Video: Casemiro Minta Izin Kepada Carlo Ancelotti Untuk Sengaja Dapatkan Kad Kuning

Tular rakaman video yang menunjukkan bagaimana Casemiro meminta izin dari Carlo Ancelotti untuk beliau dengan sengaja mencari kad kuning ketika aksi bertemu Sheriff Tiraspol semalam.

Aksi beliau berlari bertemu pengurusnya itu berjaya dirakam oleh kamera dan ia jelas menunjukkan bahawa Casemiro meminta izin untuk mengutip kad kuning.

Juara 13 kali saingan Champions League itu berjaya menewaskan Sheriff Tiraspol 3-0 di halaman lawan, dengan David Alaba, Toni Kroos dan Karim Benzema muncul sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, detik kontroversi telah berlaku sebaik Real Madrid berjaya menjaringkan gol ketiga mereka, dengan Casemiro pada ketika itu tidak bersama pemain lain meraikan gol jaringan Karim Benzema.

Ketika semua pemain pergi memeluk Benzema untuk meraikan gol, Casemiro memilih untuk berlari ke arah Carlo Ancelotti, dan berbisik sesuatu.

Sambil tersenyum malu, beliau menutup mulutnya dengan beliau dikatakan sebenarnya meminta izin kepada Ancelotti untuk mendapatkan kad kuning.

Ancelotti kemudiannya menggelengkan kepala sambil kata, tidak dan menyuruh Casemiro untuk meneruskan permainan seperti biasa.

Satu sahaja kad kuning lagi akan menyebabkan Casemiro dihukum gantung dan beliau lebih memilih untuk digantung dalam aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Inter Milan.

Hal ini kerana, sistem refresh kad bakal membantu Casemiro beraksi di pusingan kalah mati dan akan membenarkan beliau turun beraksi di pusingan 16 terbaik nanti.

Namun seandainya beliau menerima kad kuning di pusingan kalah mati nanti, maka beliau bakal meletakkan kelab dalam situasi bahaya seandainya mereka layak ke peringkat seterusnya.

Casemiro kemudiannya telah dikeluarkan pada penghujung aksi babak kedua dengan beliau digantikan oleh Antonio Blanco.

Sudah tentu Carlo Ancelotti tidak mengaku tentang hal tersebut, dengan beliau menegaskan Casemiro sebenarnya meminta untuk ditukarkan bukan meminta untuk mendapatkan kad kuning.

Maksud Carlo Ancelotti sangat jelas, beliau perlu merahsiakan hal itu kerana mereka boleh dihukum oleh UEFA kerana ditangkap sengaja mencari kad kuning.

Dan itu jugalah punca mengapa Ancelotti tidak membenarkan Casemiro untuk mendapatkan kad kuning, kerana bimbang akan ada siasatan dari UEFA berkait hal tersebut.

Ini bukanlah kali pertama Real Madrid terlibat dengan insiden seperti ini, dengan mereka pada November 2010, turut berdepan situasi yang sama dan dua pemain Los Blancos pada ketika itu sengaja mencari kad kuning.

Jose Mourinho yang ketika itu merupakan pengurus Real Madrid telah mengarahkan Xabi Alonso dan Sergio Ramos untuk mendapatkan kad kuning, supaya mereka hanya digantung satu perlawanan sahaja.

Kerana sistem refresh akan membantu kedua-dua pemain itu untuk beraksi semula di pusingan 16 terbaik tanpa membawa bekalan kad.

Alonso yang sememangnya sudah ada satu kad kuning pada ketika itu menjadi pemain pertama yang melaksanakan tugas tersebut dengan beliau sengaja membuang masa ketika mengambil sepakan percuma, dan menyebabkan beliau dihukum oleh pengadil.

Kemudian Sergio Ramos pula tampil untuk membantu Iker Casillas mengambil sepakan gol, namun beliau sengaja membuang masa dan menyebabkan beliau menerima kad kuning kedua.

Beliau kemudian bersalam dengan pengadil, Craig Thomson untuk mengucapkan terima kasih kerana menghadiahkan kad merah tersebut.

Mourinho pula menerima kad merah di tepi padang dengan Real Madrid pada ketika itu berdepan hukuman denda atas semua kesalahan tersebut.

Sembilan tahun kemudian, Ramos sekali lagi menggunakan helah tersebut, dengan beliau sengaja mengasari Kasper Dolberg untuk dihukum dan beliau benar-benar menerima hukuman tersebut pada minit ke-38 permainan.

Beliau pada ketika itu sudah ada bekalan kad kuning, dan satu lagi kad amaran akan menyebabkan beliau digantung.

Kerana video beliau sengaja melakukan hal tersebut tular, maka Ramos telah dihukum gantung dua perlawanan atas alasan beliau sengaja mencari kad kuning.

Ia sebenarnya kesilapan yang memakan diri, kerana Ramos hanya mampu melihat sahaja Real Madrid dibelasah 4-1 pada aksi leg kedua perlawanan di pusingan kalah mati.

Real Madrid pada ketika ini merupakan pendahulu aksi peringkat kumpulan D dengan mereka berjaya mengumpul 12 mata dari lima perlawanan.

Memandangkan tempat untuk mereka ke pusingan kalah mati sudah terjamin, maka kerana itulah Casemiro berani untuk digantung ketika aksi terakhir bertemu Inter Milan nanti.

Gergasi Serie A itu berada di kedudukan kedua dalam saingan kumpulan D, dengan mereka kini berjaya mengumpul 10 mata dari lima perlawanan.

Kedua-dua Real Madrid dan Inter Milan sudah mengesahkan tempat masing-masing di pusingan kalah mati, sementara Sheriff Tiraspol yang pada awal dulu dilihat sangat garang, sekadar berada di kedudukan ketiga sahaja dalam aksi peringkat kumpulan.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  De Paul Dan Koke Patut Bersyukur Bola Rembatan Casemiro Tidak Mengenai Mereka