United Akan Lepaskan Bintang Utama Kelab Selepas Ketibaan Jadon Sancho

Selepas Manchester United mengesahkan penandatanganan Jadon Sancho, sepertinya tempat untuk Anthony Martial dalam skuad sudah semakin tidak jelas.

Manchester United sudah mengumumkan Jadon Sancho sebagai pemain mereka pada hujung minggu lalu, selepas pihak kelab melengkapkan perpindahan pemain sayap berusia 21 tahun itu dari Borussia Dortmund, dengan yuran perpindahan bernilai £73 juta.

Sancho menandatangani perjanjian selama lima tahun bersama setan merah dan beliau tentunya akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad.

Hal ini kerana Ole Gunnar Solskjaer sudah sememangnya lama menantikan kehadiran beliau, dengan pengurus dari Norway itu sudah ada perancangan terbarunya bagi menghadapi saingan musim hadapan.

Setan merah juga dijangka akan terus memperkuat skuad sedia ada dengan mereka sedang berusaha untuk menandatangani Raphael Varane dari Real Madrid.

Pemenang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Perancis itu sudah menyatakan persetujuan beliau untuk ke Old Trafford, namun beliau masih menghormati kontraknya bersama Los Blancos.

Maka Varane menyerahkan sepenuhnya kepada pihak kelab soal masa depan beliau, dan berharap agar Real Madrid akan bersetuju untuk melepaskannya ke Old Trafford.

Walau bagaimanapun, kehadiran Sancho tentunya akan memberi sedikit kesan kepada Anthony Martial dengan masa depan beliau kini dilihat semakin pudar.

Martial yang kini berusia 25 tahun dilihat gagal untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Martial sememangnya sering menjadi mangsa cacian peminat setiap kali United tewas sebelum ini

Pemain kebangsaan Perancis yang ditandatangani oleh Manchester United pada 2015 lalu itu bakal berdepan cabaran lebih sukar selepas setan merah menandatangani Jadon Sancho.

Maka dengan itu, semakin sukarlah untuk Martial mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad selepas ini.

Menurut sumber laporan dari The Daily Star, Manchester United dilaporkan sanggup untuk melepaskan Anthony Martial dalam usaha mereka untuk mendapatkan dana tambahan selepas melabur untuk mendapatkan Sancho.

Namun begitu, agak tidak mudah juga untuk setan merah melepaskan Martial, memandangkan mereka meletakkan tanda harga bernilai £50 juta untuk pemain Perancis itu.

Tottenham Hotspur dilaporkan berminat untuk menandatangani pemain penyerang Manchester United itu, namun pihak kelab tidak sanggup untuk membayar jumlah gaji yang sama seperti apa yang Martial terima di Old Trafford.

Setan merah membayar Anthony Martial £250,000 seminggu, dan Tottenham Hotspur tidak sanggup untuk menawarkan jumlah yang sama.

The Daily Star melaporkan yang chairman Spurs, Daniel Levy tidak bersetuju sama sekali untuk menjadikan Martial sebagai penerima gaji tertinggi di kelab.

Tottenham Hotspur sedang dalam usaha mereka untuk memperkuat jentera serangan kelab, memandangkan masa depan Harry Kane masih tidak jelas.

Penyerang utama skuad kebangsaan England itu semakin hangat dikaitkan dengan perpindahan menyertai Manchester City, dengan The Citizens telah menawarkan £160 juta untuk mendapatkan Harry Kane.

Bekas pengurus Manchester United, Louis Van Gaal merupakan individu bertanggungjawab yang membawa masuk Martial ke Old Trafford dari Monaco dengan yuran perpindahan bernilai £36 juta.

Martial telah berjaya menjaringkan 78 gol dari 258 penampilan bersama setan merah, dengan bekas pemain Monaco itu sering dikritik oleh para peminat atas aksi hambar yang beliau pamerkan pada musim lalu.

Beliau terpaksa diketepikan dari skuad United pada musim lalu, selepas menderita kecederaan lutut yang agak teruk ketika sedang beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis pada bulan Mac.

Peminat Manchester United sepertinya tidak begitu terkesan seandainya Martial dilepaskan, namun setan merah yang perlu risau kerana harga yang mereka letakkan untuk pemain penyerang itu dianggap tidak masuk akal.

Agak mustahil untuk mana-mana kelab menawarkan gaji serta membayar nilai £50 juta untuk mendapatkan Martial memandangkan kepada persembahan yang beliau persembahkan musim lalu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Liverpool Bakal Lebur Rekod Manchester United