Unai Mahu Arsenal Menang Sesuatu Yang Bermakna

Unai Emery memulakan karier Arsenal  beliau dengan langkah kanan apabila mencipta rekod baru dengan menjadi pengurus yang paling banyak menang bagi 50 perlawanan pertama.

Emery yang menggantikan tempat Arsene Wenger pada musim panas lalu berjaya memenangi 32  dari 50 perlawanan pertama, melebihi mana-mana pengurus yang pernah menguruskan Arsenal sebelum ini.

Emery mahu menang sesuatu yang bermakna dengan Arsenal, bukan hanya Emirates Cup

Wenger hanya mampu memenangi 23 perlawanan manakala rekod sebelum ini dipegang oleh George Alisson yang menguruskan Arsenal pada tahun 1934, dengan 28 kemenangan.

Namun begitu, Emery tidak mahu terbawa-bawa dengan pencapaian ini kerana sasaran utama beliau adalah untuk membantu Arsenal memenangi sesuatu yang penting dan bermakna.

Arsenal berada dalam landasan terbaik untuk memenangi Europa League musim ini selepas mudah menyingkirkan Napoli di peringkat suku akhir dengan aggregat 3-0. The Gunners bakal bertemu Valencia dalam peringkat separuh akhir dengan perlawanan pertama akan berlangsung di Emirates Stadium pada 5 Mei dan timbal balik seminggu kemudian.

Ketika bercakap kepada media menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace malam ini, Emery diminta untuk mengulas mengenai pencapaian terbarunya itu.

Statistik menunjukkan Emery lebih padu pada Wenger

“Memang bagus buat kami sebagai satu pasukan dan juga buat saya selaku seorang jurulatih, tetapi saya lebih suka jika saya memenangi perlawanan.”

“Saya mahu berada di sini dan mempunyai peluang untuk memenangi sesuatu yang bermakna bersama Arsenal. Saya rasa pasukan ini semakin bertambah baik. Sekarang segalanya berada dalam tangan kami untuk melakukan sesuatu yang bermakna sebelum musim ini berakhir. ”

“Saya bangga dengan pemain saya. Saya juga bangga dengan kelab ini. Saya bangga dengan para peminat dan turut bangga dengan situasi kami sekarang dimana kami berpeluang untuk melakukan sesuatu dalam Liga Perdana Inggeris dan Europa League.”

“Kami mahu bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, tetapi kami sedar ia bakal menjadi satu tugas yang sukar. Kami perlu fokus 100% dan semua pemain mesti menumpukan perhatian.”

Mengenai pertemuan malam ini menentang Crystal Palace, Emery berkata beliau tertarik dengan impak yang dilakukan Wilfried Zaha dan Aaron Wan-Bissaka terhadap Crystal Palace musim ini.

Sumbangan Zaha pada jentera serangan dan persembahan mantap Wan-Bissaka di bahagian pertahanan membuka mata banyak kelab ternama Eropah untuk cuba memancing mereka pada jendela musim panas nanti.

Adakah ini petanda Zaha dan Bissaka akan ke Arsenal musim hadapan ?

Zaha dan Wan-Bissaka adalah produk akademi Crytal Palace dan Emery meluahkan perasaan kagumnya terhadap sumbangan mereka berdua musim ini.

“Mereka berdua adalah pemain yang cukup bagus.”

“Mereka berkembang menjadi pemain yang lebih bagus dan sekarang memberikan kejayaan kepada Palace melalui persembahan mereka.”

“Kami juga mempunyai beberapa pemain muda yang berasal dari akademi, menjalani latihan bersama skuad utama, dan turut bersama bermain dengan kami.”

BACA:  Cazorla Sedih Tidak Berpeluang Ucap Selamat Tinggal Kepada Peminat Arsenal