UEFA Sahkan Eriksen Stabil Dan Telah Dibawa Ke Hospital

Union of European Football Associations (UEFA) telah membuat satu pengumuman rasmi mengenai situasi Cristian Eriksen dan mengesahkan pemain Denmark itu berada dalam keadaan stabil.

Cristian Eriksen juga telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan susulan selepas diberikan rawatan kecemasan selepas jatuh di padang.

“Ekoran kecemasan perubatan yang melibatkan pemain Denmark, Christian Eriksen, mesyuarat krisis telah diadakan dengan kedua-dua pasukan dan pegawai perlawanan dan maklumat lebih lanjut akan disampaikan pada pukul 19:45 CET.

.
Pemain telah dipindahkan ke hospital dan telah stabil.”

UEFA juga melalui pengumuman rasmi melalui laman Twitternya memaklum satu mesyuarat tergempar diadakan bersama kedua-dua pasukan dan pegawai perlawanan ekoran penangguhan perlawanan.

Persatuan bola sepak Denmark juga mengeluarkan kenyataan bahawa rasmi menyatakan Cristian Eriksen telah sedar.

“Cristian Eriksen telah sedar dan akan menjalani pemeriksaan lanjut di Rigshospitalet. Perlawanan telah ditangguhkan sementara.”

Ternyata berita ini memberi satu kelegaan buat dunia bola sepak dari satu insiden yang mengerikan apabila melihat seorang pemain tumbang di padang.

Semoga Cristian Eriksen kembali sembuh

Eriksen Rebah

Perlawanan ketiga Euro 2020 dan perlawanan pembukaan bagi kumpulan B menemukan Denmark dan Finland telah ditangguhkan selepas Cristian Eriksen secara tiba-tiba rebah ke padang dan tidak sedarkan diri.

Ketika perlawanan berlangsung melepasi minit ke-40 perlawanan, pemain perancang pasukan Denmark, Cristian Eriksen rebah di Stadium Parken.

Pasukan perubatan terus bergegas masuk ke padang untuk memberikan bantuan segera dan pemain Denmark telah membuat benteng bagi menghalang rakaman diambil ketika Eriksen diberikan rawatan kecemasan.

Isteri kepada Cristian Eriksen, Sabrina dilihat berada di tepi padang dan ditenangkan oleh rakan sepasukan Eriksen, Simon Kjaer dan Kasper Schmeichel.

Kemudian UEFA selaku pengelola Euro 2020 telah mengeluarkan kenyataan bahawa perlawanan yang berlangsung di Stadium Parken, Copenhagen, Denmark itu telah ditangguhkan disebabkan kecemasan perubatan.

“Perlawanan UEFA EURO 2020 di Copenhagen telah ditangguhkan kerana kecemasan perubatan.”

Cristian Eriksen kemudian dilaporkan telah sedar dan mampu mengangkat tangan ketika beliau dibawa keluar dari padang.

Insiden tersebut berlaku pada penghujung babak pertama perlawanan, apabila pemain berusia 29 tahun itu menyambut bola lontaran ke dalam rakan sepasukan.

Eriksen kemudian dengan tidak semena-mena rebah dan tidak sedarkan diri sebelum menimbulkan panik pemain-pemain lain di dalam padang yang memanggil bantuan kecemasan.

Sepanjang rawatan dilakukan, pemain-pemain Denmark mengelilingi pemain itu.

Bantuan kecemasan pernafasan turut dilakukan oleh pegawai perubatan Denmark, dan seluruh stadium senyap sepi kerana risaukan pemain itu.

Ini merupakan penampilan kelapan Denmark di Euro dan pernah menjadi juara Euro pada tahun 1994 apabila hadir sebagai bidan terjun menggantikan Yugoslavia.

Selepas membuat satu penantian yang sangat lama dan percubaan demi percubaan dilakukan, akhirnya Finland berjaya menyertai kejohanan utama bola sepak dunia buat pertama kali.

Markku Kanerva pengurus yang dilantik pada 2016 merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Finland merasai pentas Euro buat pertama kali dalam sejarah bola sepak mereka.

Sebelum itu, Markku Kanerva telah menjadi pembantu pengurus pasukan Finland selama lima tahun, sebelum itu Markku Kanerva hanya menguruskan pasukan Finland U21 dan FC Viikingit.

Perlawanan menentang Denmark bukanlah perlawanan mudah buat Finland apabila terus diasak usai pengadil meniup wisel permulaan lagi.

Namun Finland mampu bertahan dengan baik dan empat percubaan tepat dari Denmark berjaya diselamatkan penjaga gol Finland, Lukas Hradecky.

Namun selepas Cristian Eriksen rebah tidak sedarkan diri, perlawanan telah ditangguhkan sehingga diumumkan kelak.

BACA:  Ronaldo Kini Sah Bergelar Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman EURO