Liverpool bakal menjadi tuan rumah kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang dianggap paling penting buat skuad kendalian Jurgen Klopp musim ini.
Dengan Manchester City memiliki kelebihan 1 perlawanan dan hanya ketinggalan 2 mata di belakang, Klopp sedar sedikit kesilapan dalam perlawanan malam ini mampu mengakibatkan impian untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris terkubur.
Dalam masa 4 minggu dari sekarang, kita akan mengetahui sama ada Manchester City mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama atau Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 30 tahun lepas.
Terlebih dahulu, Liverpool perlu melepasi halangan Chelsea yang juga terdesak untuk mencari 3 mata bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Sejarah membuktikan Liverpool sering bergelut apabila bertemu Chelsea di Anfield. Kali terakhir mereka menewaskan Chelsea di Anfield adalah pada tahun 2012.
Did someone say Liverpool v Chelsea? ? pic.twitter.com/0uCFbbZEVF
— Chelsea FC (@ChelseaFC) April 13, 2019
Tidak dilupakan juga peristiwa berdarah 5 tahun lepas dimana Steven Gerrard tergelincir lalu menghadiahkan trofi Liga Perdana Inggeris kepada Manchester City.
Chelsea menerusi akaun Twitter rasmi mereka, telah memainkan peranan dalam menambah lagi perisa bagi pertemuan besar malam ini.
Akaun Twitter Chelsea telah memuat naik video jaringan Demba Ba dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris kira-kira 5 tahun lepas. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Chelsea 2-0, hasil jaringan Demba Ba dan Willian pada waktu kecederaan.
Untuk tempoh selama 90 minit permainan, Liverpool gagal menembusi tembok pertahanan Chelsea yang pada ketika itu dilatih oleh pemandu bas tersohor, Jose Mourinho.
Moral pemain Liverpool terus merudum selepas kekalahan tersebut. Tidak lama selepas itu, Liverpool berkunjung ke Selhurst Park untuk menentang Crystal Palace dengan misi untuk mencari 3 mata.
Pada satu ketika, Liverpool dengan mudah mendahului 3-0 dan berada dalam landasan tepat untuk menang. Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila Damien Delaney menjaringkan gol pertama Palace pada minit ke-79.
Pemain sayap Palace, Dwight Gayle muncul wira buat pasukannya apabila menjaringkan 2 gol dalam 10 minit terakhir untuk mengikat perlawanan menjadi 3-3.
Selain kekalahan kepada Chelsea, keputusan seri menentang Palace dianggap penyebab utama mengapa Liverpool gagal menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim 2013/2014.
Persoalannya, adakah pisang akan berbuah 2 kali malam ini ? Adakah ada lagi pemain Liverpool yang akan tergelincir malam ini ? Sama-sama kita saksikan… sasssssss