UFC 249: Justin Geathje Menewaskan Tony Ferguson Dengan Keputusan TKO

UFC tetap meneruskan acara pay per view mereka walau tanpa kehadiran penonton ekoran dari penularan wabak yang teruk melanda dunia kini.

Acara UFC 249 telah dilangsungkan di VyStar Veterans Memorial Arena, Jacksonville, Florida, Amerika hari ini.

Acara utama untuk UFC 249 adalah pertarungan antara Tony Ferguson menentang Justin Gaethje untuk merebut sabuk kejuaraan interim kategori Lightweight.

Ferguson awalnya diatur untuk bertarung dengan Juara lightweight dunia UFC, Khabib Nurmagomedov yang dijadualkan pada 18 April lalu di Brooklyn.

Namun atas masalah wabak yang melanda serta beberapa masalah lain, pertarungan itu terpaksa dibatalkan.

Khabib Nurmagomedov telah menarik diri dari perlawanan tersebut lalu pihak UFC telah menggantikan tempatnya dengan menemukan Ferguson menentang Justin Gaethje.

Dana White sendiri meluahkan rasa bangganya apabila dapat melangsungkan juga acara UFC 249 dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat.

Pusingan pertama

Kedua-dua petarung memulakan aksi dengan penuh berhati-hati. Dalam pada keadaan itu, Gaethje berjaya melepaskan tumbukan ke atas Ferguson.

Selepas dari itu, Ferguson nampak lebih ofensif berbanding lawannya. Gaethje sekali lagi berjaya untuk melepaskan tumbukan ke arah muka Tony.

Ferguson terus menerus melancarkan serangan dan dibalas dengan satu tendangan padu oleh Gaethje kepadanya.

Masuk minit akhir perlawanan, Ferguson melepaskan satu tumbukan ke arah Gaethje dan cuba melakukan high kick, tapi sayang ianya tidak kena.

Pusingan kedua

Masuk pusingan kedua Tony Ferguson terus melepaskan tumbukan ke arah Gaethje namun serangan itu berjaya diserap olehnya.

Gaethje bertahan dengan baik dan berjaya menahan asakan dari lawannya. Pertarungan di pusingan kedua nampak lebih seimbang dengan kedua-dua petarung saling berbalas serangan.

Kedua-dua mereka turut berjaya melepaskan upercut ke arah lawan masing-masing dan hampir semuanya mengenai sasaran.

Gaethje lebih banyak menggunakan low kick dalam pusingan kedua ini. Sebelum tamat pusingan kedua, Gaethje hampir saja tewas apabila Tony berjaya melepaskan upercut tepat kearahnya tepat pada tamatnya pusingan kedua.

Pusingan ketiga

Tony Ferguson menerma tumbukan padu dari Gaethje yang tepat mengenai matanya hingga menyebabkan mata sebelah kanannya membengkak.

Kerana kecuaian, Tony sekali lagi ditumbuk oleh Gaethje dan kali ini mata Kirinya pula menjadi sasaran.

Menyedari Gaethje mempunyai kelebihan, Tony terus melancarkan serangan bertubi-tubi tetapi beliau tidak berjaya untuk bertahan dengan baik menyebabkan dirinya terkena lagi tumbukan dari Gaethje.

Gaethje tidak membiarkan Tony mengasaknya berterusan dan beliau turut melancarkan beberapa siri serangan keatas Tony.

Tetapi kekentalan Tony dalam pusingan ini harus dipuji, beliau mampu untuk terus bertahan dan tidak tersungkur walau diasak berkali-kali.

Gaethje menguasai pusingan ketiga hingga Tony dilihat berdarah mungkin kerana asakan dari serangan yang dilakukan olehnya.

Pusingan keempat

Ferguson teruk diasak dan jelas beliau lebih banyak terkena serangan dari lawan berbanding Gaethje.

Seperti sedia maklum, kekuatan utama Ferguson adalah menggunakan sikunya tetapi sayangnya beliau langsung tidak dapat menggunakan kekuatannya itu dalam perlawanan ini.

Gaethje melepaskan satu sepakan yang membuatkan Ferguson nampak sukar untuk menahan kesakitan ekoran dari serangan itu.

Setelah diasak teruk oleh Gaethje, Ferguson berjaya melepaskan hook kearah lawannya yang nampak masih segar.

Kombinasi kaki dan tangan yang dilakukan oleh Gaethje membuatkan Ferguson agak menderita dan tidak bermaya untuk menghadapinya.

Sebelum tamat pusingan keempat, Gaethje sempat melepaskan satu high kick yang tepat mengenai kepala Ferguson.

Pusingan kelima

Memandangkan Gaethje jelas mendahului, Ferguson tiada pilihan lain untuk menang melainkan beliau mampu melakukan KO kepada lawannya.

Namun itu bukan tugas mudah untuk Ferguson yang teruk diserang oleh lawannya. Gaethje berjaya memberi tekanan kepada lawannya hingga tidak mampu untuk diserap oleh Tony.

Tony terpaksa cuba melarikan diri dari diserang oleh Gaethje kerana beliau banyak melepaskan tumbukan satu dua kepada Ferguson.

Ferguson bocor lagi kali ini hingga berdarah buat kali kedua selepas terkena tumbukan padu yang dilepaskan oleh Gaethje.

ekoran dari serangan itu Tony dilihat semakin lemah. Gaethje menumbuk Ferguson dengan padu dan kuat hingga beliau menggeleng kepala menahan sakit.

Pengadil masih meneruskan perlawanan, Gaethje akhirnya berjaya menumbangkan Ferguson dengan satu tumbukan kuat yang membawa kemenangan TKO kepadanya.

Pengadil menamatkan pertarungan dan memberikan kemenangan kepada Gaethje.

Siapa sangka petarung bukan pilihan seperti Justin Geathje berjaya menewaskan Tony Ferguson dengan aksi sangat dominan.

Ferguson awalnya tidak menerima keputusan pengadil menghentikan pertarungan dan memberi kemenangan TKO kepada Gaethje.

Gaethje mahu berjabat tangan dengan Ferguson namun ditolak dan Tony telah menepis tangan Gaethje.

Namun selepas beberapa minit, Ferguson menuju ke arah Gaethje dan menghulurkan tangan untuk bersalam.

Dengan kemenangan ini, Justin Geathje berjaya untuk menyandang sabuk kejuaraan interim dan akan berhadapan dengan Khabib Nurmagomedov untuk kejuaraan sebenar selepas ini.

Gaethje membaling sabuk kejuaraan interim itu dan berkata:

“Aku nak pakai sabuk kejuaraan sebenar.”

BACA:  Khabib Mengucapkan Tahniah Kepada Justin Geathje Kerana Menewaskan Tony Ferguson