Ucapan Penuh Inspirasi Pogba Buat Peminat Rasa Terharu

Paul Pogba mungkin tidak memakai armband kapten untuk skuad kebangsaan Perancis, namun pengaruh dan ciri kepimpinan yang beliau tunjukkan membuktikan beliau pemimpin yang sejati.

Berucap di dalam bilik persalinan ketika aksi perlawanan akhir saingan UEFA Nations League kemarin, Pogba telah memberikan ucapan penuh semangat yang berjaya memotivasikan rakan sepasukannya.

Bintang berusia 28 tahun itu, telah memainkan peranan cukup penting untuk Manchester United pada musim ini, dan beliau turut memainkan peranan yang sama ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis.

Beliau jelas sekali menjadi nadi penting yang membantu skuad kebangsaan Perancis untuk menewaskan Sepanyol dalam aksi perlawanan akhir UEFA Nations League baru-baru ini.

Karim Benzema dan Kylian Mbappe berjaya muncul sebagai penjaring gol untuk Perancis menewaskan Sepanyol 2-1 dalam perlawanan tersebut.

Pogba bergandingan bersama pemain berbakat, Aurelien Tchouameni di posisi midfield, dengan bintang Manchester United itu berjaya melakukan 77 sentuhan dan ia merupakan catatan tertinggi untuk semua pemain Perancis yang berada di atas padang.

Selain itu, beliau turut mencatatkan statistik yang sungguh menakjubkan dan antara yang terbaik dari semua pemain di atas padang dalam perlawanan tersebut.

Pengaruh beliau di atas padang sudah nyata boleh disaksikan oleh semua orang, namun Pogba juga sebenarnya turut membawa impak yang sama ketika mereka berada di dalam bilik persalinan.

Telah tular satu rakaman, yang memperlihatkan bagaimana Pogba menunjukkan ciri kepimpinan beliau dengan memberi kata-kata semangat kepada rakan sepasukannya yang lain.

Seperti yang boleh dilihat dari video yang tular itu, pemain midfielder Perancis dan Manchester United itu dilihat sedang berusaha untuk menaikkan semangat rakan sepasukannya.

Perlawanan pada ketika itu masih terikat tanpa jaringan, dan Pogba sememangnya berharap agar Perancis mampu mencatatkan kemenangan dengan beliau membakar semangat rakan sepasukannya agar berusaha lebih keras pada aksi babak kedua permainan.

Mengikut terjemahan yang diterjemahkan oleh @aaroncikaya, Pogba menyatakan bahawa:

“Kita perlu lebih aggressive. Ia bermula dari hadapan dan terus sampai ke belakang. Kita menangi semula bola dan kita serang. Dan ya, kita kena banyak berlari kerana mereka ada pemain yang berkualiti, tapi kita juga sama.”

“Kita perlu terus menangi bola dan asak mereka. Babak kedua, kita kena lebih aggressive.”

Ini bukanlah kali pertama Pogba memberi inspirasi kepada rakan sepasukannya ketika di dalam bilik persalinan.

Pada kejohanan Piala Dunia 2018, terdapat rakaman yang menunjukkan bagaimana Pogba membangkitkan semangat rakan sepasukannya untuk mencatatkan kemenangan 4-3 menewaskan Argentina.

Insiden tersebut menunjukkan bagaimana berpengaruhnya Pogba dalam skuad kendalian Didier Deschamps, baik di atas mahupun di luar padang.

Video di bawah menunjukkan tentang bagaimana cemerlangnya Pogba memberi inspirasi kepada rakan sepasukannya, ketika skuad Perancis sedang bersedia untuk aksi perlawanan akhir saingan Piala Dunia bertemu Croatia.

Pogba mengamuk maki Pavard

Ketika aksi perlawanan akhir itu juga, Paul Pogba dilihat begitu bengang dengan rakan sepasukannya, hingga beliau mengamuk memaki hamun Benjamin Pavard.

Mikel Oyarzabal menjaringkan gol pembukaan untuk skuad Sepanyol pada minit ke-66 untuk mendahului Perancis dalam aksi perlawanan akhir saingan UEFA Nations League di San Siro awal pagi tadi.

Walau bagaimanapun, Karim Benzema kemudiannya berjaya memadam gol pendahuluan tersebut selepas beliau meledak gol penyamaan untuk skuad Perancis.

Kylian Mbappe muncul sebagai wira Perancis selepas beliau berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk Les Bleus menewaskan Sepanyol 2-1.

Perancis berjaya menjulang kejuaraan UEFA Nations League tahun ini, namun selain kegembiraan meraikan kejuaraan, turut berlaku insiden panas antara Pogba dan Pavard ketika perlawanan sedang berlangsung.

Pogba ketika itu diasak oleh pemain Sepanyol dengan kedudukan masih terikat tanpa jaringan.

Beliau ketika itu turun membantu rakan sepasukannya Pavard dan Jules Kounde di bawah, namun ketika beliau di tekan, tiada pemain yang membantunya.

Pemain midfield yang berusia 28 tahun itu kemudiannya bengang dengan tindakan Pavard yang beliau rasakan langsung tidak membantunya ketika beliau sangat perlukan bantuan.

Pogba kemudiannya meluahkan kemarahan beliau dengan menjerit memaki hamun Pavard yang berada di sudut tepi padang.

Pengurus pasukan, Didier Deschamps hanya mampu untuk meminta Pogba agar bertenang dengan beliau memberi isyarat dari garisan tepi padang sahaja.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pogba Tolak Untuk Sentuh Dan Turunkan Tandatangan Pada Jersi Man Utd