Wenger : Penurunan Prestasi Arsenal Bukan Disebabkan Sanchez

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata penurunan prestasi Arsenal kebelakangan ini bukan disebabkan oleh Alexis Sanchez yang hampir pasti berpindah keluar dari Arsenal sebaik sahaja kontraknya tamat hujung musim nanti.

Tawaran kontrak lumayan telah ditawarkan Arsenal kepada Sanchez tetapi ditolak pemain tersebut dengan Paris Saint Germain dan Manchester City hangat dikaitkan untuk mendapatkan khidmat bintang Chile ini.

Sanchez akan dibenarkan melakukan perbincangan dengan mana-mana kelab luar England masuk Januari nanti dan boleh menandatangani pra-kontrak.

Walaubagaimanapun, Wenger bertegas situasi kontrak Sanchez bukanlah penyebab kepada prestasi buruk yang dipamerkan pemain ini di atas padang, dan tidak mahu peminat menjadikan Sanchez sebagai kambing hitam berkenaan ketumpulan barisan serangan Arsenal kebelakangan ini.

Pada hari terakhir tirai perpindahan pemain lalu, Sanchez hampir menyertai Manchester City dengan Pep Guardiola berminat untuk kembali bekerjasama dengan bekas pemain di bawah jagaan beliau ketika menguruskan Barcelona.

Adakah Sanchez akan kekal? Sanchez akan dibenarkan melakukan perbincangan dengan mana-mana kelab luar England masuk Januari nanti dan boleh menandatangani pra-kontrak

Perpindahan tersebut gagal berlaku selepas Arsenal gagal mencari pengganti yang sesuai untuk menggantikan tempat Sanchez walaupun nilai perpindahan pemain tersebut telah dipersetujui di antara dua kelab yang terlibat.

Musim ini menyaksikan Sanchez hanya mampu menjaringkan 4 gol sahaja dalam saingan Liga Perdana Inggeris, dan kali terakhir beliau menemui gawang adalah ketika Arsenal menang 5-0 ke atas Huddersfield hujung November lalu.

Selepas kemenangan tersebut, Arsenal masih lagi gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 3 perlawanan terakhir, kalah 3-1 di tempat sendiri kepada Manchester United disusuli dengan keputusan seri menentang Southampton dan West Ham.

Sanchez hanya mampu menjaringkan 4 gol sahaja di Liga Perdana Inggeris, dan kali terakhir ketika Arsenal menang 5-0 ke atas Huddersfield hujung November lalu. Gambar : nbcsports.com

Selepas perlawanan West Ham kelmarin, Wenger memberitahu pihak media yang dalam keadaan sukar sebegini peminat tidak boleh hanya menyalahkan satu pemain sahaja.

“Dalam situasi sukar sebegini, kami tidak boleh fokus terhadap seorang pemain sahaja. Kami harus lebih fokus terhadap sikap keseluruhan pasukan dan memastikan fokus mereka hanya pada kualiti permainan. Kami mencipta banyak peluang dan gol akan tiba tidak lama lagi. Amat sukar untuk memberitahu Sanchez mengalami penurunan prestasi kerana beliau bekerja keras. Kami menghadapi kesukaran kerana pihak lawan bertahan dengan sangat baik.”

Wenger turut percaya Arsenal mengalami kesan sampingan di hadapan gol selepas gagal menewaskan Manchester United tempoh hari walaupun mencatatkan 33 percubaan ke arah gol dimana David De Gea beraksi dengan sangat cemerlang untuk menghampakan penyerang Arsenal.

“33 percubaan kami ke arah gol dan peluang yang kami lepaskan ketika menentang Manchester United mungkin ada memberi sedikit impak buruk kepada pasukan. Kami harus cuba memperbaiki kualiti permainan dan tidak terlalu memikirkan mengenai ketumpulan barisan serangan kami ketika ini. Ianya akan hadir secara sendiri jika kami tidak terlalu memikirkannya.”

Baca Juga

Baca Juga