VIDA : Traore Perlu Mandi Bunga Untuk Buang Badi

KOTA BHARU: Pemain import Kelantan, Dramane Traore, perlu menajamkan segera sentuhan penyudah jika tidak mahu disingkirkan daripada pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW). Sebagai penjaring terbanyak musim lepas Traore belum menemui sentuhan diharapkan selepas tiga perlawanan.

Amaran keras itu dikeluarkan Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, selepas melihat persembahan penyerang berasal dari Mali itu menerusi tiga perlawanan sebelum ini kurang menyerlah seperti diharapkan.

“Sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, sepatutnya (Traore) boleh beraksi seperti digambarkan, tapi sebaliknya bermain sama tahap dengan pemain tempatan, malah lebih teruk lagi. Jika hanya sekadar beraksi setanding dengan pemain tempatan, ia tidak berbaloi dan merugikan dengan gaji yang dibayar.

“Saya faham kalau pemain itu belum mencapai keserasian, tapi berapa lama lagi masa perlu diambil. Sudah tiga perlawanan berlangsung, tapi itu saja kemampuan ditunjukkan pemain itu.

“Kalau lawan pasukan kuat, kita sudah pasti berdepan kekalahan jika persembahan sama masih ditunjukkan. Jadi, saya harap Traore ubah prestasi segera jika tidak mahu disingkirkan,” katanya ketika dihubungi BH Sukan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan pemain import Kelantan boleh ditamatkan kontrak jika tidak mempamerkan prestasi cemerlang dalam tempoh enam bulan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Baca juga : K.Devan Bakal Direhatkan?

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, berkata menerusi kontrak baharu itu, notis sebulan akan diberikan terlebih dulu kepada pemain dengan bayaran gaji selama dua bulan berbanding setahun gaji yang terpaksa dibayar KAFA mengikut kontrak lama sebelum ini.

Traore Perlu Mandi Bunga Untuk Buang Badi

Mengulas lanjut, Dr Vida yang juga penaja utama Kelantan berkata, Traore yang mempunyai ketinggian 1.92 meter sepatutnya menggunakan kelebihan itu.

“Saya rasa Traore perlu mandi bunga untuk membuang badi sekiranya masih gagal menampilkan aksi yang memukau,” katanya sambil berseloroh.

Dalam aksi pusingan kedua Piala FA menentang ‘pelajar universiti’, UKM FC, malam kelmarin, Kelantan bernasib baik menang 1-0 hasil gol lewat Blazhe Ilijoski.

Sumber Asal : Berita Harian

Baca Juga

Baca Juga