Vertoghen Harap Eriksen Terus Kekal Di Tottenham Walaupun Dikaitkan Dengan Real Madrid

Pemain pertahanan Tottenham Hotspurs, Jan Vertoghen berharap pasukannya mampu mengekalkan khidmat Christian Eriksen bagi menghadapi saingan musim hadapan walaupun pemain tersebut berterusan dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol untuk menyertai Real Madrid.

Dalam perkembangan terbaru, Eriksen memberitahu umum yang beliau ingin mencuba sesuatu yang baru dan ia menguatkan lagi spekulasi yang mengatakan beliau akan menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas ini.

Eriksen dicanang menjadi sasaran Zinedine ZIdane untuk memperkuatkan jentera tengah skuad gergasi Sepanyol musim hadapan.

Eriksen mengeluarkan kenyataan panas itu sebaik sahaja Tottenham tumpas kepada Liverpool dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan The Reds mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas anak buah Mauricio Pochettino.

Real Madrid yang memiliki poket tebal pada jendela perpindahan kali ini, telah mengenal pasti Eriksen sebagai sasaran bagi memperkuatkan skuad Los Blancos yang baru sahaja melalui musim yang cukup mengecewakan.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez baru sahaja meluluskan pembelian dua pemain berpfofil tinggi iaitu Eden Hazard dan Luka Jovic bagi memberi nafas baru kepada jentera serangan mereka.

Walau bagaimanapun, Vertoghen masih menaruh harapan Spurs akan berusaha untuk meyakinkan Eriksen supaya terus kekal di North London.

Vertoghen dan Eriksen bagai kuku dengan kulit. Bermain bersama sejak usia remaja sehingga ke hari ini.

“Sudah tentu, apabila jendela perpindahan dibuka akan timbul pelbagai spekulasi. Tahun lepas pon banyak spekulasi tetapi kami masih tetap bersama, jadi kali saya berharap perkara sama akan berlaku.” Ujar Vertoghen ketika ditemu ramah Sky Sport News.

“Eriksen adalah pemain yang hebat. Saya sudah mengenalinya sejak beliau berumur 16 tahun lagi dan bermain di sisinya sejak umur 16-17 tahun. Saya amat berharap beliau akan kekal di Spurs musim depan. Beliau adalah pemain yang cukup menakjubkan.”

Eriksen berpindah ke Spurs dari Ajax Amsterdam pada tahun 2013 dan sejak daripada itu, beliau telah berkembang menjadi antara pemain tengah terbaik di Liga Perdana Inggeris dan juga Eropah.

Beliau telah melakukan 276 penampilan dan turut berjaya menjaringkan 66 gol sepanjang 6 musim bersama kelab London tersebut. Di peringkat antarabangsa pula, beliau dianggap pemain paling penting dalam skuad Denmark dan telah meraih 89 penampilan walaupun baru sahaja berusia 27 tahun.

Bagaikan terkena kejuatan budaya, Eriksen dan Vertoghen sudah lama tidak menjulang trofi. Berbeza dengan ketika bersama Ajax dulu

Musim ini menyaksikan beliau melakukan 50 penampilan dalam semua pertandingan untuk Tottenham, termasuk menjaringkan 10 gol.

Walau bagaimanapun, Eriksen masih gagal memenangi sebarang trofi untuk Spurs sehingga ke hari ini. Paling dekat adalah penampilan dalam final Piala Liga 2015 dan final Liga Juara-Juara Eropah beberapa hari yang lalu.

Sebelum berpindah ke England, Eriksen berjaya mengecapi pelbagai trofi bersama Ajax, antaranya menjulang 3 kejuaraan Eredivisie.

BACA:  Zidane: Bale Tidak Lagi Sesuai Dengan Real Madrid