Wenger: Masa Depan Wilshere Di Arsenal Masih Lagi Samar

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui beliau sendiri tidak dapat mengesahkan sama ada Jack Wilshere akan terus kekal bersama Arsenal musim hadapan, tetapi beliau yakin pemain tersebut akan menandatangani kontrak lanjutan tidak lama lagi.

Kontrak Wilshere bersama Arsenal hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi dan beliau dibenarkan untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada musim hadapan.

Kemon Jacky Boy. Sign Da Thing

Arsenal telah menawarkan kontrak baru kepada Wilshere tetapi dengan gaji yang lebih rendah dari apa yang diterimanya sekarang di Emirates. Kontrak baru yang ditawarkan kepada Wilshere lebih bergantung kepada persembahan pemain tersebut di atas padang, berikutan rekod kecederaan Wilshere yang buruk.

Wilshere yang dipinjamkan ke Bournemouth musim lepas telah dikaitkan dengan perpindahan ke Wolves, pasukan yang bakal bermain di Liga Perdana Inggeris musim hadapan.

Sebelum ini, pemain antarabangsa England tersebut mendakwa Wenger memberitahunya secara peribadi pada awal musim yang beliau dibenarkan untuk berpindah sekiranya Arsenal menerima tawaran yang sesuai.

Tetapi Wilshere berjaya membuktikan kepada Wenger yang beliau masih mempunyai masa depan di Emirates apabila mempamerkan prestasi yang baik setiap kali beraksi selain kekal cergas untuk kebanyakan perlawanan sepanjang musim.

Kerana rekod kecederaan yang buruk, Arsenal menawarkan kontrak berdasarkan persembahan kepada Wilshere

Wenger juga telah mengubah keputusan awal beliau dengan menawarkan kontrak baru kepada Wilshere, tetapi pemain tersebut masih lagi berteka-teki mengenai masa depannya dan enggan menurunkan tandatangan setakat ini.

Wenger percaya Wilshere akan membuat keputusan mengenai masa depannya sebelum bermula Piala Dunia 2018 musim panas nanti tetapi tidak meletakkan sebarang ‘tarikh tutup’ buat Wilshere membuat keputusan.

“Saya tidak dapat memberikan kamu [wartawan] apa-apa berita kerana saya sendiri tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya.”

“Sehingga saat ini, beliau masih lagi tidak menurunkan tandantangan tetapi kami mahu beliau kekal di Arsenal. Beliau menerima tawaran kontrak jangka panjang daripada kami dan saya sangat berharap pada satu peringkat, beliau akan menerima kontrak tersebut.”

Wenger turut ditanya adakah beliau yakin Wilshere akan terus kekal di Arsenal musim hadapan.

“Saya sentiasa yakin. Sebagai sebuah kelab besar, kami mahu pemain utama terus kekal dan kami bersedia untuk membayar gaji yang lumayan. Saya percaya semua pihak bersetuju yang Arsenal membayar gaji yang lumayan kepada pemainnya.”

Segalanya akan terjawab sebelum Piala Dunia. Wilshere In or Out ?

“Wilshere mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan. Saya secara peribadi mahu beliau terus kekal. Buat masa ini, beliau fokus untuk menghadapi perlawanan kami yang seterusnya dan sudah tentu keputusan mengenai masa depannya akan kita ketahui tidak lama lagi.”

“Saya rasa Wilshere akan membuat keputusan mengenai masa depannya sebelum musim ini berakhir. Beliau tidak mahu menuju ke Piala Dunia tanpa menyelesaikan situasi mengenai masa depannya. Ia tidak seharusnya berlaku.”

BACA:  Arsenal Sedia Lepaskan Ramsey Lebih Awal Kepada Juventus Dengan Satu Syarat