UEFA Tutup Kelemahan FFP Yang Membolehkan Chelsea Berbelanja £460 juta

Kelemahan yang ada pada undang-undang Financial Fair Play (FFP) yang telah dimanipulasi Chelsea bagi membolehkan mereka berbelanja sehingga £460 juta kini telah mendapat perhatian UEFA.

Badan induk bola sepak Eropah, UEFA bersedia untuk menutup kelemahan yang ada pada peraturan yang membolehkan Chelsea menyebarkan kos rekod perbelanjaan perpindahan mereka sehingga lapan tahun selepas menerima aduan daripada kelab Liga Perdana yang lain.

Sportsmail mendedahkan Sabtu lalu bahawa beberapa pesaing utama Chelsea menuduh kelab itu cuba menipu peraturan FFP dengan menggunakan pelunasan untuk menyebarkan atau mengagihkan kos yuran £88 juta Mykhailo Mudryk selama lapan tahun untuk tujuan perakaunan.

Undang-undang FIFA telah menetapkan lima tahun sebagai tempoh kontrak maksimum, tetapi pengecualian dibenarkan, yang mana Chelsea telah gunakan untuk menangguhkan sebahagian besar kos rekod perbelanjaan perpindahan £460 juta sejak Todd Boehly membeli kelab itu Julai lalu.

Selain Mudryk, yang menandatangani kontrak terpanjang dalam sejarah Liga Perdana, pertahanan Perancis, Benoit Badiashile dan penyerang Ivory Coast David Datro Fofana kedua-duanya menandatangani perjanjian enam setengah tahun bulan ini selepas ketibaan Wesley Fofana dan Marc Cucurella dengan kontrak tujuh dan enam tahun masing-masing pada musim panas lalu.

Setelah dimaklumkan tentang apa yang kelihatan seperti trend yang jelas oleh kelab lain UEFA telah bertindak balas untuk menutup kelemahan undang-undang FFP ini dan merancang untuk menetapkan had lima tahun untuk masa yang mana yuran perpindahan pemain boleh disebarkan mulai musim panas akan datang.

Ini bermakna ansuran mudah pembayaran yuran perpindahan pemain akan boleh dilakukan dalam tempoh 5 tahun sahaja maksima selepas ini.

Perubahan peraturan itu tidak akan menjejaskan pembelian Chelsea baru-baru ini, tetapi berkemungkinan mengehadkan ruang mereka untuk bergerak dalam jendela perpindahan berikutnya.

Sumber dalaman UEFA berkata sekatan lima tahun itu juga akan membantu menghalang kelab daripada menghadapi masalah kewangan lebih jauh. Satu sumber memberitahu The Times:

“Jika kelab lain mula melakukan perkara yang sama dengan kontrak lapan tahun, ia akan menjadi huru-hara jadi kami perlu melindungi mereka. Ia hanya mengalihkan masalah ke masa depan.”

“Sama ada kelab boleh terjebak dengan pemain dengan gaji tinggi yang mereka tidak boleh jual, atau jika mereka menjualnya selepas tiga atau empat tahun mereka tidak akan mendapat keuntungan yang banyak [dari segi perakaunan] kerana banyak yuran perpindahannya belum dilunaskan.”

Mulai bulan ini, UEFA telah memperkenalkan elemen baharu yang dipanggil “kawalan kos skuad”, di mana kelab akan dihadkan untuk membelanjakan 70 peratus daripada pendapatan mereka dalam setahun kalendar untuk gaji pemain, perpindahan dan yuran ejen.

Sebarang pendapatan daripada penjualan pemain akan membolehkan kelab berbelanja lebih tetapi pendapatan perpindahan akan dipuratakan dalam tempoh enam tahun sebelumnya.

Perbelanjaan mewah Chelsea sepanjang musim panas dan jendela perpindahan Januari telah memecahkan rekod, dengan angka £460 juta sudah menjadi yang tertinggi di dunia dan tertinggi dalam sejarah Liga Perdana, dan dijangka meningkat lagi.

Rekod sebelumnya dibuat oleh Manchester City, yang membelanjakan £328.1 juta pada musim 2017-18 bagi menjadikan Manchester City mendominasi Premier League seperti hari ini. Adakah Chelsea akan meraih kejayaan yang sama?

Senarai 14 pemain yang dibeli oleh Chelsea sejak diambilalih oleh Todd Boehly dan konsortiumnya dijendela perpindahan musim panas dan sejuk bernilai £460 juta:

1. Raheem Sterling – £45 juta ditambah £10 juta potensi tambahan (kontrak lima tahun)

2. Kalidou Koulibaly – £33.8 juta (kontrak empat tahun)

3. Marc Cucurella – £55 juta ditambah £7 juta potensi tambahan (kontrak enam tahun)

4. Wesley Fofana – £70 juta ditambah £10 juta potensi tambahan (kontrak tujuh tahun)

5. Carney Chukwuemeka – £20 juta (kontrak enam tahun)

6. Gabriel Slonina – £12 juta

7. Cesare Casadei – £12.6 juta ditambah £4.2 juta potensi tambahan (kontrak enam tahun)

8. Pierre-Emerick Aubameyang. – £10.6 juta (kontrak dua tahun)

9. Denis Zakaria – pinjaman, yuran £2.6 juta ditambah pilihan £30 juta untuk dibeli

10. Mykhailo Mudryk – £88 juta (kontrak 8.5 tahun)

11. Benoit Badiashile – £33.7 juta (kontrak 7.5 tahun)

12. Joao Felix – pinjaman, yuran £9 juta

13. Andrey Santos – £11 juta

14. David Datro Fofana – £10 juta (kontrak 7.5 tahun)

BACA:  Roman Abramovich Sahkan Akan Jual Chelsea dan Lupuskan Hutang Hampir $2 Bilion