Unai Mahu Ramsey Beri Tumpuan Kepada Pasukan, Bukan Kontrak

Pengurus Arsenal, Unai Emery mahu Aaron Ramsey memberi sepenuh perhatian kepada pasukan dan persembahannya di atas padang, dan bukan isu kontrak yang sedang melanda dirinya ketika ini.

Kontrak Ramsey bersama Arsenal akan tamat pada penghujung musim ini dan beliau berpeluang untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana kelab luar England yang berminat untuk mendapatkan beliau secara percuma pada penghujung musim ini sebaik sahaja masuk tahun 2019.

Fokus Ramsey patut pada pasukan, bukan pada kontrak semata-mata

Namun begitu, Ramsey masih lagi berharap mampu mencapai persetujuan dengan Arsenal mengenai lanjutan kontrak walaupun perbincangan telah diberhentikan kerana kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Untuk rekod, Ramsey menyertai Arsenal pada tahun 2008 dari Cardiff City dan telah bermain di Emirates selama 10 tahun. Beliau dilaporkan telahmenolak tawaran daripada Manchester United untuk bekerjasama dengan Arsene Wenger.

Walau bagaimanapun, impian Ramsey untuk terus berbakti dengan Arsenal mungkin tidak kesampaian kerana Arsenal telah menarik kembali tawaran kontrak yang pernah mereka letakkan di atas meja sebelum ini.

Ramsey tidak tahu kenapa Arsenal tarik balik tawaran kontrak

Menyedari kegusaran yang dihadapi Ramsey berkenaan kontraknya, Emery mahu pemain antarabangsa Wales itu supaya melupakan seketika isu kontrak dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan Arsenal yang seterusnya menentang Crystal Palace di Selhurst Park malam esok.

“Fokus saya dan Ramsey patut pada perlawanan Arsenal yang seterusnya. Memang betul setiap pemain mempunyai situasi kontrak mereka sendiri tetapi kita harus mengasingkan dua perkara.”

“Bagi saya, mengenai isu Ramsey, saya sudah berbincang dengannya. Kelmarin, beliau bermain dengan penuh komitmen dan sikapnya banyak membantu pasukan. Saya sangat gembira dengan permainan beliau ketika menentang Sporting sama ada secara berpasukan atau pon individu.”

“Saya mahu fokus yang sama bagi perlawanan kami Ahad nanti. Ramsey mesti fokus kepada pasukan dan fokus untuk bekerja bersama dalam satu pasukan.”

“Ramsey dan pihak kelab boleh berbincang mengenai isu kontrak dan saya mendapat tahu beliau merasakan masa depannya bukan bersama kelab ini lagi. Tetapi bagi saya untuk pasukan ini, perkara paling penting adalah semua pemain saling bekerjasama  untuk menjadikan pasukan ini lebih baik.”

Mengenai perebutan takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Emery menolak pendapat sesetengah pihak yang meletakkan Arsenal sebagai salah satu calon untuk trofi tersebut walaupun mereka hanya dipisahkan dua mata sahaja dengan pendahulu, Manchester City.

Arsenal bukan calon juara lagi. Sabor

“Kami fokus terhadap satu-satu perlawanan. Sekarang fokus kami adalah pada hari Ahad nanti. Sama ada menang atau kalah nanti, situasi yang berbeza akan dihadapi kami selepas itu.”

“Ketika kami tewas dalam dua perlawanan awal, ramai orang berpendapat musim ini mungkin sukar untuk Arsenal.”

“Sekarang kami berjaya memenangi perlawanan secara berturut-turut dan orang yang sama meletakkan Arsenal sebagai calon untuk menduduki tempat ke-4 teratas.”

BACA:  Community Shield 2020/21 : Arsenal* 1-1 Liverpool (Pen. 5-4)