Video Yang Menjelaskan Mengapa Pochettino Mengeluarkan Lionel Messi

Video yang menjelaskan mengapa Pochettino mengeluarkan Lionel Messi telah tular di media sosial pada ketika ini, dengan bekas pengurus Tottenham Hotspur itu mempunyai alasan sendiri atas keputusan yang beliau buat.

Debut di Parc Des Princes tidak menjadi seindah seperti apa yang dibayangkan oleh Lionel Messi, dengan perkara yang tidak berpihak padanya dalam perlawanan tersebut.

Beliau gagal memberikan impak seperti yang diharapkan, dengan PSG hanya mampu mencatatkan kemenangan 2-1 sahaja menewaskan Lyon dalam aksi saingan Ligue 1.

Pemain berusia 34 tahun itu peroleh beberapa kesempatan untuk menjaringkan gol, namun ada sahaja halangan yang menghalang beliau untuk melakukannya.

Sepakan percuma beliau yang super cantik dan indah juga turut gagal disudahi dengan jaringan selepas bola rembatannya itu sekadar terkena palang gol sahaja.

Dengan perlawanan berbaki 15 minit sebelum tamat, Mauricio Pochettino memutuskan untuk mengeluarkan Messi dan memasukkan Achraf Hakimi.

Keputusan Pochettino itu telah mengundang pelbagai reaksi dari kalangan penyokong Paris Saint Germain yang jelas tidak gembira dengan hal tersebut.

Walau bagaimanapun, pertukaran pemain yang dilakukan oleh Pochettino sebenarnya boleh dipuji kerana ia membuahkan hasil selepas Icardi menjaringkan gol kemenangan untuk kelabnya.

Messi dikatakan bengang dengan keputusan dari pengurusnya kerana mengeluarkan beliau, dan beliau juga dikatakan menolak untuk bersalaman dengan pengurusnya ketika berjalan meninggalkan padang.

Selepas pelbagai hinaan dan maki hamun yang diterima oleh Pochettino berkait insiden tersebut, kini tular di media sosial rakaman yang menunjukkan bagaimana Messi sebenarnya menderita kecederaan lutut di atas padang sebelum dikeluarkan.

Walaupun pemain gantian, Mauro Icardi yang menjaringkan gol kemenangan untuk PSG, namun hanya nama Messi sahaja yang menjadi topik perbualan hangat para peminat.

Pelbagai reaksi dan kritikan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak ke atas Pochettino yang memutuskan untuk mengeluarkan Messi dalam perlawanan tersebut.

Memandangkan Messi yang berada di atas padang dan dengan seluruh dunia menyaksikan, ia merupakan keputusan yang sangat diragukan yang telah dilakukan oleh bekas pengurus Spurs itu.

Dek kerana tularnya video tersebut, maka segala persoalan tentang keputusan Pochettino sepertinya sudah terjawab.

Melihat kepada situasi dalam video tersebut, Messi dilihat menderita kecederaan lutut kanan beliau, dengan pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu nampak tak selesa ketika beraksi di atas padang.

Oleh yang dimikian, tidak keterlaluan untuk menganggap yang Pochettino sebenarnya mengeluarkan Messi untuk melindungi pemainnya itu supaya tidak dibelenggu kecederaan yang lebih teruk.

Selepas tamat perlawanan yang dilangsungkan di Parc des Princes itu, Pochettino memperjelaskan tentang hal tersebut, dengan beliau memberitahu pihak media bahawa pertukaran pemain itu dilakukan sebagai langkah pencegahan.

“Kita sudah membuat keputusan untuk keluarkan Messi kerana dia berpotensi untuk dibelenggu masalah kecederaan lebih teruk.”

“Kita ada perlawanan penting selepas ini dan kita perlu lindungi dia.”

“Ini merupakan keputusan yang dibuat untuk pasukan dan semua orang tahu kita ada ramai lagi pemain yang hebat. Kita perlu segera membuat keputusan itu.”

Walau Messi masih belum menunjukkan impak sebenar beliau pada ketika ini, namun kelab barunya, PSG sedang melalui kempen yang cemerlang dengan mereka masih memegang rekod 100% dalam kesemua perlawanan.

Andai kecederaan lututnya itu tidak berada di tahap yang membimbangkan, maka tidak mengejutkan untuk melihat Messi kembali beraksi dalam perlawanan selepas ini.

Para peminat jelas tidak sabar menanti detik bersejarah, dengan mereka mahu menantikan gol pertama Messi bersama Gergasi Ligue 1 itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Salah Ketis Ronaldo Dari Senarai Finalis FIFA Best Walaupun 47 Bersiuuuu Sepanjang 2021