Van Dijk Tuduh Doucoure Cetus Provokasi Selepas Gol Penyamaan Everton

Ketegangan di Penghujung Perlawanan

Pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk menuduh Abdoulaye Doucoure cuba mencetus provokasi terhadap penyokong lawan (penyokong Liverpool) selepas Everton menjaringkan gol penyamaan lewat dalam perlawanan derbi Merseyside. Perlawanan penuh drama itu berakhir dengan pergaduhan yang melibatkan ramai pemain dari kedua-dua pasukan.

Doucoure dan pemain tengah Liverpool, Curtis Jones, kedua-duanya dilayangkan kad merah selepas tamat perlawanan. Selain itu, pengurus Liverpool Arne Slot, serta pembantunya, Sipke Hulshoff turut diarahkan keluar padang selepas wisel penamat dibunyikan.

Kini, kedua-dua kelab berkemungkinan berdepan tindakan disiplin berikutan insiden yang berlaku di penghujung perlawanan. Kekecohan itu bermula selepas kapten Everton, James Tarkowski menjaringkan gol penyamaan dramatik pada minit ke-98. Gol itu memastikan derbi terakhir di Goodison Park berakhir dengan keputusan seri sebelum Everton berpindah ke stadium baru di Bramley-Moore Dock.

Penyokong Everton Masuk Ke Padang

Jaringan Tarkowski mencetuskan sorakan hebat daripada penyokong tuan rumah, malah ada sebahagian daripada mereka yang meluru masuk ke padang sebelum diarahkan kembali ke tempat duduk. Proses semakan VAR untuk gol tersebut turut menyebabkan kelewatan tambahan dalam permainan.

Sebaik sahaja pengadil, Michael Oliver meniup wisel penamat, Doucoure berlari ke arah penyokong Liverpool untuk meraikan gol menyebabkan Curtis Jones bertindak balas. Insiden ini mencetuskan kekecohan di atas padang apabila pemain dari kedua-dua pasukan bertembung dan perlu dipisahkan oleh pegawai perlawanan.

Van Dijk Kritik Pengadil dan Doucoure

Dalam temu bual bersama TNT Sports selepas perlawanan, Van Dijk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Doucoure serta cara pengadil mengawal perlawanan:

“Ini adalah perlawanan besar bagi mereka. Kami sudah melihatnya tahun lepas dan kali ini ia satu tamparan hebat buat kami. Doucoure memang sengaja mahu mencetus provokasi terhadap penyokong kami. Curtis rasa itu sesuatu yang tidak betul. Saya rasa pengadil tidak mengawal perlawanan dengan baik dan saya telah beritahu dia mengenai perkara itu.”

Beliau turut menyatakan bahawa insiden itu berlaku kerana tindakan provokatif seorang pemain tertentu dan menegaskan bahawa pasukannya hanya bertindak balas secara berpasukan.

“Apabila perkara seperti ini berlaku, ia akan menjadi huru-hara. Tapi ini bukan tugas saya untuk menguruskannya, sepatutnya pengadil yang mengawal keadaan. Namun, hari ini saya rasa dia gagal melakukannya sepenuhnya.”

Mengenai gol penyamaan lewat, Van Dijk berkata:

“Ia memang sukar. Bolos pada saat akhir memang mengecewakan. Kami lihat bagaimana mereka meraikan gol itu, jadi jelas betapa bermaknanya bagi mereka. Tapi bagi kami, ia sangat mengecewakan.”

Perlawanan Penuh Drama

Everton terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Beto pada separuh masa pertama, namun Alexis MacAllister menyamakan kedudukan sebelum rehat. Mohamed Salah kemudian memberikan Liverpool kelebihan pada minit ke-73 dengan gol ke-22 beliau musim ini, sebelum Tarkowski menyamakan kedudukan di saat akhir.

Pengurus Everton, David Moyes memuji semangat penyokong dan pasukannya selepas perlawanan:

“Sokongan di dalam stadium malam ini sangat luar biasa. Ia sokongan yang hebat dan saya rasa mereka berhak mendapat keputusan seperti ini.”

“Kami tidak menang, itu memang mengecewakan. Tetapi sekurang-kurangnya kami berjaya mendapatkan keputusan seri dalam perlawanan yang pada satu ketika nampak seperti kami akan kalah.”

“Ada sedikit kekecohan di penghujung perlawanan, tetapi mungkin itu yang menjadikan malam ini lebih menghiburkan.”

Kedudukan Semasa Liga

Keputusan ini menyaksikan Liverpool kekal di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 7 mata, manakala Everton berada di kedudukan ke-15 dengan 27 mata.

BACA:  Newcastle United Mahu Sailang Asensio Dari Sertai Liverpool Pada Musim Panas Ini