Tumbuk Bola Masuk Gol Sendiri, Alisson Bantu West Ham Leburkan Rekod Tanpa Kalah Liverpool

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker cetus sensasi internet hari ini selepas beliau melakukan aksi dungu dengan menumbuk bola masuk ke gawang golnya sendiri.

Ketika aksi bertemu West Ham dalam saingan Premier League awal pagi tadi, Alisson Becker telah membantu pasukan tuan rumah untuk memperoleh gol awal dalam perlawanan yang dilangsungkan di London Stadium itu.

Selepas West Ham United melancarkan serangan pertama mereka dalam perlawanan ini, Michael Antonio berjaya memenangi sepakan sudut untuk skuadnya.

Fornal tampil untuk mengambil sepakan penjuru itu, dengan beliau cemerlang menghantar bola masuk ke kotak penalti lawan.

Alisson tersilap membaca arah pergerakan bola dengan beliau bergelut dengan Ogbonna sebelum menumbuk bola masuk ke gawang golnya sendiri.

Bekas penjaga gol Roma itu kemudiannya membantah keputusan pengadil perlawanan yang membenarkan gol tersebut, dengan beliau menganggap Ogbonna menghalangnya ketika mahu menangkap bola.

Pengadil perlawanan kemudiannya merujuk VAR dan selepas penilaian dilakukan, pengadil membenarkan gol tersebut dan turut menghargai Alisson dengan menamakan beliau sebagai penjaring gol tersebut.

Tidak cukup dengan menghadiahkan gol pembukaan kepada pasukan tuan rumah, Alisson turut bertanggungjawab sebagai antara punca terhasilnya gol ketiga West Ham.

Beliau terlalu terkapai-kapai untuk menyelamatkan bola tandukan dari Kurt Zouma seterusnya membenarkan West Ham menjaringkan gol ketiga mereka dalam perlawanan ini.

Aksi persembahan Alisson dalam perlawanan ini jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya, dengan beliau beberapa kali melakukan kesilapan dungu, termasuk bolos dua gol yang tidak sepatutnya.

Alisson Becker menjadi penjaga gol kedua dalam saingan Premier League musim ini yang telah menjaringkan gol sendiri selepas Tim Krul melakukannya ketika bertemu Man City sebelum ini.

Gol sendiri jaringan beliau itu juga sebenarnya telah menghancurkan harapan Alisson untuk mencatatkan clean sheet ke-50 beliau bersama Liverpool dalam saingan Premier League pada malam ini.

Highlights West Ham bedal Liverpool di London Stadium

Skuad kendalian Jurgen Klopp berkunjung ke London Stadium untuk beraksi bertemu West Ham dalam saingan Premier League.

The Reds memegang rekod 25 perlawanan tanpa mencatatkan sebarang kekalahan dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Sementara West Ham pula, mereka tidak dinafikan pada ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaik skuad di bawah kendalian David Moyes.

Liverpool sebelum ini mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Brighton sementara West Ham berjaya membelasah Aston Villa 4-1.

Perlawanan ini sebenarnya sangat menarik untuk disaksikan dek kerana kedua-dua pasukan sedang mencabar kedudukan pendahulu liga, dan turut sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka.

Dari awal sepak mula perlawanan, kedua-dua pasukan terus mempamerkan aksi permainan pantas dengan masing-masing saling berbalas serangan.

Pada minit ke-3, West Ham berjaya membuka tirai jaringan mereka hasil gol sendiri yang dijaringkan dengan rela hati oleh Alisson Becker.

Penjaga gol kebangsaan Brazil itu awalnya membantah keputusan pengadil yang membenarkan gol tersebut kerana mendakwa yang Ogbonna menghalang beliau mahu menangkap bola.

Pengadil perlawanan kemudiannya merujuk VAR untuk menilai semula insiden tersebut, dan selepas penilaian dibuat, gol tersebut tetap diberikan kepada West Ham, dengan Alisson Becker dinamakan sebagai penjaring gol.

Beberapa minit selepas itu, ketika Liverpool sedang melakukan serangan balas, Jordan Henderson telah dikasari di luar kotak penalti oleh Aaron Cresswell.

Pengadil perlawanan kemudiannya merujuk VAR untuk menilai insiden tersebut, sama ada Cresswell patut dilayangkan kad merah atau tidak.

Selepas penilaian dilakukan, Cresswell terselamat dari layangan kad merah, dan tiada sepakan percuma untuk Liverpool atas insiden tersebut.

15 minit pertama dalam perlawanan ini, kedua-dua pasukan masih lagi mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan dengan masing-masing saling berbalas serangan.

Sehingga minit ke-20, perlawanan beberapa kali terhenti dek kerana masalah kecederaan pemain dengan Ogbonna mengalami kecederaan lutut ketika beliau mengasak Mo Salah yang sedang melakukan serangan balas.

Beberapa minit selepas itu, ketika beliau terlibat dalam satu perebutan bola di udara dengan Diogo Jota, siku pemain Portugal itu terkena mata Ogbonna yang kemudiannya terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan beliau agak teruk.

Matanya berdarah dan berkemungkinan perlu dijahit, namun tiada kad amaran yang dikeluarkan kerana Jota jelas tidak sengaja menyiku muka Ogbonna.

Selepas West Ham membuat pertukaran pemain, kedua-dua pasukan kembali mempamerkan aksi permainan pantas dan saling berbalas serangan ke kubu lawan.

Pada minit ke-40 permainan, Mo Salah telah dijatuhkan betul-betul dihadapan kotak penalti oleh Declan Rice dengan Liverpool dihadiahkan sepakan percuma oleh pengadil perlawanan.

Salah dan Trent Alexander Arnold berdiri di hadapan bola, dengan West Ham menggunakan lima orang pemain untuk membina tembok, sementara seorang lagi berbaring untuk menahan bola sepakan percuma tersebut.

Arnold menolak bola kepada Mo Salah, dengan bintang Mesir itu kemudian menahan bola lalu memberi ruang kepada Trent untuk melepaskan rembatan padu ke arah gawang gol West Ham.

Bola sepakan Trent Alexander Arnold tidak dinafikan memang cukup cantik dan sungguh luar biasa menakjubkan untuk bantu Liverpool mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Sehingga wisel penamat pada aksi babak pertama dibunyikan, kedua-dua pasukan dilihat tidak henti-henti berbalas serangan dengan mereka mengamalkan corak permainan pantas

Walau begitu banyak kesempatan yang berjaya dicipta oleh kedua-dua pasukan, namun tiada sebarang tambahan jaringan yang berjaya dihasilkan oleh Liverpool dan West Ham.

Masuk aksi babak kedua permainan, kedua-dua pasukan masih saling berbalas serangan dan masih kekal bermain dengan corak permainan pantas.

Selepas beberapa kali percubaan dari kedua-dua pasukan untuk memburu gol menemui kegagalan, West Ham akhirnya berjaya juga memperoleh gol kedua mereka dalam perlawanan ini pada minit ke-67 permainan.

The Hammers merangka gerakan dari tengah, dengan Pablo Fornals yang tidak offside berjaya membuat larian pantas untuk menuju ke arah gawang gol Liverpool.

Melihat Fornals tidak dikawal, Jarrod Bowen kemudiannya melorongkan bola tepat menemui rakan sepasukannya yang sedang membuat larian pantas masuk ke kawasan Liverpool itu.

Fornals tenang menewaskan Alisson Becker untuk membantu West Ham mendahului perlawanan dengan keputusan 2-1.

The Hammers kemudiannya berjaya melancarkan beberapa siri serangan ke kubu Liverpool namun mereka gagal untuk memperoleh tambahan jaringan.

Pada minit ke-74, sekali lagi hasil dari sepakan penjuru, West Ham berjaya menjaringkan gol ketiga mereka untuk mendahului perlawanan 3-1 mengatasi Liverpool.

Bowen menghantar bola ke far post dengan Kurt Zouma kemudiannya meluru masuk ke kotak penalti dan melepaskan tandukan padu untuk menewaskan Alisson.

Penjaga gol terhebat dunia itu lemas dan gagal untuk menyelamatkan percubaan dari Zouma, seterusnya membenarkan pasukan tuan rumah untuk mendahului permainan.

Melihat barisan pemainnya semakin sendu, Jurgen Klopp melakukan beberapa pertukaran di minit-minit akhir perlawanan.

Pada minit ke-82, Divock Origi berjaya menjaringkan gol yang cukup cantik dan menakjubkan untuk membantu menghidupkan semangat Liverpool melakukan comeback dalam perlawanan ini.

Ketika keadaan huru hara di dalam kotak penalti West Ham, Origi menerima bola yang terbias dari Kurt Zouma ke arahnya dengan beliau tenang melakukan sentuhan pertama yang kemas, sebelum merembat padu bola menewaskan Fabianski.

Liverpool kemudiannya semakin ghairah untuk memburu gol, dengan mereka tidak henti-henti berusaha melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan.

Usaha Liverpool untuk melakukan comeback menemui kegagalan dengan mereka terlepas beberapa kesempatan emas untuk melakukannya di hujung-hujung minit permainan.

Wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan, dan ia menandakan rekod 25 perlawanan tanpa kalah Liverpool Lebur di tangan West Ham dalam perlawanan ini.

Kemenangan ini juga merupakan kemenangan pertama David Moyes bertemu Liverpool dengan beliau sebelum ini mencatatkan 10 kekalahan dan empat seri.

Sementara untuk West Ham pula, kemenangan ini merupakan yang pertama untuk mereka bertemu Liverpool sejak 11 pertembungan sebelum ini.

Selepas berjaya menewaskan Liverpool, West Ham kini berada di kedudukan ketiga dalam saingan Premier League, selepas mengumpul 23 mata dari 11 perlawanan.

Sementara Liverpool pula, mereka pada ketika ini sedang berada di kedudukan keempat dalam carta liga, dengan hanya dua mata sahaja mengatasi Arsenal yang berada di kedudukan kelima.

West Ham XI: Fabianski; Johnson, Ogbonna, Zouma, Cresswell; Rice, Soucek; Bowen, Benrahma, Fornals; Antonio.

Subs: Areola, Dawson, Coufal, Diop, Masuaku, Noble, Kral, Fredericks, Lanzini

Liverpool XI: Alisson; Alexander-Arnold, Matip, Van Dijk, Robertson; Fabinho, Henderson, Oxlade-Chamberlain; Mane, Salah, Jota.

Subs: Kelleher, Konate, Thiago, Minamino, Tsimikas, Origi, Phillips, Williams, Morton.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Analisis Aras Tinggi: 6 Sebab Liverpool Diaibkan Napoli, Yang Keenam Tu Rare