Van Dijk Dedah Ucapan Masa Rehat Klopp Yang Bangkitkan Roh Liverpool Tewaskan Villareal

Beraksi di arena lawan di Estadio de la Cerámica, Liverpool mendapati diri mereka ketinggalan dua gol kepada Villareal.

Kedudukan tersebut turut membuatkan kelebihan agregat dua gol milik kelab Merseyside itu dipadam oleh pasukan lawan.

Dua gol jaringan Boulaye Dia dan Francis Coquelin pada babak pertama oleh Yellow Submarines sedikit sebanyak mengejutkan Liverpool yang merupakan pilihan utama mara ke final.

Liverpool bukan sekadar pilihan. Mereka juga yakin final itu milik mereka walaupun sebelum undian peringkat kumpulan.

Dengan momentum pada ketika itu tampak menjadi milik Villareal, Liverpool jelas memerlukan tonik segera untuk bangkit memberikan respon pada babak kedua perlawanan.

Dan tonik yang dicari datangnya daripada pengurus mereka, Jurgen Klopp yang menyampaikan team talk pada waktu rehat – dan berjaya mengapikan kembali semangat barisan pemain The Reds yang mulai luruh dirempuh The Yellow Submarines.

Team talk berapi-api itu dikongsikan oleh kapten pasukan, iaitu pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil van Dijk ketika ditemubual wartawan selepas perlawanan.

“Ayuh bermain bola sepak. Bermainlah dengan cara Liverpool. Ia tiada bezanya dengan permainan yang kita tampilkan sepanjang musim ini,” kata Van Dijk sambil mengajuk gaya Klopp berucap pada waktu rehat itu.

“Kuasai bola, banyakkan gerakan di belakang garis tinggi mereka. Dengan kepantasan yang kita miliki, anda pasti boleh menemui kombinasi [untuk gol]. Jangan lupa tampilkan semangat berjuang habis-habisan untuk ke final.”

“Dari situlah permulaannya kami mendominasi dan bermain dengan begitu baik pada babak kedua,” kata Van Dijk lagi.

Usaha Klopp membangkitkan semangat barisan pemainnya nyata memberikan kesan apabila pada babaj kedua, Liverpool berjaya bangkit membalas kelebihan dimiliki Villareal.

Tiga gol jaringan bermula daripada Fabinho, Luis Diaz dan Sadio Mane mengesahkan kemaraan Liverpool ke final dengan kemenangan 5-2 secara agregat ke atas Villareal.

Baca Juga

Baca Juga