[VIDEO] Aksi ‘Heroic’ Sadio Mane Bantu Senegal Tumpaskan Mali

Jika musim lepas nama Mohamed Salah meniti di bibir setiap peminat Liverpool, musim ini giliran Sadio Mane pula mencipta nama sebagai pemain paling menyerlah untuk membantu The Reds mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.

Impak Mane bukan sahaja dirasai di peringkat kelab sahaja, tetapi beliau juga beraksi cemerlang ketika mewakili negaranya iaitu Senegal.

Adakah Mane akan mengikut jejak langkah Salah dengan memenangi anugerah Pemain Terbaik PFA musim ini ?

Dalam perlawanan persahabatan di antara Senegal menentang Mali semalam, Mane dinamakan di bangku simpanan.

Jurulatih Senegal, Aliou Cisse hanya memasukkan Mane ketika perlawanan memasuki minit ke-76 ketika Senegal sedang ketinggalan 1-0 kepada Mali hasil jaringan pemain sayap Wolves, Adama Traore.

Walaupun diberikan masa yang singkat untuk mengubah perlawanan, ia langsung tidak menghalang Mane untuk melakukan impak dalam perlawanan persahabatan tersebut.

https://twitter.com/VintageSalah/status/1110617001435824128

Beliau hanya mengambil masa selama 11 minit untuk membuat impak apabila beliau berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari sebelah kiri kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Mali, Mamadou Samassa.

Ketika perlawanan seakan-akan bakal berakhir dengan keputusan seri, Mane sekali lagi menjadi wira untuk Senegal apabila melorongkan bola kepada penyerang gantian, Pape Moussa Konate yang menolak bola masuk untuk gol kemenangan Senegal pada waktu kecederaan.

Ia merupakan satu lagi persembahan cemerlang yang ditunjukkan Mane dalam musim yang amat memberangsangkan bagi pemain tersebut.

Bekas pemain Southampton ini sudah menjaringkan 17 gol dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini. Sekiranya anda tidak mengambil kira sepakan penalti, Mane merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 17 gol diikuti oleh Sergio Aguero yang memiliki 16 gol.

Jadi tidak hairan untuk kita mendengar nama Mane dikaitkan untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Mohamed Salah merupakan pemenang untuk edisi tahun lalu tetapi Mane bersama rakan sepasukan, Virgil van Dijk  dan pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling dianggap calon utama untuk memenanginya musim ini.

BACA:  Pemain Crystal Palace Terima Ugutan Bunuh Selepas Berjaya Perbodohkan Darwin Nunez