Vinicius Junior Tenang Mengenai Masa Depannya di Real Madrid

Vinicius Junior Tenang Mengenai Masa Depan di Real Madrid, Berharap Kontrak Baharu Dimeterai

Vinicius Junior menegaskan bahawa beliau “sangat tenang” mengenai masa depannya di Real Madrid dan berharap kontrak baharu dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.

Kontrak semasa pemain antarabangsa Brazil itu masih berbaki 2 tahun dan perbincangan mengenai lanjutan kontrak telah bermula pada bulan lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke luar negara pada jendela perpindahan musim panas yang lalu. Sebelum ini terdapat laporan bahawa wakilnya telah mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan untuk berpindah ke Saudi Pro League (SPL).

Namun, Vinicius menegaskan bahawa beliau masih gembira berada di ibu kota Sepanyol dan mahu “terus mencipta sejarah” bersama Real Madrid.

“Saya sangat tenang kerana saya masih mempunyai kontrak hingga 2027 dan semoga kami dapat memperbaharuinya secepat mungkin,” katanya sebelum perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid pada Selasa.

“Saya gembira di sini, saya sedang memenuhi impian saya untuk bermain dengan pemain terbaik, jurulatih terbaik, presiden terbaik dan penyokong terbaik di dunia. Tiada tempat lain yang lebih baik untuk saya selain di sini.”

Dilaporkan Vinicius Jr dan pasukannya mahu kenaikan gaji yang mencerminkan statusnya sebagai salah seorang pemain terbaik dunia. Ketika ini, gajinya dianggarkan sekitar €15 juta setahun (bersih), selepas mengambil kira pelbagai bonus, termasuk kejayaan memenangi anugerah FIFA Best Men’s Player of the Year.

Cadangan awal daripada kelab yang merangkumi peningkatan gaji bersih dan rundingan dijangka akan diteruskan.

Vinicius Jr menyertai Madrid dari kelab Brazil, Flamengo pada 2018 dan sejak itu dia telah memenangi 3 kejuaraan La Liga, 2 Liga Juara-Juara serta 2 Piala Dunia Kelab FIFA bersama kelab itu.

“Saya berada di sini untuk terus mencipta sejarah, atas segala yang telah diberikan oleh kelab dan presiden kepada saya,” tambahnya. “Semoga saya dapat menjaringkan lebih banyak gol dan bermain lebih banyak perlawanan dengan jersi ini.

“Impian saya sejak kecil adalah untuk berada di sini. Sekarang saya sudah menang banyak trofi, tetapi saya mahu menang lebih banyak dan mengukir nama dalam sejarah kelab ini, yang bukan mudah kerana begitu ramai legenda telah melaluinya. Saya mahu meneruskan legasi mereka.”**

Pada musim ini Madrid sering berdepan hubungan tegang dengan pengadil La Liga selepas beberapa keputusan kontroversi yang tidak memihak kepada mereka.

Ketika ditanya sama ada beliau lebih gemar dengan pengadil di pertandingan Eropah, Vinicius Jr berkata:

“Saya rasa begitu. Di Eropah, mereka lebih melindungi pemain yang memberikan persembahan menarik dan itu penting bagi kami kerana mereka akan menghukum pemain yang cuba mengasari atau menghentikan permainan secara berlebihan.

“Kami tidak suka bercakap tentang pengadil tetapi ia adalah perkara penting.”

BACA:  Aston Villa & Cabaran Emery: Menjaga Prestasi di Liga dan Kewangan