Wan Karpet Bengang Diterjah, Beletiaq Sampai Dengar Dalam Live

Pasukan Kedah telah berjaya menumpaskan pasukan tuan rumah, Terengganu dua gol berbalas satu dalam perlawanan di Kuala Terengganu. Kedah turun dalam perlawanan kedua mereka selepas berehat lama akibat kuarantin pasukan selepas ada pemain yang didapati mendapat jangkitan Covid-19 ketika pasukan Lang Merah bertemu Kuching City FC.

Pada ketika ini, Kedah ketinggalan empat perlawanan berbanding majoriti pasukan lain, di mana mereka baru sahaja bermain sebanyak 16 perlawanan, manakala rata-rata pasukan lain sudahpun bermain 18 dan 19 perlawanan.

Dalam perlawanan di Kuala Terengganu, Kedah turun dengan barisan pemain biasa dengan Iffwat Akmal sebagai penjaga gol, Renan Alves bergandingan dengan Rodney Calvin di barisan pertahanan tengah sambil diapit oleh Rizal Ghazali  dan Ariff Farhan, masing-masing di bek kiri dan kanan.

Barisan tengah Kedah pula menampilkan gandingan Amirul Hisyam, Anumanthan Kumar, Syazwan Zainon dan Rabih Ataya, manakala serangan pula dipacu oleh Kpah Sherman dan Tchetche Kipre.

Pasukan Terengganu pula turun dengan Suhaimi Husin sebagai penjaga gol, sambil dibantu oleh Muhammad Faudzi, Shahrul Nizam, Arif Fadzilah dan Azam Azmi di barisan pertahanan.

Bahagian tengah pasukan Sang Penyu pula dibarisi oleh Dechi Maracel, Habib Haroon, Makan Konate, Faisal Halim dan Faiz Nasir. Manakala kapten David Da Silva pula menjadi focal point di bahagian serangan.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, dengan Terengganu dilihat lebih mengamalkan permainan build-up  dengan menggunakan hantaran pendek, manakala Kedah pula lebih banyak menyerang menerusi gerakan serangan balas yang pantas.

Ketika perlawanan separuh masa pertama hampir berkesudahan tanpa jaringan, Kedah berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke 48 menerusi pemain import, Rabih Ataya.

Gerakan bermula dari bawah dengan hantaran jauh dan tepat ke sebelah kiri padang dan disambut kemas oleh Syazwan Zainon. Syazwan kemudiannya bermain satu-dua yang cantik bersama Kpah Sherman, sebelum melakukan cut back menolak bola ke dalam, dengan Sherman dan Rabih Ataya sudah bersedia berhampiran kotak enam ela.

Ketika Sherman dilihat meluru, Rabih Ataya dengan selamba menolak bola ke dalam gol, dengan Suhaimi hanya mampu melihat bola bergolek masuk ke dalam gol.

Sebaik gol dijaringkan, pengadil terus meniup wisel penamat separuh masa pertama.

Masuk separuh masa kedua, Kedah mengekalkan momentum dengan menguasai awal permainan. Pada minit ke-50, anak buah Aidil Shahrin ini melakukan serangan balas pantas dari bawah, sehingga menghasilkan gol.

Menariknya, gol ini terhasil bagaikan tiga pemain Lang Merah ini berhubung dengan kuasa telepati.

Gerakan bermula selepas Faisal Halim yang cuba masuk ke dalam kotak penalti Kedah, sekadar melakukan crossing yang lemah dan dikeluarkan oleh Anumanthan kepada Rabih Ataya, yang kemudiannya menolak bola kepada Sherman.

Meskipun dicabar pemain Terengganu, Sherman masih mampu mengekalkan bola di kakinya sebelum ditolak kepada Kipre. Sebaik menolak bola, Sherman terus melakukan larian ke depan persis pemain bintang Manchester United, Paul Pogba.

Melihat Sherman yang berada di ruang yang tidak dikawal, Kipre menolak bola kepada pemain berjersi nombor 9 ini sebelum menolaknya kembali kepada Kipre yang sudah memulakan larian ke bahagian flank.

Sebaik menerima bola, Kipre terus melorongkan bola merentasi tiga pemain pertahanan Terengganu dan hinggap di kaki Syazwan Zainon yang tidak dikawal. Syazwan kemudiannya dengan mudah menolak bola ke gawang gol, menewaskan Suhaimi buat kali kedua dalam perlawanan ini.

Menariknya, Ataya dan Syazwan sebenarnya menjaringkan gol pertama mereka dalam kempen liga pada musim ini.

Pada minit ke-53, Syazwan dilihat dikasari oleh pemain Terengganu, di mana selepas dia menolak bola, kakinya telah ditaji oleh pemain muda tersebut.

Walaupun nampak macam tajian biasa, impaknya adalah Syazwan tidak lagi dapat meneruskan permainan dan terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan Fayyadh Zulkifli.

Sebaik keluar padang, kedengaran suara Syazwan yang tidak berpuas hati, lantas menarik perhatian para penyokong bola tempatan.

“Ok provoke tak kisah,” ujar Syazwan, tidak berpuas hati.

“Kita tak kisah kad merah, tapi pecah muka dia.”

Litiaq Syazwan ini didengari oleh penjaga garisan, dan cuba menenangkannya dengan mengatakan,”Dah dah dah. Mikrofon dengaq satgi.”

Ketinggalan dua gol, Terengganu cuba bangkit dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol menerusi penjaring terbanyak mereka, David Da Silva pada minit ke 70. Gol dihasilkan menerusi sepakan percuma dari jarak hampir 30 meter, dengan rembatan padu Da Silva tertampan di benteng Kedah lalu meluru laju ke dalam gol Terengganu.

Terengganu cuba bangkit, namun tidak berjaya dan keputusan kekal sehingga wisel penamat.

BACA:  Liga Super 2021: Penang FC 1-1 Kedah Darul Aman FC