Unai Masih Percayakan Ozil

Pengurus Arsenal, Unai Emery menegaskan Mesut Ozil masih lagi sebahagian daripada perancangan beliau di Arsenal walaupun sering dipinggirkan dari kesebelasan utama sejak kebelakangan ini.

Bekas pemain ant arabangsa Jerman itu langsung tidak kelihatan dalam 5 perlawanan terakhir The Gunners, dan situasi ini menyebabkan Ozil dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Emirates Stadium.

Unai masih percayakan Ozil. Anda percaya tak ?

Dalam kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Chelsea hujung minggu lalu, Ozil dinamakan di bangku simpanan tetapi khidmatnya langsung tidak digunakan Emery sepanjang 90 minit permainan.

Sejak Arsenal seri 1-1 menentang Wolves pada 11 November tahun lalu, Ozil hanya beraksi selama 155 minit sahaja dalam Liga Perdana Inggeris.

Keadaan Ozil semakin bertambah sukar dengan beberapa bekas pemain Arsenal seperti Emmanuel Petit dan Paul Marriner mengkritik komitmen dan kerja keras Ozil ketika berada di dalam padang.

Walau bagaimanapun, Emery menafikan segala ura-ura yang mendakwa Ozil akan berpindah sambil menambah pemain itu mungkin akan diturunkan beraksi dalam perlawanan Arsenal yang seterusnya.

Ozil tidak beraksi langsung dalam 5 perlawanan terakhir Arsenal walaupun sudah sembuh dari kecederaan bermain Fortnite secara keterlaluan.

“Ozil boleh beraksi pada hari Sabtu lalu tetapi kami mengambil keputusan untuk tidak menurunkan beliau.”

“Saya ada bercakap dengan Ozil dan saya mahu beliau bersedia untuk bermain dalam perlawanan yang seterusnya, sama seperti pemain-pemain lain.”

“Menentang Chelsea, saya tetap percayakan Ozil jika saya turunkan beliau. Saya tahu beliau mampu lakukan perkara yang kami mahukan dan kami memerlukan kualiti beliau dalam perlawanan selepas ini.”

Walaupun spekulasi bertiup kencang mengatakan Ozil tidak lagi berasa gembira di Arsenal, bekas pemain Real Madrid dan Werden Bremen itu difahamkan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk meninggalkan Arsenal dalam waktu terdekat ini.

Tambahan pula, dengan kontrak lumayan Ozil yang menyaksikan beliau menerima £350,000 seminggu, agak sukar untuk kelab di luar sana untuk membayar jumlah yang sama kepada pemain yang kini sudah pon berusia 30 tahun.

350,000 seminggu bai. Kelab lain mana sanggup nak bayar

“Mesut telah menandatangani kontrak baru pada Januari tahun lepas kerana beliau melihat masa depannya adalah bersama Arsenal dan tiada apa yang berubah sejak dari itu.” Ujar ejen kepada Ozil, Dr. Erkut Sogut.

“Beliau mahu terus kekal sehingga kontraknya tamat dan mungkin lebih lama daripada itu. Mesut seratus peratus komited dengan kelab bola sepak Arsenal.”

“Beliau cintakan kelab ini, berkongsi nilai-nilai yang sama dan tidak mahu berada di tempat lain selain Arsenal.”

BACA:  Arsenal Sedia Lepaskan Ramsey Lebih Awal Kepada Juventus Dengan Satu Syarat