Sudah hampir 12 tahun sejak naib pengerusi West Ham United, Karren Brady mengemukakan pelan seni bina untuk Stadium London. Namun salah satu visinya masih menjadi perdebatan dalam kalangan peminat.
“Sewaktu saya menyertai West Ham pada Januari 2010 dan memulakan usaha mendapatkan Stadium Olimpik, saya mempunyai 2 matlamat utama,” katanya pada tahun 2013, seperti yang dilaporkan oleh InsideTheGames.biz.
“Pertama, ia mestilah menjadi stadium bertaraf dunia dan kedua, jadual perlawanan kami harus sentiasa menjadi keutamaan berbanding acara lain yang berlangsung di stadium ini.
“Dengan melihat pelan dan memahami bagaimana stadium ini diubah suai selepas Olimpik, saya yakin kami boleh menyediakan stadium bertaraf dunia dengan tempat duduk yang dekat dengan padang, yang memberikan peluang kepada kami untuk berada dalam salah satu stadium terbaik di dunia. Saya harap anda semua dapat melihatnya sekarang.”
Pada Ogos 2016, West Ham berpindah ke stadium berkapasiti 62,000 tempat duduk itu dari Upton Park. Namun bagi kebanyakan penyokong, Stadium London hanya kadang-kadang sahaja terasa seperti ‘rumah’ mereka. Pada Mac 2018, seorang penyokong bernama Paul Colborne meluru ke padang dan menanam bendera penjuru di bulatan tengah sebagai tanda protes terhadap pihak pengurusan. Sejak itu pelbagai lagi protes diadakan.
Dalam satu temu bual bersama Sky Sports minggu ini, Brady mempertahankan keputusan berpindah ke Stadium London.
“Keputusan untuk berpindah ke sini adalah betul,” katanya. “Akan sentiasa ada penyokong yang tidak bersetuju. Orang ramai tidak suka perubahan. Kebanyakan orang mahu sesuatu kekal seperti sedia kala. Tetapi tanpa perubahan, kita tidak boleh berkembang. Stadium ini telah memberikan kami platform untuk membesarkan kelab dan membantu kami memenangi trofi Eropah.
“Kami mempunyai pas musim paling murah untuk dewasa, hanya £345. Semua ini dapat dilakukan kerana kami berada di sini. Selain itu kerja-kerja komuniti yang kami lakukan, puluhan juta pound yang kami laburkan secara tempatan—semuanya kerana kami berada di sini.”
Namun, perpindahan ke stadium ini sering dilihat secara negatif. Tahun ini, kekecewaan mengenai suasana di stadium semakin meningkat terutama selepas kenaikan harga tiket. Selepas kekalahan 1-0 kepada Brentford pada hujung minggu lalu yang meletakkan West Ham di tangga ke-16, penyokong meluahkan perasaan mereka terhadap stadium ini dan apa yang masih perlu diperbaiki.
Pada bulan Ogos, keputusan dibuat untuk menarik balik pas musim bersubsidi bagi kategori 1 hingga 4. Jika penyokong baru tidak mahu duduk di kategori 5 atau 6 (tempat duduk paling jauh dari padang) mereka perlu membayar harga penuh tiket dewasa. Harga tiket untuk warga emas (66 tahun ke atas) dan belia (bawah 21 tahun) meningkat secara purata sebanyak 7.5%.
Pas musim paling mahal adalah di 1966 West Stand berharga £1,720 untuk dewasa, warga emas dan belia ada kenaikan sebanyak £100 berbanding musim 2023-24. Tiket kedua termahal ialah di 1966 Billy Bonds Stand, berharga £1,445, meningkat sebanyak 6.25%. Walaupun West Ham telah membuat beberapa perubahan terhadap dasar ini, ramai penyokong merasa dipinggirkan.
Sean Newman, 36, salah seorang pemegang tiket musim meluahkan rasa kecewanya.
“Hujung minggu lalu, saya membawa anak saya menonton perlawanan pertamanya menentang Brentford,” katanya. “Saya rasa kasihan kepadanya selepas itu. Saya membesar dengan Upton Park, tetapi dia hanya dapat merasai Stadium London yang sangat menyedihkan.
“Disebabkan perubahan harga tiket, saya tidak mampu membelikannya pas musim. Keputusan ini mengecewakan kebanyakan penyokong. Ayah saya berusia 76 tahun dan telah menyokong kelab ini selama lebih 60 tahun. Dia duduk di tingkat atas dan jika kami mahu memindahkannya ke tempat lain, kami perlu membayar harga penuh.
“Dia masih sihat tetapi perlu menaiki banyak tangga untuk ke tempat duduknya. Malangnya tidak semua penyokong warga emas seberuntungnya. Brady kata tiket musim dewasa kami paling murah—ya, itu pun kalau anda sanggup membawa teropong kerana tempat duduk terlalu jauh dari padang! Temu bualnya benar-benar membuatkan saya marah.”
Seorang lagi penyokong, Hinna telah berhenti menghadiri perlawanan kerana harga tiket yang terlalu mahal.
“Perjalanan dari Wales ke Stadium London untuk menonton bola sepak secara langsung adalah sebahagian besar daripada hidup kami,” katanya. “Dulu, saya boleh mendapatkan tiket dengan mudah melalui sistem tukaran tiket. Tetapi harga tiket musim ini sangat keterlaluan.
“Anak saya suka membawa rakan sekolahnya untuk menonton perlawanan dan menikmati suasana stadium. Tapi sekarang, saya sukar menjelaskan kepadanya mengapa kami tidak boleh lagi ke stadium. Baginya, West Ham semakin hambar dan penyokong semakin hilang minat.”
Sam, 32, pemegang tiket musim, turut berasa kecewa.
“Saya berjalan kaki ke stadium dari rumah ayah saya di Plaistow dan perjalanan itu lebih terasa seperti ‘West Ham’ berbanding ketika saya masuk ke Stratford,” katanya. “Saya bau bawang goreng, burger dan kentang goreng dan ada seorang lelaki yang menjual pin lencana—semuanya mengingatkan saya kepada Upton Park. Tapi perasaan itu hilang di Stadium London.
“Sebelum perpindahan ini, kami cukup terikat dengan komuniti. Sekarang, kami seperti kehilangan identiti. Menonton West Ham terasa hambar. Saya masih pertimbangkan sama ada mahu memperbaharui pas musim saya. Ini bukan soal cinta terhadap kelab, tetapi pengalaman hari perlawanan. Setiap kali saya keluar dari stadium, saya tertanya-tanya, ‘Kenapa saya bazirkan 6 jam hari saya untuk ini?’. Kekalahan kepada Brentford mungkin telah merosakkan hujung minggu saya beberapa tahun lalu tetapi sekarang saya rasa kosong.”
Kelab telah cuba memperbaiki pengalaman di stadium termasuk melakukan kuiz ketika rehat separuh masa dan pemasangan karpet berwarna claret & blue di sekitar padang.
Namun, seorang penyokong yang enggan dikenali berkata:
“Ramai yang menyalahkan stadium kerana jarak tempat duduk dengan padang tapi ada juga perlawanan di mana suasana benar-benar meriah. Masalahnya, ekspektasi penyokong telah meningkat selepas berpindah ke Stadium London tetapi pasukan lain seperti Brentford dan Brighton semakin maju dan bermain bola sepak yang lebih baik. Ini yang menyebabkan rasa kecewa.”
Seorang lagi penyokong, Mandy Dillane, 62, percaya bahawa perubahan perlu dilakukan.
“Kelab boleh memasang tempat duduk berdiri selamat untuk meningkatkan suasana,” katanya. “Kami mengalami suasana ini di Aston Villa dalam Piala FA dan ia sangat bagus. Perlawanan menentang Sevilla dan Lyon adalah antara yang terbaik. Tapi saya marah dengan cara kelab melayan penyokong terutama tentang harga tiket.”
Joe Edwards, 29, juga membangkitkan isu penyokong lawan yang duduk di kawasan penyokong tuan rumah.
“Kami ada tiket musim di Billy Bonds Lower selepas perpindahan ke stadium baharu tetapi saya terkejut betapa jauhnya tempat duduk dari padang. Suasananya tidak menyeronokkan,” katanya.
Bagi Kiran Moodley penyokong setia sejak kecil, masalah sebenar adalah kegagalan pengurusan kelab.
“Satu-satunya perkara positif sejak 2010 adalah pelantikan David Moyes. Setiap usaha lain untuk memodenkan kelab telah gagal. Dan perpindahan ke stadium ini adalah kegagalan terbesar—dan akan terus menghantui sejarah kelab ini.”