Vieri Kutuk Generasi Penyerang Bola Sepak Sekarang Yang Gilakan Media Sosial

Bekas penyerang antarabangsa Itali, Christian Vieri mengkritik generasi penyerang bola sepak sekarang yang didakwanya lebih berminat bermain Instagram dari mengasah skill dan teknik di atas padang.

Vieri yang pernah beraksi dengan bebebrapa kelab ternama seperti Inter Milan, AC Milan, Lazio dan Juventus tidak begitu menggemari segelintir besar penyerang pada masa kini yang banyak menghabiskan masa dengan media sosial berbanding mencari cara untuk menajamkan lagi kemampuan di atas padang.

Vieri memang dikenali sebagai pemain yang keras dan suka bergocoh.

Vieri yang juga pernah bermain untuk Atletico Madrid, dianggap antara penyerang prolifik yang berjaya dilahirkan Itali dan mengumpul lebih 200 gol sejak mula bermain pada 90-an hingga awal 2000.

Sejak bersara dari bola sepak, Vieri mula berkecimpung dalam bidang bisnes dimana beliau memiliki beberapa buah restoran disamping memulakan label pakaian beliau sendiri di Itali. Selain itu, Vieri juga menghabiskan masa pencennya dengan menjadi deejay (DJ) di kelab hiburan.

Dalam satu temu ramah bersama Radio Deejay, Vieri meluahkan kekecewaannya melihat generasi penyerang zaman sekarang yang tidak bekerja keras seperti zaman dulu.

“Zaman sekarang, anda hanya memerlukan akaun Instagram yang bagus untuk menjadi seorang penyerang.”

Icardi dan Vieri tak sama. Icardi tidak perlu menjaringkan 30 gol semusim tapi Vieri akan murung jika gagal menjaringkan gol setiap minggu

“Anda tidak perlu menjaringkan 30 gol semusim lagi. Tidak perlu menjaringkan gol setiap hari Ahad.”

“Sebelum ini, apabila saya tidak berjaya menjaringkan gol, saya akan mengurung diri sendiri dan duduk berseorangan. Saya akan kembali ke padang latihan keesokan harinya untuk mengenal pasti kesalahan yang telah saya lakukan dan cuba menjadi lebih baik.”

“Itu tidak berlaku lagi sekarang. Penyerang pada zaman saya sangat gilakan gol. Kami gilakan gol.”

Vieri juga dikenali sebagai pemain yang kerap berkelana dan pernah mewakili 15 buah kelab sepanjang 18 tahun karier bola sepak beliau. Beliau juga berjaya mengumpul 49 penampilan di peringkat antarabangsa bersama Itali.

Namun begitu, Vieri menolak pendapat sesetengah pihak yang menyamakan gaya permainannya dengan kapten Inter Milan, Mauro Icardi. Penyerang berasal dari Argentina itu juga mendapat jolokan ‘binatang’ di dalam kotak penalti.

Kerjaya baru Vieri sebagai deejay

“Icardi ? Saya dan Icardi pemain yang berbeza. Saya sentiasa memulakan pergaduhan dengan mana-mana pemain lawan. Saya berjaya menjaringkan 140 gol dalam Serie A, mungkin lebih atau kurang. Tapi saya ingat kesemua gol yang saya jaringkan, termasuk peluang yang saya terlepas.”

Walaupun menzahirkan kebencian beliau terhadap generasi pemain sekarang yang gilakan media sosial, Vieri sendiri tidak dapat lari dari mempunyai akaun media sosial beliau sendiri.

Beliau mempunyai 1.9 juta pengikut di Instagram tetapi jauh ditinggalkan Icardi yang memiliki 4.1 juta pengikut.

BACA:  Gol Padu Jaringan Lautaro Martinez Gagal Bawa Inter Ke Peringkat Suku Akhir