Upamecano Tidak Boleh Sertai Pra Musim Bersama Bayern Kerana Klausa Aneh Dalam Kontraknya

Penandatanganan terbaru Bayern Munich, Dayot Upamecano dijangka tidak dapat mengikuti sesi pra musim skuad barunya kerana klausa aneh yang diletakkan oleh RB Leipzig dalam kontraknya.

Klausa tersebut sangat aneh dan tak masuk akal, yang juga bakal menyebabkan beliau seolah tergantung tak bertali buat seketika.

Juara Bundesliga itu telah mengumumkan yang mereka sudah melengkapkan urusan perpindahan pertahanan Perancis itu dengan mengaktifkan klausa perlepasannya bernilai €42.5 juta.

Upamecano menandatangani perjanjian selama lima tahun dan beliau sekali lagi akan dikendalikan oleh Julian Nagelsmann.

Kedua-dua Nagelsmann dan Upamecano telah melengkapkan perpindahan masing-masing untuk menyertai Bayern Munich dari RB Leipzig.

Dayot Upamecano dijangka akan sah menjadi pemain Bayern Munich pada 1 Julai nanti, namun laporan terbaru dari BILD mendakwa yang kontraknya bersama Leipzig masih aktif sehingga 15 Julai.

Beliau harus menunggu sehingga 15 Julai kerana Bayern Munich telah mengaktifkan klausa perlepasannya maka beliau harus mengikuti syarat yang ada dalam klausa tersebut.

Laporan sama turut mendakwa yang sekiranya Bayern mahu Upamecano menyertai mereka lebih awal, pihak kelab perlu menanggung separuh dari gaji bulanannya yang bernilai sekitar €200,000.

Apa yang pasti, Bayern Munich sepertinya tidak akan berminat untuk bersetuju dengan syarat tersebut pada ketika ini.

Oleh yang demikian, Upamecano akan menyertai sesi latihan pra musim bersama Leipzig pada 5 Julai dan menghabiskan masa selama seminggu di sana sebelum menyertai Bayern Munich.

Commercial director RB Leipzig, Florian Scholz sendiri telah mengesahkan tentang situasi aneh tersebut.

“Sepertinya akan lebih masuk akal untuk kedua-dua kelab, jika Upamecano mula mempersiapkan diri bersama kelab barunya selepas rehat musim panas.”

Jelas Scholz menurut Bavarian Football Works.

“Walau bagaimanapun, situasi yang sebenarnya tidak seperti itu dengan mengikut kontrak asal beliau. Sebab itu kami menjangkakan dia akan sertai latihan bersama RB Leipzig terlebih dahulu.”

Upamecano merupakan pemain pertahanan yang paling dikehendaki oleh kebanyakkan kelab dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Di usia 17 tahun, beliau sudah hampir untuk menyertai Manchester United, namun perpindahan itu sama sekali tidak berlaku.

“Saya masih terlalu muda. Saya mahu terus menandatangani perjanjian bersama mereka.”

Jelasnya kepada The Athletic.

“Manchester United! Tapi kemudian ibu bapa saya suruh saya berfikir semula secara masak-masak.”

Beliau kemudian menyertai Red Bull Salzburg sebelum menandatangani perjanjian bersama Leipzig.

Beliau telah membuat 154 penampilan bersama Leipzig dan telah mempamerkan rentak persembahan yang sungguh menakjubkan dalam saingan liga dan Champions League.

BACA:  Upamecano Suruh Pemain England Tidur Awal Jika Mahu Hentikan Mbappe