Van Dijk Dianggap Lebih Hebat Berbanding Vidic Dan Ferdinand

Tony Bellew percaya yang Virgil Van Dijk merupakan pertahanan terhebat yang pernah beliau lihat wujud dalam dunia bola sepak ini.

Beliau bahkan menganggap pertahanan Liverpool itu lebih hebat berbanding legenda Manchester United, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic.

Van Dijk yang kini berusia 30 tahun sering dipuji atas impak beliau bersama Liverpool sejak ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £75 juta dari Southampton pada Januari 2018 yang lalu.

Pemain kebangsaan Belanda itu telah berjaya membantu Liverpool menjulang pelbagai kejuaraan utama termasuk Champions League dan Premier League.

Van Dijk turut pernah berada di kedudukan kedua dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun 2019 lalu di belakang Lionel Messi.

Penyokong Everton, Bellew kini memberikan pujian yang menggunung kepada ketua pasukan Belanda itu dengan menganggapnya sebagai pertahanan berkelas Rolls-Royce dan turut menegaskan yang Van Dijk lebih hebat berbanding Ferdinand.

Bekas petinju yang kini berusia 38 tahun itu memberitahu GiveMeSport bahawa:

“Pemain yang menakjubkan. Saya rasa dia adalah pemain pertahanan terhebat yang pernah saya lihat sepanjang hidup saya. Saya rasa dia sebagus itu. Dia pertahanan berkelas Rolls-Royce.”

“Saya tak pernah lihat pertahanan sekental dan sehebat dia sejak waktu kemuncak Rio Ferdinand dan saya rasa kemampuan fizikal dia lebih bagus berbanding Rio Ferdinand. Itu satu-satunya sebab saya nilai dia lebih bagus berbanding Ferdinand.”

“Jangan salah faham, dia perlukan karier yang lebih panjang dan dia perlukan lebih banyak Piala untuk terus dianggap yang terbaik, tapi saya hanya fikir dengan melihat dia sahaja dan apa dia buat ketika beraksi, saya rasa dia adalah pertahanan terhebat pernah saya jumpa sepanjang hidup saya.”

“Ketika kamu membicarakan tentang pure defending, saya akan kata Franco Baresi dan Paolo Maldini yang terhebat sepanjang zaman, tapi mereka mungkin tak mampu buat hal-hal menarik dengan bola seperti Van Dijk.”

“Kamu tahu, cara bagaimana dia menghantar bola sekitar 80 ela, langsung tak ada masalah. Dia bukan sekadar menghantar bola dalam jarak 80 ela dan pemain lain mengejar untuk dapatkan bola itu. Tapi dia hantar bola tepat ke kaki pemain itu. Ia sungguh menakjubkan.”

“Dia jelas sekali pertahanan berkelas Rolls-Royce. Dia sungguh luar biasa dan seseorang yang saya letakkan nilai yang sangat tinggi, yang mana ia menyakitkan saya untuk katakan, untuk faham, yang dia sungguh menakjubkan.”

Kembalinya Van Dijk pada musim ini memberi kelegaan kepada Jurgen Klopp yang pening kepala memikirkan masalah pertahanan pada musim lalu, kerana bintang Belanda itu dibelenggu masalah kecederaan berpanjangan.

Van Dijk menghabiskan satu musim pada musim lalu untuk menjalani fasa penyembuhan selepas mengalami kecederaan ACL di lutut kanannya ketika beraksi bertemu Everton.

Van Dijk telah turun beraksi dalam kesebelasan utama Liverpool dalam lima perlawanan pertama liga, dengan The Reds pada ketika ini berada di puncak saingan liga.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lovren Gembira Gandingan Bersama Van Dijk Menampakkan Hasil Yang Positif