Usain Bolt Berjaya Jaringkan Dua Gol Dalam Perlawanan Ujian, Peluang Cerah Untuk Raih Kontrak Profesional

Pemegang rekod dunia lari 100 meter, Usain Bolt berjaya menjaringkan dua gol untuk Central Coast Mariners dalam perlawanan ujian menentang pasukan divisyen kedua, Macathur South West United.

Central Coast Mariners merupakan pasukan yang beraksi dalam A-League dan telah menandatangani Bolt bagi menjalani percubaan . Jika dipilih, Bolt akan memperkuatkan pasukan tersebut bagi mengharungi musim baru yang bakal bermula tidak lama lagi.

Bolt bersara sebagai pelari pecut pada tahun 2017 selepas menggondol 8 pingat emas di Sukan Olimpik. Beliau juga pemegang rekod dunia bagi acara 100 meter, 200 meter, dan 4 x 100 meter.

Dalam perlawanan ujian tersebut, Bolt diletakkan sebagai penyerang utama bersama bekas pemain Aston Villa, Ross McCormack.

Ketika Mariners mendahului perlawanan 2-0, Bolt berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk kelab tersebut menerusi gerakan dari sebelah kiri padang. Beliau membawa bola masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola dengan kencang untuk menewaskan penjaga gol Macathur.

Kegilaan Bolt tidak berakhir di situ saja. Pada minit ke-67, Bolt berjaya menambah satu lagi gol untuk menjadikan kedudukan 4-0 selepas berlaku salah faham antara penjaga gol dan pemain pertahanan pihak lawan. Bolt mudah menolak masuk bola ke dalam gawang yang tidak dijaga dan meraikannya dengan tarian ‘Fortnite’.

Bolt nyata gembira dengan persembahan beliau dalam perlawanan tersebut dan berharap Mariners akan menandatangani beliau secara tetap bagi musim baru ini.

“Saya gembira kerana dapat berada di sini dan menunjukkan kepada dunia yang saya semakin bertambah baik. Saya sangat berharap dapat bergelar pemain Mariners dan menunjukkan kebolehan saya bersama pasukan ini.”

Sejak bersara dari trek balapan, Bolt telah meluahkan hasratnya berulang kali untuk bergelar pemain profesional. Bolt yang merupakan peminat Manchester United-susah-mati, pernah menjalani latihan bersama Borussia Dortmund.

Bolt berharap Mariners akan menghadiahkan beliau kontrak untuk bergelar pemain profesional dan dua gol sumbangannya dalam perlawanan tersebut diharap mampu meningkatkan peluang beliau.

A-League bakal bermula pada 19 Oktober dan pasukan Mariners masih lagi belum membuat keputusan sama ada untuk memberikan kontrak kepada Bolt atau tidak

Pemain tengah Dortmund yang pernah menjalani latihan bersama Bolt, Mario Gotze mendakwa pemenang 8 pingat emas Olimpik itu mampu bergelar pemain bola sepak profesional.

“Saya percaya Bolt mampu bergelar pemain bola sepak profesional. Saya mungkin tidak tahu tahap sebenar bola sepak di A-League dan saya juga tidak tahu bagaimana pasukan di sana beraksi.”

“Bolt merupakan seorang ahli sukan dan mempunyai banyak ciri-ciri yang penting untuk berjaya dalam bola sepak.”

BACA:  Apa Yang Terjadi Dengan Karier Bola Sepak Usain Bolt?