Pemain pertahanan termahal dunia, Virgil van Dijk berkata Liverpool akan berjuang habis-habisan pada musim hadapan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi ke Anfield.
Kali terakhir Liverpool mencium bau piala adalah pada tahun 2012, ketika mereka menewaskan Cardiff City dalam perlawanan akhir Piala Liga. Sejak daripada itu, Liverpool mengalami kemarau piala dan musim lepas menyaksikan Real Madrid menjadi penghalang di antara Liverpool dan trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Van Dijk yang masih belum merasai sebarang trofi sejak tiba di England berkata Liverpool akan berusaha untuk menjadi pencabar utama pertandingan di peringkat domestik dan juga Eropah. Van Dijk turut mengakui Liverpool akan mengharungi kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dengan tekanan selepas berbelanja besar dalam tirai perpindahan kali ini.
“Dengan pemain yang kami miliki sekarang dicampur pemain dari musim lepas, kami berupayan untuk menjadi pencabar utama dalam semua pertandingan yang kami sertai.”
“Saya berharap kami akan mampu mencipta sesuatu yang istimewa tahun ini. Saya tidak suka untuk melihat terlalu jauh ke hadapan – kami perlu membuktikan keupayaan pasukan ini di atas padang dan memastikan kami bermain dengan baik.”
“Semua pemain dalam skuad ini mahu memenangi sesuatu. Kami juga tahu musim hadapan bakal menjadi satu lagi musim yang mencabar.”
Jurgen Klopp tidak mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan lebihan duit daripada penjualan Coutinho ke Barcelona musim lepas. Klopp telah membelanjakan hampir £170 juta untuk membawa masuk Alisson, Naby Keita, Fabinho, dan Xherdan Shaqiri bagi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi cabaran musim ini.
Apabila ditanya mengenai pengaruh yang dibawa oleh pemain-pemain baru Liverpool, van Dijk berharap pemain ini mampu mencipta sejarah baru di Liverpool.
“Saya berharap mereka mampu membawa kesan yang baik kepada pasukan ini. Mereka merupakan pemain yang berkualiti dan sangat sesuai dengan kelab seperti Liverpool. Saya amat berharap kami akan mampu mencipta sejarah kami sendiri di Liverpool.”
Liverpool membelanjakan £67 juta untuk membawa masuk penjaga gol antarabangsa Brazil, Alisson dari AS Roma. Ia merupakan nilai rekod dunia bagi penjaga gol dan van Dijk mengakui beliau sudah tidak sabar untuk bekerjasaman dengan Alisson dan teruja dengan apa yang bakal Alisson berikan kepada kelab ini.
“Alisson merupakan penjaga gol yang berkualiti, itu saya amat pasti. Kita akan lihat bagaimana beliau menyesuaikan diri dengan pasukan ini. Beliau kelihatan seperti penjaga gol yang sangat baik.”
“Beliau terlepas beberapa gol ketika menentang kami dalam Liga Juara-Juara Eropah musim lepas. Tetapi ia sudah boleh dijangka apabila berhadapan pasukan seperti kami !”