Van de Beek Sindir United Berkait Minit Permainannya Di Old Trafford

Donny Van de Beek menyindir Manchester United berkait kekurangan minit permainan beliau ketika kariernya di Old Trafford, selepas beliau memulakan karier yang menakjubkan bersama Everton.

Van de Beek menandatangani perjanjian sebagai pemain pinjaman sehingga akhir musim ini bersama The Toffees pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini.

Beliau ketika beraksi bersama Everton dalam aksi kemenangan 3-0 menewaskan Leeds United baru-baru ini telah dinamakan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Bintang kebangsaan Belanda itu tidak dinafikan lagi sememangnya telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan tersebut.

Pemain berusia 24 tahun itu sudah bermain selama 120 minit untuk Everton dan pada hujung minggu lalu, buat pertama kali sepanjang sembilan bulan kariernya dalam saingan Premier League, Van de Beek telah bermain selama 90 minit.

“Saya sangat gembira dapat beraksi selama 90 minit.”

Jelas Van de Beek kepada Daily Mirror.

“Dalam 20 minit terakhir, saya rasa sudah lama saya tak main satu perlawanan penuh dan saya rasa sedikit penat! Tapi ia merupakan hari yang menakjubkan dan permulaan yang baik untuk saya. Kita memang sangat memerlukan ini.”

Cara beliau bercakap menjelaskan tentang terujanya beliau dapat bermain selama 90 minit sudah cukup untuk membuktikan yang beliau kini rasa lega dapat tinggalkan Old Trafford.

Mengapa beliau menyindir United tentang minit permainan? Jelas sekali kerana beliau tak pernah rasa main 90 minit ketika kariernya bersama setan merah.

Baik ketika era Ole Gunnar Solskjaer hinggalah ke era pengurus interim kelab, Ralf Rangnick, Van de Beek tetap gagal untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Beliau bahkan sudah mahu meninggalkan kelab sejak dari jendela perpindahan musim panas lalu lagi, namun Ole Gunnar berjaya meyakinkan beliau agar kekal bersama kelab.

Ole ketika itu menjanjikan yang Van de Beek ada dalam perancangan beliau dan beliau turut menjanjikan minit permainan untuk bintang Belanda itu.

Walau bagaimanapun, sampailah ke hari pengurus dari Norway itu dipecat, Van de Beek masih kekal menjadi duta bangku simpanan dan kerana itulah beliau memutuskan untuk meninggalkan kelab pada Januari ini.

Van de Beek menyertai Manchester United dari Ajax pada tahun 2020 yang lalu dengan yuran perpindahan bernilai £40 juta.

Pemain kebangsaan Belanda itu berjaya mara sehingga ke aksi peringkat separuh akhir saingan Champions League bersama Ajax pada tahun 2019 yang lalu.

Melihat kepada persembahannya pada ketika itu, ramai yang percaya bahawa Van de Beek merupakan prospek masa hadapan dalam dunia bola sepak.

Beliau kemudiannya berjaya menarik minat Manchester United untuk menandatanganinya, dan sepanjang kariernya di Old Trafford, beliau sering berada di belakang Fred dan Scott McTominay.

United melepaskan Van de Beek ke Goodison Park sebagai pemain berstatus pinjaman, dan mereka turut tidak memberi pilihan pembelian tetap kepada Everton.

United percaya yang Van de Beek mempunyai masa depan yang cerah bersama kelab, terutama memikirkan pengurus kelab selepas ini mungkin akan memerlukan khidmatnya.

Van de Beek memainkan peranan penting ketika Seamus Coleman meledak gol pembukaan untuk Everton ketika bertemu Leeds United hujung minggu lalu.

Pengurus terbaru Everton, Frank Lampard turut memberikan pujian yang menggunung kepada Van de Beek dengan menyatakan:

“Saya sangat gembira dengan Donny, bermain dua midfield bertemu Leeds sangat sukar kerana pergerakan dan rotation bodies mereka. Dia dan Allan sememangnya menakjubkan.”

“Donny ketika membawa bola dia akan berikan kita ketenangan dengan dia ada kebijaksanaan serta gerakan yang hebat dan dia sepertinya akan sentiasa bertambah bagus.”

Everton kini berada di kedudukan ke-16 dalam carta saingan liga dengan mereka selepas ini akan turun bertemu Southampton untuk terus mengutip tiga mata penuh dan mengelak dari berada di zon penyingkiran.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mane Dedah Punca Sebenar Tolak Lamaran Lumayan Manchester United