Pengurus Arsenal, Arsene Wenger telah memberitahu Mauricio Pochettino yang pasukan kendaliannya, Tottenham Hotspurs harus mengatasi perasaan takut untuk gagal bagi memenangi trofi pada masa hadapan.
Tottenham telah melalui satu transformasi yang besar sejak Pochettino mengambil alih kerusi pengurus pasukan di White Hart Lane pada tahun 2014. Spurs telah berjaya menduduki tangga ke-2 liga musim lepas dan buat pertama kali sejak Arsene Wenger tiba di England, Tottenham berjaya menghabiskan musim di kedudukan lebih tinggi daripada Arsenal.
Walaupun sering menerima pujian dari pengkritik bolasepak kerana corak permainan yang menarik, Tottenham gagal untuk memenangi trofi sejak kebelakangan ini dan kali terakhir mereka memenangi piala adalah pada tahun 2008 ketika menewaskan Chelsea dalam saingan Piala Liga.
Arsenal bakal melayan kunjungan Tottenham di gelanggang sendiri pada hujung minggu ini dan pastinya amat dinantikan peminat kedua-dua kelab ini. Bercakap kepada pemberita menjelang pertemuan ‘North London Derby’, Wenger telah memberikan sedikit nasihat kepada rakan sejawatannya di Tottenham mengenai bagaimana untuk memenangi trofi pertama sebagai pengurus.
“Dengan mengawal diri menjadi lebih tenang dan memastikan pemain fokus dengan apa yang penting di atas padang. Pada satu peringkat, kamu harus mengatasi perasaan takut untuk gagal yang ada dalam diri kamu. Secara mudahnya, kamu harus lebih fokus mengenai apa yang penting dan tidak terlalu memikirkan mengenai trofi.”
Walaupun telah memenangi Piala FA musim lepas, Wenger masih lagi berdepan kritikan dan musim lepas menyaksikan peminat Arsenal khususnya telah menggesa beliau supaya meninggalkan jawatannya sebagai pengurus Arsenal .
Segelintir peminat jelas kecewa dengan Arsenal yang gagal bersaing untuk merebut kejuaraan liga dan menghabiskan musim 11 mata di belakang musuh setempat, Spurs.
Tetapi Wenger kini sudah tidak hiraukan lagi mengenai pendapat sesetengah pihak yang mengatakan Arsenal adalah pasukan yang lebih lemah dari Tottenham. Wenger berkata beliau hanya fokus mengenai nasib pasukannya tanpa menghiraukan apa yang terjadi pada pasukan lain.
“Saya memang selalu mahu menghabiskan musim dalam kedudukan yang melayakkan kami bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah. Ketika kami mempunyai sumber kewangan yang terhad, saya tahu kami amat memerlukan wang dari pertandingan tersebut untuk membayar hutang stadium.
Jadi pada ketika itu, saya lebih memikirkan mengenai perkara tersebut dari Tottenham. Saya tidak pernah terlalu fokus dengan Tottenham.”
Ketika ditanya adakah beliau sedar mengenai kritikan yang diterimanya dan pendapat buruk peminat Arsenal sendiri terhadapnya, beliau menjawab:
“Hari ini, peminat sering kali menilai keadaan dari satu sisi dan pendapat mereka tidak akan berubah. Penilaian mereka adalah tetap buat selama-lamanya. Jadi terserah kepada kami untuk mengubah perspepsi burukp peminat melalui persembahan di atas padang.
Jika mereka sudah membuat penilaian terhadapa sesuatu perkara, ia akan kekal buat seketika tetapi apa yang boleh kami lakukan mengenainya? Sudah tentu bukan melalui temuramah saya ketika ini. Pendapat mereka boleh diubah Sabtu ini apabila kami turun bermain di atas padang.”