Unai Emery Nafi Laporan Yang Mengatakan Beliau Bergaduh Dengan Mesut Ozil

Pengurus Arsenal, Unai Emery menafikan laporan yang mendakwa ketiadaan Mesut Ozil ketika menentang West Ham semalam berpunca daripada pertelingkahan yang berlaku di antara beliau dan pemain tersebut.

Emery membuat kejutan apabila tidak menamakan Ozil dalam skuad Arsenal ketika menentang West Ham dalam perlawanan ke-3 Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates semalam. Nama Ozil juga tiada dalam senarai pemain yang berada di bangku simpanan dan beberapa akhbar tabloid Britain mula mereka cerita mendakwa Emery dan Ozil terlibat dalam satu pertelingkahan ketika sesi latihan.

Ramai membawang mengatakan Ozil bergaduh dengan Emery ketika sesi latihan. Tapi perkara itu dinafikan Emery sekeras-kerasnya

Selepas menyaksikan anak buahnya menewaskan West Ham 3-1 tanpa kehadiran Ozil, Emery telah ditanya punca sebenar mengapa Ozil tiada dalam kesebelasan utama. Bekas pengurus Paris Saint-Germain terkejut dengan berita palsu yang tersebar mengenai Ozil dan menjelaskan ketiadaan Ozil berpunca daripada masalah kesihatan.

“Kenapa informasi sebegini berada di luar sana [media] ? Berita ini tidak betul. Saya tidak tahu siapa yang beritahu kalian semua mengenai maklumat ini.”

“Mesut Ozil dan saya duduk berbincang dan beliau mengambil keputusan untuk tidak bermain. Ozil meninggalkan sesi latihan untuk balik ke rumahnya kerana beliau tidak sihat.”

“Ozil ada di stadium hari ini. Saya beritahu Ozil jika beliau sudah sihat, dia boleh datang ke stadium untuk melihat perlawanan. Ozil berasa lebih baik hari ini dan beliau ada bersama pasukan sebelum perlawanan bermula.”

Welcome to EPL, Unai Emery. Di England, cerita palsu berleluasa tanpa sebarang kawalan

Arsenal akhirnya mencatatkan kemenangan pertama dalam perlawanan kompetitif selepas era Arsene Wenger dengan membenam cabaran West Ham di hadapan penyokong sendiri.

Persembahan Arsenal jauh dari meyakinkan dan mereka bergelut untuk merobek gawang West Ham sebelum jaringan sendiri dari pemain West Ham, Issa Diop melegakan hati peminat Arsenal.

West Ham terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi Marko Arnautovic pada minit ke-25 apabila pemain antarabangsa Austria itu merembat kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan Petr Cech.

Kegembiraan West Ham hanya kekal selama 5 minit sahaja apabila Nacho Monreal berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 selepas berlaku kelam kabut di hadapan pintu gol West Ham.

Arsenal melancarkan serangan bertali arus ke gawang West Ham pada separuh masa kedua dan akhirnya berjaya mendapatkan gol pendahuluan menerusia jaringan sendiri Issa Diop. West Ham menghantar ramai pemain mereka ke atas untuk mencari gol penyamaan tetapi Arsenal kental bertahan.

Pemain gantian, Danny Welbeck berjaya menghukum West Ham pada waktu kecederaan apabila tenang menolak masuk hantaran Hector Bellerin untuk mengesahkan 3 mata berharga buat Arsenal.

Nacho Monreal meraikan jaringan penyamaan Arsenal pada minit ke-30

Walaupun gembira melihat Arsenal memungut 3 mata dari perlawanan tersebut, Emery mengakui masih banyak yang perlu dipertingkatkan anak buahnya jikalau mahu memberi cabaran serius dalam perebutan kejuaraan liga.

“3 mata hari ini sangat penting. Sepanjang 90 minit perlawanan, terdapat perkara yang positif dan negatif.”

“Pemain gantian kami mengubah perlawanan pada babak kedua. Saya gembira dengan keputusan ini tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki pemain-pemain saya.”

BACA:  Senarai Pemain Terbaik Sepanjang Zaman Arsenal