Tular Video Yang Membuktikan Bahawa Ronaldo Bukan ‘Masalah’ Sebenar Man Utd

Tular di media sosial pada ketika ini, sebuah video yang menjelaskan kepada para penyokong yang Cristiano Ronaldo bukanlah beban kelab dan beliau juga bukan masalah sebenar United pada ketika ini.

Video yang berjudul ‘Bagaimana boleh kamu salahkan Cristiano Ronaldo?’ itu sedang tular di media sosial pada ketika ini dan ia sememangnya direka untuk membuka mata peminat yang Ronaldo bukanlah masalah utama Manchester United pada ketika ini.

Ketika ramai yang mengkritik bintang Portugal itu dan menganggap beliau sebagai punca kejatuhan kelab, ada peminat yang mengeluarkan video tersebut untuk membuktikan Ronaldo tak bersalah.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu pada ketika ini sedang berada di titik terburuk dalam sejarah kelab dan keadaan mereka juga sepertinya semakin lama semakin parah.

Selepas kena ‘lauk’ dengan Liverpool, skuad kendalian Ralf Rangnick itu kemudiannya dibelasah oleh Arsenal dengan keputusan 3-1.

Kekalahan bertemu The Gunners itu menyebabkan harapan untuk Manchester United mengakhiri saingan liga di kelompok empat teratas semakin pudar.

Cristiano Ronaldo kembali tersenarai dalam senarai kesebelasan utama Manchester United ketika aksi bertemu Arsenal kemarin.

Beliau ketika aksi kekalahan memalukan bertemu Liverpool itu telah diberikan cuti rehat oleh pihak kelab kerana beliau baru sahaja kehilangan bayi lelakinya sehari sebelum itu.

Ketika aksi bertemu Arsenal, Cristiano Ronaldo turut berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Walau bagaimanapun, gol jaringan beliau itu gagal untuk membantu Manchester United untuk mengutip tiga mata penuh.

Tidak dinafikan lagi, walaupun persembahan skuad setan merah berada di tahap yang sangat teruk pada ketika ini, Cristiano Ronaldo tetap mampu memberikan yang terbaik kepada kelab.

Pemain yang dianggap beban kelab itu berjaya menjaringkan 22 gol dari 35 perlawanan sejak awal beliau menyertai kelab pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Beliau berjaya menjaringkan 16 gol dalam saingan Premier League musim ini dan hanya Son Heung-min dan Mohamed Salah sahaja yang mampu menjaringkan lebih banyak gol berbanding beliau.

Walau beliau sering menjaringkan gol penting, namun sebenarnya tetap ada pihak yang menganggap kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke bumi Old Trafford sebagai satu bencana.

Mereka menganggap keputusan pihak kelab membawa legenda kelab itu kembali adalah keputusan yang salah dan mereka turut percaya Ronaldo bakal menjadi penghalang kepada barisan pemain muda di Old Trafford.

Lebih kejam lagi, ada juga pihak yang menganggap Cristiano Ronaldo sebagai punca sebenar kejatuhan Manchester United sepanjang musim ini.

Melihat bekas bintang Juventus dan Real Madrid itu tidak begitu terlibat dengan build up dan tak aggresif melakukan pressing, ramai yang menghentam beliau menjadi punca persembahan buruk Man Utd.

Selepas pelbagai kritikan dan hinaan yang dilemparkan kepada bintang Portugal itu, sebuah video yang dihasilkan oleh Legasus telah muncul untuk mengubah pandangan peminat terhadap Cristiano Ronaldo.

Video tersebut jelas sekali mahu membuka mata peminat dan yang terpenting sekali ia dibuat khas untuk menafikan dakwaan negatif terhadap pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu.

Akaun twitter yang menggunakan nama @FutbolZEE itu telah memuat naik video rangkuman aksi bagaimana Ronaldo berusaha membantu jentera serangan namun usaha beliau itu gagal dimanfaatkan oleh rakan sepasukannya.

Beliau dilihat bijak membuka ruang serta melorongkan bola yang cantik mencari rakan sepasukannya seperti Bruno Fernandes dan Jadon Sancho namun usaha beliau itu gagal diterjemahkan dengan gol.

Berkali-kali beliau berjaya membuka ruang untuk Bruno Fernandes meledak gol namun segala usaha beliau itu dilihat berakhir dengan sia-sia.

Jika dinilai pada aksi beliau dalam video rangkuman tersebut, sepertinya Ronaldo bukanlah masalah sebenar Manchester United seperti yang dicanang oleh segelintir peminat.

“Saya hairan kenapa ada yang anggap dia masalah? Saya tak rasa dia masalah atau beban kelab.”

“Saya harap mereka yang menghentam Ronaldo akan tengok video ini dan berfikir semula apa yang mereka katakan sebelum ini.”

“Video ini menunjukkan yang Bruno Fernandes merupakan masalah Manchester United musim ini, lihat saja berapa banyak peluang yang dia sia-siakan.”

“Bukan saja tak dapat sokongan dari rakan sepasukan, tapi usaha Ronaldo juga dipersia-siakan oleh rakan sepasukan dia.”

“Kalau Ronaldo tak ada saya rasa sekarang kita berada di zon penyingkiran. Mereka yang hentam Ronaldo sebenarnya tak ada otak.”

Begitulah komen-komen dari para peminat yang dipetik dari ruangan komen pada video tersebut.

Manchester United pada ketika ini sedang berusaha untuk mengakhiri saingan Premier League di kedudukan terbaik yang mereka mampu.

Walau harapan mereka untuk berada di kedudukan empat teratas semakin sukar, setan merah walau bagaimanapun akan berusaha sehabis baik untuk layak ke saingan Europa League.

Musim hadapan, Manchester United akan dikendalikan oleh Erik Ten Hag dengan pihak kelab sudah mengumumkan secara rasmi berita berkait keputusan mereka melantik pengurus Ajax itu sebagai pengurus kelab yang baharu.

BACA:  Ronaldo : Iceland Parking Bas Di Padang