Wenger: Patrick Vieira Ada Potensi Menjadi Pengurus Arsenal Seterusnya

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata Patrick Vieira mempunyai potensi untuk menjadi pengurus Arsenal yang seterusnya selepas beliau mengumumkan musim ini bakal menjadi musim terakhirnya di Emirates.

Dalam perkembangan terkini, Wenger akhirnya menamatkan teka-teki mengenai masa depannya dengan mengumumkan pengunduran beliau daripada jawatan pengurus Arsenal.

Vieira bersama trofi emas EPL yang belum pernah dimemenangi mana-mana pasukan selain Arsenal. Merci Arsene

Selepas sekadar menduduki tangga ke-6 Liga Perdana Inggeris musim lepas dan terlepas slot ke Liga Juara-Juara, Arsenal hampir pasti akan menamatkan musim ini dengan pencapaian yang sama.

Kejatuhan Arsenal kebelakangan ini menyebabkan ramai peminat mempersoalkan posisi Wenger selaku pengurus pasukan dan memintanya meletakkan jawatan demi kepentingan pasukan. Untuk rekod, Wenger masih lagi mempunyai baki setahun kontrak selepas menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun pada hujung musim lalu.

Antara calon yang dikaitkan untuk menggantikan tempat Wenger adalah bekas pemainnya sendiri, Patrick Vieira. Viera berjaya memenangi 3 kejuaraan Liga Perdana Inggeris sepanjang bermain di bawah Wenger dan kini menguruskan New York City FC di Major League Soccer.

Memasuki musim ke-3 di MLS

Wenger telah ditanya oleh wartawan mengenai kesesuaian Vieira untuk menggantikan tempat beliau selaku pengurus Arsenal dan Wenger menjawab:

“Patrick Vieira sekarang sedang menguruskan sebuah pasukan di New York dan beliau juga pernah berkhidmat untuk Manchester City [menguruskan pasukan remaja]. Beliau adalah individu yang mempunyai potensi untuk menjadi pengurus Arsenal suatu hari nanti.”

“Saya mengikuti karier beliau sebagai pengurus. Secara peribadi, saya rasa Vieira telah melakukan kerja yang sangat bagus tetapi Liga Perdana Inggeris adalah istimewa. Liga ini mempunyai ramai bekas pemain yang mempunyai potensi, kepintaran, dan pengetahuan untuk menguruskan pasukan di Liga Perdana Inggeris.”

Dalam perkembangan lain pula, Wenger meminta kawasan ‘safe standing’ diperkenalkan dalam perlawanan bolasepak di England. Wenger menyeru pihak Liga Perdana Inggeris supaya jangan terlalu konservatif dan tidak menunggu arahan dari pihak lain untuk memperkenalkan perkara tersebut.

Awal bulan ini menyaksikan Menteri Sukan Great Britain, Tracey Crouch menolak permohonan dari West Brom untuk memperkenalkan kawasan ‘berdiri yang selamat’ di stadium Hawthorns musim hadapan bagi peminat tuan rumah dan juga pelawat.

Peminat mahu berdiri ketika perlawanan, bukan makan kuaci

“Atmosfera stadium menjadi bertambah baik apabila penyokong berdiri. Semakin dekat penyokong dengan kedudukan pemain, semakin baik sokongan mereka terhadap pasukan.”

“Cuba bayangkan sekiranya penyokong hanya berbaring di atas katil untuk menyaksikan perlawanan, sudah tentu mereka akan tertidur. Adalah lebih baik jika peminat boleh berdiri ketika perlawanan berlangsung.”

“Ia juga adalah tradisi bolasepak di England. Secara keseluruhannya ia akan memperbaiki suasana perlawanan. Saya boleh faham anda risau dengan aspek keselamatan tetapi sekiranya isu keselamatan dapat diselesaikan, proposal ini mendapat sokongan daripada saya 100%.”

BACA:  Coquelin: Saya Sepatutnya Tinggalkan Arsenal Lebih Awal