka mahu mempertahankan gelaran Champions League yang dimenangi pada musim lalu.

Kekurangan dua gol, Chelsea jelas sekali perlu pamer aksi persembahan yang menakjubkan untuk mencatat kemenangan dengan kelebihan tiga gol untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Adakah Chelsea akan mampu untuk melakukan hal itu? Atau mereka perlu akur disingkirkan oleh Real Madrid pada musim ini?

BACA:  Lampard Dedah Masalah Sebenar Beliau Dengan Kante Ketika Kariernya Di Stamford Bridge